MATIUS 22:15-33
MATIUS 22:15-33 Alkitab Berita Baik (BM)
Beberapa orang Farisi pergi dan berkomplot untuk memerangkap Yesus dengan pertanyaan. Mereka mengutus pengikut-pengikut mereka dan beberapa orang anggota golongan Herodes kepada Yesus. Mereka yang diutus berkata, “Guru, kami tahu bahawa guru jujur. Dengan terus terang guru mengajarkan kehendak Allah bagi manusia. Guru tidak menghiraukan pendapat orang lain, kerana guru tidak memandang kedudukan orang. Oleh itu, beritahu kami pendapat guru. Menurut Taurat, bolehkah kita bayar cukai kepada Kaisar Roma? Haruskah kita bayar cukai atau tidak?” Yesus mengetahui maksud mereka yang jahat itu, lalu berkata, “Kamu munafik! Mengapa kamu cuba memerangkap Aku? Tunjukkan mata wang yang kamu gunakan untuk membayar cukai!” Lalu mereka memberikan mata wang itu kepada Yesus. Yesus bertanya kepada mereka, “Gambar dan nama siapakah ini?” “Kaisar,” jawab mereka. Oleh itu Yesus berkata kepada mereka, “Jika demikian, berikan apa yang menjadi milik Kaisar kepada Kaisar, dan berikan apa yang menjadi milik Allah kepada Allah.” Apabila mereka mendengar penjelasan itu, mereka hairan. Mereka meninggalkan Yesus lalu pergi. Pada hari itu juga, beberapa orang Saduki datang kepada Yesus. Mereka berpendapat bahawa orang mati tidak akan bangkit semula. “Guru,” kata mereka, “Musa mengajarkan demikian: Jika seorang lelaki meninggal tanpa mempunyai anak, maka saudara lelakinya harus berkahwin dengan balunya untuk memberikan keturunan kepada orang yang sudah meninggal itu. Dahulu ada tujuh orang adik-beradik tinggal di sini. Yang sulung berkahwin lalu meninggal tanpa mempunyai anak. Oleh itu, saudara yang kedua berkahwin dengan balunya. Saudara yang kedua pun meninggal tanpa mempunyai anak. Hal yang sama berlaku kepada saudara yang ketiga dan seterusnya sehingga kepada yang ketujuh. Akhirnya wanita itu meninggal. Pada hari kebangkitan orang mati, isteri siapakah wanita itu? Mereka semua telah berkahwin dengan dia.” Yesus menjawab, “Pendapat kamu salah sekali! Kamu tidak memahami Alkitab ataupun kuasa Allah. Apabila orang mati dibangkitkan semula, mereka akan menjadi seperti malaikat di syurga: Mereka tidak berkahwin. Tentang orang mati dibangkitkan semula, belum pernahkah kamu baca apa yang difirmankan oleh Allah? Allah berfirman, ‘Akulah Allah yang disembah Abraham, Ishak, dan Yakub.’ Oleh itu, Dia Allah orang hidup, bukan Allah orang mati.” Apabila orang ramai mendengar penjelasan Yesus, mereka hairan mendengar ajaran-Nya.
MATIUS 22:15-33 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Maka pada tŭtkala itu juga pŭrgilah orang Farisia itu bŭrmufakat sama sŭndirinya, bagimanakah bulih ditangkapnya akan dia dŭngan pŭrkataan. Disurohlah ulih marika itu akan murid muridnya bŭrsama sama dŭngan orang Herodis pŭrgi kapada Isa bŭrkata, Hie guru, kami kŭtahui, bahwa angkau bŭnar, dan mŭngajar jalan Allah itu dŭngan sŭbŭnarnya, maka tiada angkau indahkan sa’orang jua pun, kŭrna tiada angkau mŭmandang muka orang. Sŭbab itu katakanlah pada kami, bagimanakah sangkamu, patutkah kami mŭmbayar ufti kapada Keisar atau tidak? Tŭtapi dikŭtahui Isa kŭjahatannya itu, lalu dijawabnya, Mŭngapa angkau mŭnchobai aku, hie orang munafik. Tunjoklah kapadaku wang ufti itu; maka dibawakannyalah kapadanya suatu dinar. Maka bŭrtanyalah Isa pada marika itu, Gambar siapa dan chap siapa ini? Maka jawab marika itu padanya, Keisar punya. Tŭtkala itu, bŭrkatalah Isa pada marika itu, Bayarlah ulihmu kapada Keisar, barang yang Keisar punya, dan kapada Allah barang yang Allah punya. Dŭmi didŭngarnya itu, maka hieranlah marika itu, lalu ditinggalkannya akan dia, sŭrta bŭrjalan. ¶ Maka pada hari itu juga datanglah kapada Isa orang Sadukia, yang mŭnyangkalkan orang mati kŭlak akan dihidopkan pula: Lalu bŭrtanya, Hie Guru, bahwa Musa tŭlah bŭrkata, jikalau sa’orang mati dŭngan tiada mŭninggalkan anak, maka patutlah saudaranya laki laki itu pula pŭristrikan bininya itu, supaya mŭnimbolkan baka saudaranya. Bahwa disini adalah tujoh orang bŭrsaudara laki laki, maka yang pŭrtama sŭtlah sudah iya kahwen, maka matilah iya, tŭtapi tiada iya mŭninggalkan baka, maka ditinggalkannya bininya itu kapada saudaranya. Maka dŭmkian juga hal saudaranya yang kadua, dan katiga, sampielah yang katujoh. Hata kumdian deripada skaliannya itu, matilah pula pŭrampuan itu. Maka diakhirat kŭlak siapakah ampunya bini dalam tujoh orang itu akan pŭrampuan itu? kŭrna skaliannya tŭlah mŭmpŭristrikan dia. Maka disahut Isa sŭrta bŭrkata pada marika itu, Kamu ini salah, sŭbab tiada mŭngarti kitab dan kwasa Allah. Kŭrna diakhirat kŭlak tiada orang kahwen, dan tiada orang dikahwenkan, mŭlainkan iya itu spŭrti mŭliekat Allah dalam shorga adanya. Adapun akan hal orang dihidopkan deripada matinya, bukankah kamu tŭlah mŭmbacha barang yang dikatakan Allah kapada kamu? Katanya, Bahwa aku Allah Ibrahim, dan Allah Isahak, dan Allah Yakob; adapun Allah itu bukannya Allah orang yang mati, mŭlainkan bagie orang yang hidop. Maka apabila didŭngar ulih orang banyak, lalu hieranlah iya, sŭbab pŭngajarannya itu.
MATIUS 22:15-33 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Beberapa orang Farisi pergi dan berpakat bagaimana hendak memerangkap Yesus dengan menyoal kata-kata yang digunakan-Nya. Mereka menghantar para murid mereka dan sebilangan orang Herodes mendapatkan Yesus dan berkata, “Guru, kami tahu Engkau ikhlas dan mengajar cara Allah berdasarkan yang benar. Engkau tidak takut kepada sesiapa pun kerana Engkau tidak pilih kasih. Jadi, katakanlah pendapat-Mu kepada kami. Wajarkah membayar cukai kepada Kaisar atau tidak?” Yesus mengetahui niat jahat mereka lalu berkata, “Hai munafik! Mengapa kamu cuba memerangkap-Ku? Tunjukkan mata wang yang kamu gunakan untuk membayar cukai.” Mereka membawa sekeping wang dinar itu kepada-Nya. Lalu Yesus bertanya kepada mereka, “Gambar dan nama siapakah ini?” “Kaisar,” jawab mereka. Lalu Yesus berkata kepada mereka, “Kalau begitu, berikan milik Kaisar kepada Kaisar, dan berikan milik Allah kepada Allah.” Mereka tercengang mendengar kata-kata Yesus, lalu pergi dari situ. Pada hari itu juga, orang Saduki, yang mengatakan tidak ada kebangkitan, datang kepada Yesus lalu bertanya, “Guru, Musa berkata begini: Jika seseorang lelaki meninggal dunia tanpa anak, saudara lelakinya patutlah berkahwin dengan balunya dan memanjangkan zuriatnya. Ada tujuh orang adik-beradik lelaki dalam kalangan kami. Yang sulung berkahwin, kemudian meninggal dunia tanpa anak. Jadi, saudara yang kedua pun berkahwin dengan balunya. Saudara yang kedua itu pula meninggal dunia tanpa anak. Demikianlah terjadi seorang demi seorang hingga saudara yang ketujuh. Akhirnya wanita itu meninggal dunia. Pada hari kebangkitan, isteri siapakah wanita itu? Ini sebab ketujuh-tujuhnya pernah mengahwininya.” Yesus menjawab, “Kamu tersilap kerana kamu tidak memahami baik Kitab Suci mahupun kuasa Allah. Pada hari kebangkitan, mereka tidak berkahwin atau dikahwinkan; mereka seperti malaikat di syurga. Tentang soal orang mati dibangkitkan semula, tidakkah kamu baca firman Allah: ‘Akulah Allah Abraham, Allah Ishak dan Allah Yakub.’ Oleh itu, Dia bukanlah Allah orang mati tetapi Allah orang hidup.” Orang ramai kagum mendengar ajaran Yesus.