Matius 22:15-33

Matius 22:15-33 AVB

Beberapa orang Farisi pergi dan berpakat bagaimana hendak memerangkap Yesus dengan menyoal kata-kata yang digunakan-Nya. Mereka menghantar para murid mereka dan sebilangan orang Herodes mendapatkan Yesus dan berkata, “Guru, kami tahu Engkau ikhlas dan mengajar cara Allah berdasarkan yang benar. Engkau tidak takut kepada sesiapa pun kerana Engkau tidak pilih kasih. Jadi, katakanlah pendapat-Mu kepada kami. Wajarkah membayar cukai kepada Kaisar atau tidak?” Yesus mengetahui niat jahat mereka lalu berkata, “Hai munafik! Mengapa kamu cuba memerangkap-Ku? Tunjukkan mata wang yang kamu gunakan untuk membayar cukai.” Mereka membawa sekeping wang dinar itu kepada-Nya. Lalu Yesus bertanya kepada mereka, “Gambar dan nama siapakah ini?” “Kaisar,” jawab mereka. Lalu Yesus berkata kepada mereka, “Kalau begitu, berikan milik Kaisar kepada Kaisar, dan berikan milik Allah kepada Allah.” Mereka tercengang mendengar kata-kata Yesus, lalu pergi dari situ. Pada hari itu juga, orang Saduki, yang mengatakan tidak ada kebangkitan, datang kepada Yesus lalu bertanya, “Guru, Musa berkata begini: Jika seseorang lelaki meninggal dunia tanpa anak, saudara lelakinya patutlah berkahwin dengan balunya dan memanjangkan zuriatnya. Ada tujuh orang adik-beradik lelaki dalam kalangan kami. Yang sulung berkahwin, kemudian meninggal dunia tanpa anak. Jadi, saudara yang kedua pun berkahwin dengan balunya. Saudara yang kedua itu pula meninggal dunia tanpa anak. Demikianlah terjadi seorang demi seorang hingga saudara yang ketujuh. Akhirnya wanita itu meninggal dunia. Pada hari kebangkitan, isteri siapakah wanita itu? Ini sebab ketujuh-tujuhnya pernah mengahwininya.” Yesus menjawab, “Kamu tersilap kerana kamu tidak memahami baik Kitab Suci mahupun kuasa Allah. Pada hari kebangkitan, mereka tidak berkahwin atau dikahwinkan; mereka seperti malaikat di syurga. Tentang soal orang mati dibangkitkan semula, tidakkah kamu baca firman Allah: ‘Akulah Allah Abraham, Allah Ishak dan Allah Yakub.’ Oleh itu, Dia bukanlah Allah orang mati tetapi Allah orang hidup.” Orang ramai kagum mendengar ajaran Yesus.