MATIUS 21:8-17
MATIUS 21:8-17 Alkitab Berita Baik (BM)
Banyak orang membentangkan jubah di atas jalan, sementara yang lain mengerat ranting-ranting pokok, lalu menyelerakkannya di jalan. Orang ramai yang berjalan di hadapan dan yang mengikut di belakang Yesus mula berseru-seru, “Pujilah Anak Daud! Diberkatilah Dia yang datang dengan nama Tuhan! Pujilah Allah!” Apabila Yesus masuk ke Yerusalem, seluruh kota menjadi gempar. Orang bertanya, “Siapakah dia?” “Dia Yesus, nabi dari Nasaret di Galilea,” jawab orang ramai yang mengiringi Yesus. Yesus masuk ke Rumah Tuhan, lalu mengusir semua orang yang berjual beli di situ. Dia menunggangbalikkan meja para penukar wang dan bangku para penjual burung merpati. Yesus berkata kepada mereka, “Di dalam Alkitab tertulis bahawa Allah berfirman, ‘Rumah-Ku akan disebut rumah tempat berdoa.’ Tetapi kamu menjadikannya tempat persembunyian perompak!” Orang buta dan orang tempang datang kepada Yesus di Rumah Tuhan dan Yesus menyembuhkan mereka. Ketua imam dan guru Taurat marah apabila mereka melihat mukjizat-mukjizat yang dilakukan oleh Yesus. Mereka marah juga apabila mendengar anak-anak berseru-seru di Rumah Tuhan, “Pujilah Anak Daud!” Mereka berkata kepada Yesus, “Adakah kamu mendengar apa yang dikatakan oleh mereka?” “Tentu sahaja,” jawab Yesus. “Belum pernahkah kamu baca ayat Alkitab berikut, ‘Ya Allah, Engkau telah mengajar anak-anak dan bayi mengucapkan pujian yang sempurna.’ ” Yesus meninggalkan mereka, lalu keluar dari kota itu dan pergi ke Betania. Dia bermalam di situ.
MATIUS 21:8-17 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Maka bŭbrapalah banyak sangat orang yang mŭmbŭntangkan pakieannya pada jalan, dan ada pula orang yang mŭngŭratkan ranting ranting deripada pokok pokok, sŭrta dikaparkannya dijalan. Maka sagala orang yang bŭrjalan dahulu, dan yang mŭngikot dia itupun bŭrsrulah, katanya, Husana kiranya bagie anak Daud, dan bŭrbahgialah iya yang datang dŭngan nama Tuhan; Husana kiranya dalam tŭmpat kŭtinggian skali! Maka apabila iya masok kadalam Jerusalem, gŭmparlah isi nŭgri, mŭngatakan, siapakah iya ini? Maka bŭrkatalah orang banyak, Iya inilah Isa, nabi deri Nazareth, tanah Galilia. ¶ Maka masoklah Isa kadalam ka’abah Allah, maka dihalaukannyalah sagala orang yang bŭrjual bli dalam ka’abah itu, sŭrta dibalek balekkannyalah sagala meja meja orang mŭnukar wang, dan sagala bangku bangku orang yang bŭrjual mŭrpati. Lalu kata Isa pada marika itu, Tŭlah tŭrsurat, bahwa ka’abahku disŭbot orang rumah sŭmbahyang, tŭtapi kamu tŭlah mŭnjadikan dia goa tŭmpat pŭnyamun. Maka datanglah kapadanya bŭbrapa orang buta, dan tempang dalam ka’abah, maka disŭmbohkannyalah marika itu. Shahadan apabila imam yang bŭsar bŭsar, dan khatib khatib mŭlihat pŭrkara ajaib yang tŭlah dipŭrbuatnya itu, lagi pula sagala kanak kanak pun bŭrsru dalam ka’abah dŭngan bŭrkata, Husana kiranya bagie anak Daud; lalu marahlah marika itu sangat. Maka bŭrkatalah iya kapada Isa, Adakah angkau dŭngar apa kata budak budak ini? Maka jawab Isa bagie marika itu, Bahkan; bŭlomkah kamu mŭmbacha, bahwa deri dalam mulot kanak, dan kanak kanak yang mŭnyusu, angkau tŭlah mŭnyampornakan puji pujian? Maka ditinggalkan ulih Isa akan marika itu, lalu kluarlah iya deri dalam nŭgri itu, lalu pŭrgilah kaBethani, maka bŭrmalamlah iya disana.
MATIUS 21:8-17 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Ramai orang membentangkan jubah di atas jalan manakala yang lain memotong ranting-ranting pokok dan menyelerakkannya di jalan. Orang ramai yang berjalan di hadapan dan di belakang Yesus berseru-seru, “Hosana bagi Anak Daud!” “Diberkatilah Dia yang datang dengan nama Tuhan!” “Hosana di tempat yang maha tinggi!” Apabila Dia masuk ke Yerusalem, seisi kota itu kagum lalu bertanya, “Siapakah ini?” Orang ramai itu berkata, “Inilah Yesus, nabi dari Nazaret di Galilea.” Setelah itu, Yesus masuk ke Bait Suci dan mengusir semua orang yang berjual beli di situ. Dia menterbalikkan meja pengurup wang dan tempat duduk penjual burung merpati. Dia berkata kepada mereka, “Telah tersurat, ‘Rumah-Ku akan dipanggil rumah doa, tetapi kamu telah menjadikannya sarang pencuri.’ ” Selepas itu, orang yang buta dan yang tempang datang mendapatkan Yesus di Bait Suci, lalu Dia menyembuhkan mereka. Tetapi apabila ketua imam dan ahli Taurat melihat segala mukjizat yang dilakukan-Nya, dan kanak-kanak berseru di dalam Bait Suci, “Hosana bagi Anak Daud!” mereka berasa marah. Mereka berkata kepada Yesus, “Kamu dengarkah apa yang dikatakan mereka?” Yesus menjawab, “Ya, belum pernahkah kamu baca, ‘Daripada mulut kanak-kanak dan bayi yang masih menyusu, Engkau telah menyediakan puji-pujian.’ ” Kemudian Dia meninggalkan mereka dan keluar dari kota itu lalu pergi ke Betania. Dia menginap di situ.