MATIUS 16:13-23

MATIUS 16:13-23 Alkitab Berita Baik (BM)

Yesus pergi ke daerah dekat kota Kaisarea Filipi. Di situ Dia bertanya kepada pengikut-pengikut-Nya, “Menurut kata orang siapakah Anak Manusia itu?” Mereka menjawab, “Ada yang berkata Yohanes Pembaptis. Ada juga yang berkata Elia, sedangkan yang lain berkata Yeremia atau salah seorang nabi.” “Tetapi menurut kamu, siapakah Aku ini?” tanya Yesus. Simon Petrus menjawab, “Guru ialah Penyelamat yang diutus oleh Allah, Anak Allah Yang Hidup.” “Hai Simon anak Yohanes, berbahagialah engkau!” kata Yesus, “Bukannya manusia yang memberitahukan hal itu kepadamu, tetapi Bapa-Ku di syurga yang memberitahumu. Oleh itu ketahuilah, engkau Petrus, batu yang kuat. Dengan beralaskan batu inilah, Aku akan membina jemaah-Ku. Bahkan maut pun tidak dapat memusnahkannya! Aku akan memberikan kunci Dunia Baru Allah kepadamu. Apa yang engkau larang di atas bumi, akan dilarang juga di syurga. Apa yang engkau benarkan di atas bumi, akan dibenarkan juga di syurga.” Kemudian Yesus melarang pengikut-pengikut-Nya memberitahu sesiapa pun bahawa Dia Penyelamat yang diutus oleh Allah. Sejak itu, Yesus mula berkata dengan terus-terang kepada pengikut-pengikut-Nya, “Aku harus pergi ke Yerusalem dan mengalami banyak penderitaan yang disebabkan oleh para pemimpin masyarakat, ketua imam, dan guru Taurat. Aku akan dibunuh, tetapi pada hari ketiga Aku akan dibangkitkan semula!” Petrus menarik Yesus ke tepi dan mula menegur Dia, “Ya Tuhan, semoga Allah menjauhkan perkara itu daripada Tuhan! Perkara itu tidak boleh berlaku kepada Tuhan!” Yesus berpaling lalu berkata kepada Petrus, “Pergilah dari sini, hai Iblis! Engkau penghalang jalan-Ku. Fikiranmu itu fikiran manusia, bukan fikiran Allah!”

MATIUS 16:13-23 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

¶ Adapun sŭtlah sampie Isa kapada jajahan nŭgri Kisaria Philipus, maka bŭrtanyalah iya kapada murid muridnya katanya, Akan aku, anak manusia ini, siapa disangkakan orang? Maka bŭrkatalah marika itu, Sŭtŭngah orang bŭrkata Yahya Pŭmbaptisa, dan kata sŭtŭngah orang Ilias, dan yang lain pula bŭrkata Jeremiah, atau sa’orang nabi deripada sagala nabi. Maka bŭrkatalah Isa padanya, Apa pula katamu, siapakah aku ini? Maka jawab Simon Petros, Angkaulah Almasih anak Allah yang hidop itu. Maka kata Isa padanya, Bŭrbahgialah angkau, hie Simon anak Yunas, kŭrna bukannya yang bŭrdarah daging mŭnyatakan itu padamu, mŭlainkan ayahku yang ada dishorga. Maka aku bŭrkata pula padamu, Bahwa angkau inilah Petros, maka diatas batu inilah aku akan mŭndirikan sidang jŭmaahku, maka sagala pintu nŭraka tiada bulih mŭnang akan dia. Maka aku akan mŭmbri padamu anak kunchi krajaan shorga, maka barang suatu yang angkau ikat diatas bumi ini, iya itu akan tŭrikat dalam shorga; dan barang suatu yang angkau uriekan diatas bumi ini, iya itu tŭrurielah dalam shorga. Maka tŭtkala itu, Isa pun bŭrpŭsanlah pada murid muridnya, supaya jangan dikatakan kapada barang sa’orang jua pun, dialah Isa iya itu Almasih. ¶ Maka deripada kutika itu, bahrulah Isa mŭmulai mŭnyatakan pada murid muridnya, bahwa saharusnyalah iya pŭrgi kanŭgri Jerusalem, dan akan mŭrasai bŭbrapa sŭngsara deri pada orang tua tua, dan imam yang bŭsar bŭsar, dan khatib khatib; dan lagi iya akan dibunoh, dan akan dihidopkan pula pada hari yang katiga. Maka Petros pun mŭmbawa undor sŭdikit akan dia, sŭrta ditŭgahkannya akan dia katanya, Tuhan, jauhkanlah kiranya dirimu deripada itu, bahwa janganlah skali kali jadi padamu yang dŭmkian itu. Maka Isa pun bŭrpalinglah, sŭrta bŭrkata pada Petros, Undorlah angkau kablakangku, hie Shietan, bahwa angkaulah mŭnyusahkan aku; kŭrna tiada angkau chundrong kapada fiak Allah, mŭlainkan kapada fiak manusia.

MATIUS 16:13-23 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Yesus pergi ke daerah berhampiran kota Kaisarea Filipi. Dia bertanya kepada murid-murid-Nya, “Menurut kata orang, siapakah Anak Manusia ini?” Mereka menjawab, “Ada yang berkata Yohanes Pembaptis; ada yang berkata Elia; ada pula yang berkata Yeremia atau nabi lain.” Yesus bertanya, “Menurut kamu, siapakah Aku ini?” Simon Petrus menjawab, “Engkau ialah Kristus, Anak Allah Yang Hidup.” Yesus berkata, “Diberkatilah engkau, Simon anak Yunus! Yang memberitahumu bukannya manusia tetapi Bapa-Ku di syurga. Oleh itu ketahuilah engkau Petrus, batu yang kukuh, dengan asas batu pejal inilah akan Kubina jemaah-Ku. Alam maut pun tidak dapat merobohkannya. Aku akan memberikan kunci kerajaan syurga kepadamu. Apa yang kamu ikat di dunia akan diikat juga di syurga. Apa yang kamu uraikan di dunia akan diuraikan juga di syurga.” Selepas itu dengan tegasnya Yesus melarang murid-murid-Nya memberitahu sesiapa bahawa Dia Kristus. Sejak itu, Yesus mula berkata terus terang kepada murid-murid-Nya bahawa Dia harus pergi ke Yerusalem dan menanggung banyak penderitaan daripada pihak pemimpin masyarakat, ketua imam, dan ahli Taurat. Dia akan dibunuh, tetapi pada hari ketiga akan dibangkitkan semula. Petrus menarik Yesus ke tepi lalu menegur Dia, “Tuhan, semoga Allah jauhi semua itu daripada-Mu! Semua itu tidak boleh berlaku kepada-Mu!” Yesus berpaling sambil berkata kepada Petrus, “Pergilah dari sini, Iblis! Engkau batu sandungan bagi-Ku kerana kamu tidak berfikir secara Allah, tetapi secara manusia!”