Matius 16:13-23

Matius 16:13-23 AVB

Yesus pergi ke daerah berhampiran kota Kaisarea Filipi. Dia bertanya kepada murid-murid-Nya, “Menurut kata orang, siapakah Anak Manusia ini?” Mereka menjawab, “Ada yang berkata Yohanes Pembaptis; ada yang berkata Elia; ada pula yang berkata Yeremia atau nabi lain.” Yesus bertanya, “Menurut kamu, siapakah Aku ini?” Simon Petrus menjawab, “Engkau ialah Kristus, Anak Allah Yang Hidup.” Yesus berkata, “Diberkatilah engkau, Simon anak Yunus! Yang memberitahumu bukannya manusia tetapi Bapa-Ku di syurga. Oleh itu ketahuilah engkau Petrus, batu yang kukuh, dengan asas batu pejal inilah akan Kubina jemaah-Ku. Alam maut pun tidak dapat merobohkannya. Aku akan memberikan kunci kerajaan syurga kepadamu. Apa yang kamu ikat di dunia akan diikat juga di syurga. Apa yang kamu uraikan di dunia akan diuraikan juga di syurga.” Selepas itu dengan tegasnya Yesus melarang murid-murid-Nya memberitahu sesiapa bahawa Dia Kristus. Sejak itu, Yesus mula berkata terus terang kepada murid-murid-Nya bahawa Dia harus pergi ke Yerusalem dan menanggung banyak penderitaan daripada pihak pemimpin masyarakat, ketua imam, dan ahli Taurat. Dia akan dibunuh, tetapi pada hari ketiga akan dibangkitkan semula. Petrus menarik Yesus ke tepi lalu menegur Dia, “Tuhan, semoga Allah jauhi semua itu daripada-Mu! Semua itu tidak boleh berlaku kepada-Mu!” Yesus berpaling sambil berkata kepada Petrus, “Pergilah dari sini, Iblis! Engkau batu sandungan bagi-Ku kerana kamu tidak berfikir secara Allah, tetapi secara manusia!”

Pelan Bacaan dan Renungan percuma yang berkaitan dengan Matius 16:13-23