MATIUS 15:1-20

MATIUS 15:1-20 Alkitab Berita Baik (BM)

Kemudian beberapa orang Farisi dan guru Taurat dari Yerusalem datang kepada Yesus dan bertanya, “Mengapa pengikutmu melanggar adat istiadat nenek moyang kita? Sebelum makan, mereka tidak membasuh tangan menurut adat!” Yesus menjawab, “Mengapa kamu tidak menurut perintah Allah, tetapi menurut ajaran kamu sendiri? Allah berfirman, ‘Hormatilah ibu bapamu,’ dan ‘Orang yang mencaci ibu bapa mesti dihukum mati.’ Tetapi kamu mengajarkan: Jika seseorang berkata kepada ibu bapanya, ‘Apa yang seharusnya saya gunakan untuk menolong ayah dan emak, sudah saya persembahkan kepada Allah,’ maka orang itu tidak perlu menghormati bapanya. Demikianlah kamu meniadakan firman Allah untuk menurut ajaran kamu sendiri. Kamu munafik! Tepat sekali apa yang dikatakan oleh Nabi Yesaya tatkala dia bernubuat tentang kamu! Allah berfirman, ‘Semua orang ini menghormati Aku dengan kata-kata, tetapi hati mereka sebenarnya jauh daripada-Ku. Sia-sialah mereka menyembah Aku, kerana peraturan manusia diajarkan oleh mereka seolah-olah peraturan itu hukum Allah!’ ” Kemudian Yesus memanggil orang ramai dan berkata kepada mereka, “Dengarlah dan fahamilah! Apa yang masuk ke dalam mulut seseorang tidak dapat menajiskan dia. Tetapi apa yang keluar dari mulut, itulah yang menajiskan dia.” Kemudian pengikut-pengikut Yesus datang dan berkata kepada-Nya, “Guru, tahukah Guru bahawa orang Farisi tersinggung oleh kata-kata Guru?” Yesus menjawab, “Tiap-tiap tanaman yang tidak ditanam oleh Bapa-Ku di syurga akan dicabut. Jangan pedulikan orang Farisi. Mereka pemimpin buta, dan apabila orang buta memimpin orang buta, kedua-dua mereka jatuh ke dalam longkang.” Petrus berkata, “Jelaskanlah makna perumpamaan itu kepada kami.” Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Kamu ini pengikut-Ku, tetapi kamu pun tidak faham seperti mereka. Tidakkah kamu mengerti? Apa yang masuk ke dalam mulut seseorang, turun ke dalam perut lalu keluar lagi. Tetapi apa yang keluar dari mulut, berasal dari hati, dan hal-hal inilah yang menajiskan orang. Dari hatilah timbul fikiran jahat, yang menyebabkan seseorang membunuh, berzina, berbuat cabul, merompak, memberikan kesaksian palsu, dan memfitnah. Hal-hal itulah yang menajiskan orang, dan bukan makan dengan tidak membasuh tangan menurut adat!”

MATIUS 15:1-20 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

TŬTKALA itu, maka adalah khatib khatib dan orang Farisia deri Jerusalem, datang kapada Isa sambil bŭrkata, Mŭngapakah murid muridmu mŭlalui adat orang tua tua? kŭrna tiada iya mŭmbasoh tangannya tŭtkala makan. Maka sahutnya kapada marika itu, Apa sŭbabnya pula kamu mŭlalui hukum Allah ulih adat nenek moyangmu? Kŭrna Allah tŭlah bŭrfŭrman, katanya, Brilah hormat akan ibu bapamu; maka barang siapa yang dŭrhaka akan ibu bapanya, iya itu hukum dibunoh. Tŭtapi kamu bŭrkata, Barang siapa yang bŭrkata pada bapa atau ibunya, Aku nazarkan ini, maka bagimana skali pun angkau bŭrulih untong deri padaku; Maka kalau tiada iya mŭnghormati bapanya atau ibunya itu, tŭrlŭpaslah iya. Dŭmkianlah kamu tŭlah mŭnidakkan faidah hukum Allah ulih adat nenek moyangmu itu. Hie orang munafik, bahwa sŭbŭnarnyalah spŭrti nabuat nabi Jasia deri halmu, katanya, Bahwa adapun kaum ini mŭnghampiri aku dŭngan mulotnya, dan dŭngan bibernya juga iya mŭmuliakan aku; tŭtapi hatinya jauh deripadaku adanya. Mŭlainkan chuma chumalah marika itu bŭrbuat ibadat kapadaku, dŭngan mŭngajar bŭbrapa pŭngajaran hukum manusia. ¶ Shahadan sŭtlah sudah dipanggil ulih Isa akan pŭrhimpunan itu, maka bŭrkatalah iya pada marika itu, Dŭngarlah kamu sŭrta mŭngarti: Bahwa sanya bukannya barang sasuatu yang masok kadalam mulot itu mŭnŭjiskan manusia, mŭlainkan barang yang kluar deri dalam mulot, itulah yang mŭnŭjiskan manusia. Tŭtkala itu datanglah murid muridnya kapadanya, lalu bŭrkata, Tahukah angkau, bahwa orang Farisia itu, apabila didŭngarnya pŭrkataanmu ini, maka iya mŭngambil kŭchil hati akan dikau? Tŭtapi disahut Isa sŭrta bŭrkata, Adapun barang suatu tanaman yang bukan ditanam ulih ayahku yang ada dishorga, iya itu akan dichabut. Biarkanlah dia, bahwa marika itulah pimpinan buta pada orang buta adanya. Jikalau orang buta mŭmimpin orang buta, maka kaduanya itu kŭlak akan jatoh kadalam paret. Maka sahut Petros sŭrta bŭrkata padanya, Artikanlah pada kami akan pŭrumpamaan ini. Maka jawab Isa, Sampie skarangkah kamu ini bodoh lagi? Maka bŭlomkah kamu mŭngarti, bahwa barang suatu yang masok kadalam mulot itu, lalu iya kadalam prot, maka dibuangkan dia kadalam jamban. Tŭtapi barang suatu yang kluar deri dalam mulot itu, iya itu tŭrbitnya deri dalam hati, maka itulah yang mŭnŭjiskan manusia. Kŭrna deri dalam hatilah tŭrbit fikiran jahat, dan mŭmbunoh orang, dan bŭrzinah dŭngan suami atau istri orang, dan bŭrzinah dŭngan orang bujang, dan pŭnchuri, dan saksi dusta, dan pŭnghujat akan Allah. Maka skalian inilah yang mŭnŭjiskan manusia, tŭtapi makan dŭngan tangan yang tiada bŭrbasoh, bukannya mŭnŭjiskan manusia adanya.

MATIUS 15:1-20 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Setelah itu, beberapa orang Farisi dan ahli Taurat dari Yerusalem datang mendapatkan Yesus lalu bertanya, “Mengapa murid-Mu melanggar adat istiadat nenek moyang kita? Mereka tidak membasuh tangan sebelum makan!” Yesus menjawab, “Mengapa kamu membelakangi perintah Allah demi mematuhi adat istiadatmu? Allah berfirman, ‘Hormatilah ibu bapamu’ dan ‘Orang yang mencaci ibu bapa sendiri mesti dihukum mati.’ Sebaliknya kamu mengajar, ‘Jika seseorang berkata kepada ibu bapanya, “Apa yang patut kugunakan untuk menolong ayah dan ibu, telah kupersembahkan kepada Allah,” maka tidak perlulah orang itu menghormati ibu bapanya. Demikianlah kamu menyatakan Firman Allah tidak berlaku atas sebab adat istiadatmu.’ Kamu munafik! Tepat sekali kata-kata Yesaya dalam nubuatnya tentangmu: ‘Bangsa ini menghormati-Ku dengan kata-kata tetapi hati mereka jauh daripada-Ku. Sia-sialah mereka beribadat kepada-Ku, sedangkan ajaran yang diajarkan mereka ialah peraturan manusia.’ ” Kemudian Yesus memanggil orang ramai itu lalu berkata kepada mereka, “Dengar dan fahamlah! Apa yang masuk ke mulut seseorang tidak menajiskannya, tetapi apa yang keluar dari mulutnya; itulah yang menajiskannya.” Selepas itu, para murid Yesus mendapatkan-Nya dan berkata, “Tahukah Engkau bahawa orang Farisi tersinggung dengan kata-kata-Mu?” Yesus menjawab, “Segala tanaman selain yang ditanam oleh Bapa-Ku di syurga akan dicabut. Jangan hiraukan orang Farisi. Mereka itu orang buta yang memimpin orang buta. Apabila orang buta memimpin orang buta, kedua-duanya masuk ke dalam parit.” Petrus berkata, “Terangkanlah maksud ibarat tadi kepada kami.” Yesus berkata, “Kamu masih tidak faham. Tidakkah kamu mengerti? Apa yang masuk ke dalam mulut seseorang turun ke perut lalu keluar semula. Sebaliknya, apa yang keluar dari mulut datang dari hati, dan inilah yang menajiskan. Dari hati timbul fikiran jahat yang mendorong seseorang membunuh, berzina, berbuat cabul, mencuri, memberi kesaksian palsu, dan memfitnah. Segala itulah yang menajiskan, bukan makan dengan tidak membasuh tangan.”

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami