MATIUS 13:18-35

MATIUS 13:18-35 Alkitab Berita Baik (BM)

“Dengarlah dan ketahuilah makna perumpamaan tentang seorang penabur itu. Benih yang jatuh di jalan bagaikan orang yang mendengar perkhabaran tentang bagaimana Allah memerintah, tetapi tidak memahaminya. Si Jahat iaitu Iblis datang lalu merampas apa yang sudah ditabur di dalam hati mereka. Benih yang jatuh di tempat yang berbatu bagaikan orang yang mendengar perkhabaran itu lalu segera menerimanya dengan sukacita. Tetapi perkhabaran itu tidak berakar di dalam hati, sehingga mereka tidak tahan lama. Apabila mereka menderita kesusahan atau penganiayaan oleh sebab perkhabaran itu, segera mereka tidak lagi percaya kepada perkhabaran itu. Benih yang jatuh di tengah semak berduri bagaikan orang yang mendengar perkhabaran itu, tetapi kekhuatiran tentang hidup dan keinginan untuk hidup mewah membantutkan perkhabaran itu sehingga tidak berbuah. Benih yang jatuh di tanah subur bagaikan orang yang mendengar perkhabaran itu lalu memahaminya, dan berbuah banyak; ada yang seratus kali ganda, ada yang enam puluh kali ganda, dan ada yang tiga puluh kali ganda.” Yesus menceritakan sebuah perumpamaan lain kepada mereka. “Apabila Allah memerintah, keadaannya seperti seorang yang menabur benih yang baik di ladangnya. Pada suatu malam, ketika semua orang sedang tidur, musuhnya datang lalu menanam lalang di antara gandum itu, kemudian dia pergi. Apabila tanaman itu membesar dan bulir gandum muncul, lalang-lalang itu kelihatan. Hamba peladang itu datang kepadanya dan berkata, ‘Tuan menanam benih yang baik di ladang. Dari manakah datangnya lalang-lalang ini?’ Peladang itu menjawab, ‘Seorang musuh sudah melakukan perkara ini.’ Hambanya bertanya, ‘Adakah tuan mahu kami mencabut lalang-lalang itu?’ ‘Tidak,’ jawabnya, ‘kerana pada masa kamu mencabut lalang, mungkin gandum ikut tercabut. Biarkanlah lalang tumbuh bersama-sama gandum sehingga tiba masa menuai gandum. Lalu aku akan berkata kepada para penuai supaya mencabut lalang dahulu, lalu mengikatnya dan kemudian membakarnya. Selepas itu baru kumpulkan gandum, lalu simpanlah gandum di dalam jelapang.’ ” Yesus menceritakan sebuah perumpamaan lain kepada mereka, “Apabila Allah memerintah, keadaannya seperti sebutir biji sawi yang diambil oleh seseorang, lalu ditanam di ladang. Biji sawi adalah benih yang terkecil, tetapi apabila tumbuh, menjadi lebih besar daripada segala tanaman. Tanaman itu menjadi pokok, sehingga burung datang membuat sarang pada cabangnya.” Yesus menceritakan sebuah perumpamaan lain. “Apabila Allah memerintah, keadaannya seperti ini. Seorang wanita mengambil sedikit ragi, lalu mencampurnya dengan empat puluh liter tepung sehingga adunan itu naik.” Demikianlah Yesus mengajar orang ramai perkara-perkara ini dengan menggunakan perumpamaan. Dia tidak berkata apa-apa tanpa menggunakan perumpamaan. Yesus berbuat demikian supaya berlakulah apa yang dikatakan oleh nabi, “Aku akan menggunakan perumpamaan apabila bertutur dengan mereka; Aku akan memberitahu mereka perkara-perkara yang tersembunyi sejak dunia diciptakan.”

MATIUS 13:18-35 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

Maka sŭbab itu dŭngarlah ulihmu pŭrumpamaan orang yang mŭnabor bŭnih itu: Maka apabila barang sa’orang yang mŭnŭngar pŭrkataan krajaan Allah, maka tiada iya mŭngarti akan dia itu, maka datanglah sikapala jahat itu mŭmungot yang tŭlah tŭrtabor dalam hatinya itu; maka dŭmkianlah halnya orang yang tŭlah mŭnŭrima bŭnih ditŭpi jalan. Tŭtapi yang tŭlah ditabori pada tŭmpat yang bŭrbatu, maka iya itulah orang yang mŭnŭngar pŭrkataan itu, maka sŭgralah ditrimanya dŭngan kasukaan: Tŭtapi tiadalah bŭrakar dalam dirinya, mŭlainkan skutika sahja adanya; kŭrna apabila datanglah kasukaran, atau annyaya tŭrsŭbab pŭrkataan itu, maka kumdian kŭlak iya ŭnggan. Adapun yang tŭlah ditabori diantara duri duri itu, maka iya itulah orang yang mŭnŭngar pŭrkataan itu, maka pŭrchintaan deri hal dunia ini, sŭrta tipu daya kŭkayaannya, mŭlŭmaskan pŭrkataan itu, sahingga tiadalah iya bulih bŭrbuah. Adapan yang ditabori pada tanah yang baik, iya itulah orang yang mŭnŭngar pŭrkataan itu, sŭrta ditarohnya hati akan dia, maka bŭrbuahlah iya bŭrgandah gandah, ada yang sratus, ada yang anam puloh, ada yang tiga puloh banyaknya. ¶ Suatu pŭrumpamaan yang lain pula diadakannya pada marika itu, katanya, Adapun krajaan shorga itu diumpamakan dŭngan sa’orang yang mŭnabor bŭnih yang baik diladangnya; Maka tŭngah orang tidor, datanglah sŭtrunya mŭnabor pula bŭnih lalang dalam gandom itu lalu pŭrgi. Tŭtapi apabila bŭrdaun dan bŭrbuah gadom itu, maka klihatanlah ada pula lalang itu. Maka datanglah hamba hamba orang yang ampunya ladang itu mŭngatakan padanya, Tuan, bahwa bukankah angkau tŭlah mŭnabori bŭnih yang baik dalam ladangmu itu, maka deri mana pula datangnya lalang itu? Maka jawabnya pada marika itu, Iya itulah pŭrbuatan sŭtru adanya. Maka kata hamba hambanya itu padanya, Mahukah angkau supaya kami pŭrgi mŭnchabutkan dia itu? Maka jawabnya Jangan; kalau kalau apabila kamu mŭnchabut lalang itu kŭlak, jangan pula tŭrchabut gandom itu pun bŭrsama sama. Biarkanlah kaduanya itu bŭrtumboh sama sama sampie musim mŭnuwie, maka pada musim mŭnuwie itu kŭlak, nanti kusurohkan orang yang mŭnuwie itu mŭnchabutkan lalang itu, dan kusuroh ikatkan bŭbŭrkas bŭrkas akan dibakarkan, tŭtapi gandom itu dikampongkan masok kadalam langguanku. ¶ Dan lagi pula suatu pŭrumpamaan yang lain diadakannya bagie marika itu, katanya, Adapun krajaan shorga itu saumpama dŭngan sa’biji sŭsawi adanya, yang diambil ulih orang, maka ditanamkannya akan dia dalam ladangnya. Maka sungguh pun iya itu tŭrkŭchil diantara sagala bŭnih adanya, tŭtapi apabila bŭrtumboh kŭlak, jadilah tŭrlebih bŭsar deripada sagala sayur sayuran, sampie mŭnjadi suatu pohon, sahingga datanglah burong burong deri udara pun bŭrsarang diatas pŭlpanya. ¶ Dan lagi pula suatu pŭrumpamaan yang lain diadakannya bagie marika itu, katanya, Adapun krajaan shorga itu diumpamakan dŭngan ragi, yang diambil ulih sa’orang pŭrampuan, lalu dibubohkannya kadalam tiga bahgian tŭpong, sahingga sŭmuanya jadi khamirlah. Bŭrmula adapun sagala pŭrkara ini dikatakan ulih Isa kapada orang banyak itu dŭngan pŭrumpamaan, maka lain deri pada pŭrumpamaan tiadalah iya bŭrkata kata pada marika itu. Supaya gŭnaplah barang yang dikatakan ulih nabi, katanya, Aku akan mŭmbuka mulotku dŭngan mŭngatakan pŭrumpamaan; bahwa aku akan bŭrkata pŭrkara yang tŭrsŭmbunyi deripada pŭrmulaan dunia.

MATIUS 13:18-35 Alkitab Versi Borneo (AVB)

“Oleh itu, dengarlah maksud ibarat penyemai benih: Apabila seseorang mendengar perkhabaran kerajaan Allah dan tidak memahaminya, akan datanglah si durjana menyambar apa yang telah ditabur dalam hatinya. Orang inilah yang menerima benih di tepi jalan. Orang yang menerima benih di tempat berbatu pula bermaksud orang yang mendengar firman itu dan terus menerimanya dengan sukacita. Tetapi dia tidak berakar, maka hanya tahan seketika. Sebaik-baik dia menanggung kesusahan atau penganiayaan kerana firman itu, imannya pun segera luntur. Orang yang menerima benih di semak duri ialah orang yang mendengar firman itu, tetapi kerunsingan tentang hal-hal dunia dan tarikan palsu harta kekayaan membantutkan firman itu sehingga tidak berbuah. Tetapi orang yang menerima benih di tanah subur ialah orang yang mendengar firman itu dan memahaminya lalu menghasilkan seratus kali, enam puluh kali bahkan tiga puluh kali ganda.” Yesus menceritakan satu ibarat lagi: “Kerajaan syurga ibarat orang menabur benih yang baik di ladangnya. Pada waktu malam apabila semua orang sedang tidur, musuhnya datang menanam lalang di antara gandum itu. Setelah gandum itu membesar, lalang pun tumbuh juga. Hamba peladang berkata, ‘Tuan menabur benih yang baik, dari mana pula datangnya lalang itu?’ Jawab peladang itu, ‘Ini perbuatan musuh.’ Hamba itu bertanya, ‘Adakah tuan hendak kami mencabut lalang itu?’ ‘Tidak,’ jawab peladang itu, ‘takut tercabut gandum juga sewaktu kamu mencabut lalang itu. Biarkanlah lalang tumbuh di antara gandum hingga sampai musim menuai. Ketika itu aku akan menyuruh orang yang menuai nanti mencabut lalang dahulu, mengikat dan membakarnya. Selepas itu, barulah gandum dituai dan disimpan di dalam jelapang.’ ” Seterusnya Yesus mengisahkan ibarat demikian: “Kerajaan syurga seperti sebutir biji sesawi yang dibawa oleh seseorang untuk ditabur di ladangnya. Biji sesawi itu paling kecil antara semua benih, tetapi apabila tumbuh, menjadi tumbuhan yang lebih besar daripada semua tumbuhan lain sehingga menjadi sebatang pokok tempat burung di udara membuat sarang pada cabangnya.” Kemudian Yesus menceritakan suatu ibarat lagi, “Kerajaan syurga seumpama ragi yang diambil seorang wanita dan dicampurkan dengan tiga sukat tepung sehingga adunan itu naik.” Demikianlah Yesus mengajar orang ramai melalui ibarat. Tidak ada satu ajaran yang disampaikan-Nya kepada mereka tanpa ibarat. Maka terjadilah apa yang dikatakan oleh nabi: “Aku akan membuka mulut melalui ibarat; Aku akan menuturkan hal-hal yang dirahsiakan sejak dunia dicipta.”