Matius 13:18-35

Matius 13:18-35 AVB

“Oleh itu, dengarlah maksud ibarat penyemai benih: Apabila seseorang mendengar perkhabaran kerajaan Allah dan tidak memahaminya, akan datanglah si durjana menyambar apa yang telah ditabur dalam hatinya. Orang inilah yang menerima benih di tepi jalan. Orang yang menerima benih di tempat berbatu pula bermaksud orang yang mendengar firman itu dan terus menerimanya dengan sukacita. Tetapi dia tidak berakar, maka hanya tahan seketika. Sebaik-baik dia menanggung kesusahan atau penganiayaan kerana firman itu, imannya pun segera luntur. Orang yang menerima benih di semak duri ialah orang yang mendengar firman itu, tetapi kerunsingan tentang hal-hal dunia dan tarikan palsu harta kekayaan membantutkan firman itu sehingga tidak berbuah. Tetapi orang yang menerima benih di tanah subur ialah orang yang mendengar firman itu dan memahaminya lalu menghasilkan seratus kali, enam puluh kali bahkan tiga puluh kali ganda.” Yesus menceritakan satu ibarat lagi: “Kerajaan syurga ibarat orang menabur benih yang baik di ladangnya. Pada waktu malam apabila semua orang sedang tidur, musuhnya datang menanam lalang di antara gandum itu. Setelah gandum itu membesar, lalang pun tumbuh juga. Hamba peladang berkata, ‘Tuan menabur benih yang baik, dari mana pula datangnya lalang itu?’ Jawab peladang itu, ‘Ini perbuatan musuh.’ Hamba itu bertanya, ‘Adakah tuan hendak kami mencabut lalang itu?’ ‘Tidak,’ jawab peladang itu, ‘takut tercabut gandum juga sewaktu kamu mencabut lalang itu. Biarkanlah lalang tumbuh di antara gandum hingga sampai musim menuai. Ketika itu aku akan menyuruh orang yang menuai nanti mencabut lalang dahulu, mengikat dan membakarnya. Selepas itu, barulah gandum dituai dan disimpan di dalam jelapang.’ ” Seterusnya Yesus mengisahkan ibarat demikian: “Kerajaan syurga seperti sebutir biji sesawi yang dibawa oleh seseorang untuk ditabur di ladangnya. Biji sesawi itu paling kecil antara semua benih, tetapi apabila tumbuh, menjadi tumbuhan yang lebih besar daripada semua tumbuhan lain sehingga menjadi sebatang pokok tempat burung di udara membuat sarang pada cabangnya.” Kemudian Yesus menceritakan suatu ibarat lagi, “Kerajaan syurga seumpama ragi yang diambil seorang wanita dan dicampurkan dengan tiga sukat tepung sehingga adunan itu naik.” Demikianlah Yesus mengajar orang ramai melalui ibarat. Tidak ada satu ajaran yang disampaikan-Nya kepada mereka tanpa ibarat. Maka terjadilah apa yang dikatakan oleh nabi: “Aku akan membuka mulut melalui ibarat; Aku akan menuturkan hal-hal yang dirahsiakan sejak dunia dicipta.”