MATIUS 12:22-37

MATIUS 12:22-37 Alkitab Berita Baik (BM)

Kemudian seorang yang buta dan bisu kerana dirasuk roh jahat dibawa kepada Yesus. Yesus menyembuhkannya sehingga orang itu dapat bercakap dan melihat. Orang ramai di situ kehairanan, lalu mereka bertanya, “Mungkinkah Dia ini Anak Daud?” Apabila orang Farisi mendengar hal ini, mereka menjawab, “Dia dapat mengusir roh jahat hanya kerana Dia diberikan kuasa oleh Beelzebul, ketua roh jahat.” Yesus mengetahui fikiran orang Farisi, lalu berkata kepada mereka, “Negeri yang berpecah menjadi beberapa bahagian lalu saling bermusuhan, tidak akan tahan lama. Bandar atau keluarga yang berpecah belah dan saling berlawanan, akan hancur. Demikian juga, jika kerajaan Iblis mempunyai golongan yang saling berlawanan, maka kerajaan itu sudah berpecah belah dan segera akan runtuh. Kamu berkata bahawa Aku mengusir roh jahat kerana Aku diberikan kuasa oleh Beelzebul. Jika demikian siapakah yang memberikan kuasa mengusir roh jahat kepada para pengikut kamu? Pengikut kamu membuktikan bahawa pendapat kamu itu salah! Roh Allah memberi Aku kuasa untuk mengusir roh jahat. Hal ini membuktikan bahawa Allah sudah mula memerintah di kalangan kamu. Tidak seorang pun dapat masuk ke dalam rumah seorang yang kuat lalu merampas hartanya, kecuali dia terlebih dahulu mengikat orang kuat itu. Barulah dia dapat merampas hartanya. Sesiapa yang tidak berpihak kepada-Ku sebenarnya melawan Aku, dan sesiapa yang tidak menolong Aku, sebenarnya merosakkan pekerjaan-Ku! Oleh itu ketahuilah, orang yang berbuat dosa ataupun mengatakan kata-kata kufur, akan diampuni. Tetapi sesiapa mengkufuri Roh Allah, tidak akan diampuni! Sesiapa yang dengan kata-katanya menentang Anak Manusia dapat diampuni, tetapi sesiapa yang menghina Roh Allah tidak dapat diampuni, baik sekarang mahupun di akhirat!” “Untuk mendapat buah yang baik, kamu harus mempunyai pokok yang baik. Jika pokok kamu tidak baik, buahnya pun tidak baik. Baik tidaknya sesuatu pokok diketahui daripada buahnya. Hai kamu orang jahat, bagaimanakah kamu dapat mengatakan perkara-perkara baik padahal kamu ini jahat? Orang mengucapkan apa yang terkandung di dalam hati. Seorang yang baik mengeluarkan perkara-perkara baik, kerana hatinya penuh kebaikan. Seorang yang jahat mengeluarkan perkara-perkara jahat, kerana hatinya penuh kejahatan. Ketahuilah bahawa pada Hari Kiamat setiap orang harus mempertanggungjawabkan tiap-tiap kata yang tidak seharusnya diucapkan. Kata-kata kamu akan digunakan untuk menentukan sama ada kamu bersalah atau tidak.”

MATIUS 12:22-37 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

¶ Maka dibawa oranglah kapada Isa sa’orang tŭrkŭna jin, iya itu buta lagi kŭlu, maka disŭmbohkannyalah akan dia, sahingga orang buta dan kŭlu itu pun bulih bŭrkata kata dan mŭlihat. Maka sagala orang itu pun tŭrchŭnganglah sambil bŭrkata, Bahwa bukankah iya ini anak Daud adanya? Tŭtapi apabila didŭngar ulih orang orang Farisia akan hal itu, maka bŭrkatalah marika itu, Bahwa iya ini bukannya mŭmbuangkan jin, mŭlainkan dŭngan kwasa Bilzebab, pŭnghulu sagala jin itu. Maka dikŭtahuilah ulih Isa akan fikiran marika itu, lalu bŭrkatalah iya padanya, Adapun barang suatu krajaan yang bŭrchŭdra sama sŭndirinya, maka iya itu kasudahannya rosak kŭlak; dan barang suatu nŭgri, atau rumah yang bŭrchŭdra sama sŭndirinya, maka tiada kŭlak tŭtap adanya. Dan jikalau Shietan itu mŭmbuangkan Shietan, iya itu bŭrchŭdra sama sŭndirinya, ŭntah bagimanakah krajaannya bulih tŭtap? Maka jikalau aku ini mŭmbuangkan jin itu dŭngan kwasa Bilzebab itu, maka dŭngan kwasa siapakah pula kŭlak anak anak muridmu itu mŭmbuangkan dia? Sŭbab itu marika itulah juga akan mŭnjadi hakimmu. Tŭtapi jikalau dŭngan Roh Allah aku mŭmbuangkan jin itu, bahwa krajaan Allah tŭlah datang kapadamu. Maka ŭntah bagimanakah grangan orang bulih masok kadalam rumah sa’orang yang gagah, sŭrta mŭrampas sagala harta bŭndanya, mŭlainkan handaklah diikatnya dahulu orang gagah itu, maka kumdian bahrulah bulih iya mŭrampas rumahnya. Maka adapun barang siapa yang tiada bŭrsama sama dŭngan aku, maka iyalah mŭnjadi lawanku; dan barang siapa yang tiada mŭnghimpunkan bŭrsama sama dŭngan aku, maka orang itulah mŭnaborkan. ¶ Maka sŭbab itu aku bŭrkata padamu, adapun sagala jŭnis dosa orang, dan hujat akan diampuni, tŭtapi orang yang mŭnghujat akan Roh Alkudus itulah tiada diampuni. Maka barang siapa yang bŭrkata kata barang pŭrkataan yang mŭlawan anak manusia, maka iya itu akan diampuni, tŭtapi barang siapa yang bŭrkata akan pŭrkataan yang mŭlawan Roh Alkudus, maka iya itu tiada diampuni dunia akhirat. Maka salah suatu, jadikanlah pohon itu baik, maka buahnya pun bulih baik; atau jadikanlah pohon itu jahat, maka buahnya pun jahat; kŭrna kakŭnalan pohon kayu itu deri sŭbab buahnya. Hie kŭturunan ular yang bisa, maka bagimanakah bulih kamu yang jahat itu bŭrkata kata pŭrkara yang baik? Kŭrna mulot bŭrkata kata itu kluarnya deripada hati yang pŭnoh isinya. Adapun orang yang baik itu, iya mŭngluarkan barang yang baik deri dalam pŭrbŭndahran hatinya yang baik; dan orang yang jahat itu pun iya mŭngluarkan barang yang jahat deri dalam pŭrbandahran hatinya yang jahat. Tŭtapi aku bŭrkata kapadamu, adapun barang suatu pŭrkataan sia sia yang dikatakan ulih orang, maka iya itu kŭlak akan dibrinya kira kiranya pada hari kiamat. Kŭrna deripada pŭrkataanmu itu angkau akan dibŭnarkan, dan deripada pŭrkataanmu juga angkau akan disalahkan.

MATIUS 12:22-37 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Setelah itu, seorang yang buta dan bisu kerana dirasuk roh iblis dibawa kepada Yesus lalu disembuhkan-Nya. Orang ramai di situ ketakjuban lalu bertanya sama sendiri, “Mungkinkah Dia ini Anak Daud?” Apabila orang Farisi mendengar tentang itu, mereka menjawab, “Dia dapat menghalau roh-roh iblis kerana diberi kuasa oleh Beelzebul, ketua roh iblis.” Yesus mengetahui isi hati mereka lalu berkata, “Kerajaan yang berpecah belah akan hancur lebur dan kota atau keluarga yang berpecah belah tidak dapat bertahan. Begitu juga, andainya Iblis mengusir Iblis, dia akan berpecah belah, dan bagaimanakah kerajaannya dapat bertahan? Tetapi jika Aku menghalau roh-roh iblis dengan kuasa Beelzebul, maka dengan kuasa siapakah pula pengikut-pengikutmu menghalau roh-roh iblis? Oleh itu, merekalah yang akan menjadi hakimmu. Tetapi jika Aku menghalau roh-roh iblis dengan Roh Allah, maka sesungguhnya kerajaan Allah sudah bertapak dalam kalanganmu. Atau bagaimanakah orang dapat memasuki rumah seorang yang gagah dan merampas harta bendanya kecuali orang gagah itu dapat diikat dahulu? Selepas itu, barulah dia dapat merompak rumahnya. Orang yang tidak berpihak kepada-Ku menentang-Ku; dan orang yang tidak mengumpulkan bersama-Ku mencerai-beraikan. Ketahuilah: Orang yang berbuat dosa dan mengucapkan kata-kata kufur akan diampuni, tetapi mereka yang mengkufuri Roh Kudus tidak akan diampuni. Orang yang menentang Anak Manusia dengan kata-katanya dapat diampuni, tetapi mereka yang menghina Roh Kudus tidak dapat diampuni, baik di dunia mahupun di akhirat.” “Jika kamu ingin mendapat buah yang baik, kamu harus mempunyai pokok yang baik. Jika pokok tidak baik, buahnya pun tidak baik. Baik tidaknya pokok diketahui daripada buahnya. Hai kamu bagaikan ular kapak berbisa, bagaimana dapat kamu tuturkan perkara yang baik sedangkan dirimu jahat? Yang diluahkan mulut meluap daripada hati. Orang yang baik membuahkan hal-hal baik daripada khazanah simpanannya kerana hatinya penuh kebaikan. Orang yang jahat membuahkan hal-hal jahat kerana hatinya penuh kejahatan. Aku berkata kepadamu: Pada hari penghakiman, setiap orang harus mempertanggungjawabkan setiap katanya yang tidak sewajarnya dituturkan. Kata-katamu sendiri akan dijadikan ukuran sama ada kamu bersalah atau tidak, dan dengan kata-katamu sendiri pula kamu dihukum.”