MALEAKHI 1:1-14

MALEAKHI 1:1-14 Alkitab Berita Baik (BM)

Inilah perkhabaran TUHAN kepada Maleakhi untuk disampaikan kepada umat Israel. TUHAN berfirman kepada umat-Nya, “Aku sentiasa mengasihi kamu.” Tetapi mereka menjawab, “Bagaimanakah TUHAN mengasihi kami?” TUHAN menjawab, “Esau dan Yakub bersaudara; Aku mengasihi Yakub serta keturunannya, tetapi Aku membenci Esau serta keturunannya. Aku sudah memusnahkan kawasan berbukit milik Esau dan membiarkan tanahnya dihuni binatang buas.” Jika keturunan Esau, iaitu orang Edom berkata, “Kota kami sudah dimusnahkan tetapi kami akan membinanya semula,” maka TUHAN Yang Maha Kuasa akan menjawab, “Biarlah mereka membinanya semula, tetapi Aku akan merobohkannya lagi. Orang akan menyebut mereka ‘Negeri derhaka’ dan ‘Bangsa yang dimurkai TUHAN selama-lamanya.’ ” Dengan mata kepala sendiri orang Israel akan nampak kejadian itu, lalu berkata, “TUHAN sungguh berkuasa; kekuasaan-Nya sampai di luar negeri Israel!” TUHAN Yang Maha Kuasa berfirman kepada para imam, “Seorang anak menghormati bapanya dan seorang hamba menghormati tuannya. Aku Bapa kamu, tetapi mengapa kamu tidak menghormati Aku? Aku tuan kamu, tetapi mengapa kamu tidak takut kepada-Ku? Kamu menghina Aku, tetapi kamu bertanya, ‘Dengan cara apakah kami menghina Engkau?’ Dengan cara ini: Kamu mempersembahkan makanan yang tidak layak dipersembahkan di atas mazbah-Ku. Kemudian kamu bertanya, ‘Dengan cara apakah kami tidak menghormati Engkau?’ Biarlah Aku jelaskan: Kamu menghina mazbah-Ku. Apabila kamu mempersembahkan binatang yang buta, yang sakit, atau yang tempang sebagai korban untuk Aku, bukankah hal itu perbuatan yang salah? Cubalah berikan binatang seperti itu kepada gabenor! Adakah dia akan suka kepada kamu, dan memperlakukan kamu dengan baik?” Sekarang, hai para imam, cubalah mohon agar Allah mengasihani kita. Dia tidak akan menjawab doa kamu, dan hal itu salah kamu sendiri. TUHAN Yang Maha Kuasa berfirman, “Lebih baik seorang antara kamu menutup pintu Rumah-Ku, kerana sia-sia saja kamu menyalakan api di atas mazbah-Ku. Aku tidak berkenan kepada kamu dan tidak mahu menerima persembahan kamu. Aku dihormati oleh bangsa-bangsa di seluruh dunia. Mereka membakar kemenyan di merata tempat untuk menghormati Aku, dan mereka mempersembahkan korban yang layak dipersembahkan. Mereka semua menghormati Aku! Tetapi kamu menghina Aku kerana berkata bahawa mazbah-Ku tidak berguna, dan kamu mempersembahkan makanan yang tidak kamu sukai di atas mazbah itu. Kamu berkata, ‘Kami sudah bosan dengan semua ini’, dan kamu menghina Aku. Kamu membawa binatang yang dicuri, yang tempang, atau yang sakit untuk dipersembahkan kepada-Ku. Adakah kamu menyangka bahawa Aku akan menerima persembahan itu? Terkutuklah si penipu yang mempersembahkan binatang yang tidak berguna kepada-Ku, sedangkan dia mempunyai binatang yang baik antara ternakannya yang sudah dijanjikannya kepada-Ku; Akulah Raja yang besar, TUHAN Yang Maha Kuasa, dan semua bangsa menghormati Aku.”

MALEAKHI 1:1-14 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Inilah pernyataan ilahi yang difirmankan TUHAN kepada Israel dengan perantaraan Maleakhi. “Aku mengasihi kamu,” demikianlah firman TUHAN. “Tetapi kamu bertanya, ‘Bagaimanakah Engkau mengasihi kami?’ ” “Bukankah Esau itu saudara Yakub?” demikianlah firman TUHAN. “Namun demikian, Yakub Kukasihi, tetapi Esau Kubenci. Pergunungannya telah Kujadikan tandus dan harta pusakanya telah Kuserahkan kepada serigala gurun. Apabila Edom berkata, ‘Sememangnya kami sudah hancur, tetapi kami akan kembali membangunkan reruntuhan itu,’ maka beginilah firman TUHAN alam semesta, ‘Mereka boleh mendirikan, tetapi Aku akan meruntuhkannya. Mereka akan disebut “Daerah Kefasiqan” dan “Kaum yang dimurkai TUHAN untuk selama-lamanya.” ’ Matamu akan melihatnya sendiri dan kamu akan berkata, ‘Maha Besar TUHAN sampai di luar negeri Israel!’ Seorang anak menghormati bapanya dan seorang hamba menghormati tuannya. Kalau Aku ini bapa, di manakah rasa hormatmu kepada-Ku? Kalau Aku ini tuan, di manakah rasa takutmu kepada-Ku?” demikianlah firman TUHAN alam semesta, kepada kamu, wahai para imam yang menghina nama-Ku. “Tetapi kamu bertanya, ‘Bagaimanakah kami menghina nama-Mu?’ ” “Kamu mempersembahkan santapan persembahan yang cemar di atas mazbah-Ku.” “Lalu kamu bertanya lagi, ‘Bagaimanakah kami mencemari Engkau?’ ” “Dengan berfikir, ‘Meja TUHAN boleh dihina.’ Apabila kamu mempersembahkan haiwan yang buta sebagai korban, bukankah itu kejahatan? Apabila kamu mempersembahkan haiwan yang tempang dan sakit, bukankah itu kejahatan? Cubalah persembahkannya kepada pembesarmu! Adakah dia akan berkenan kepadamu atau sudi menerima engkau?” demikianlah firman TUHAN alam semesta. Sekarang, mohonkanlah belas kasihan Allah, supaya Dia mengasihani kita. Hal ini terjadi akibat perbuatanmu sendiri. Sudikah Dia terima seorang daripada kalangan kamu? Demikianlah firman TUHAN alam semesta. “Baiknya kalau ada seorang antara kamu yang mahu menutup pintu, supaya kamu tidak menyalakan api di atas mazbah-Ku dengan sewenang-wenangnya! Aku tidak suka kepada kamu,” demikianlah firman TUHAN alam semesta, “dan Aku tidak berkenan menerima persembahan daripada tanganmu. Sungguh, dari terbitnya matahari sampai terbenamnya, nama-Ku besar di antara bangsa-bangsa. Di setiap tempat dipersembahkan dupa bagi nama-Ku dan juga persembahan yang tahir, kerana nama-Ku besar di antara bangsa-bangsa,” demikianlah firman TUHAN alam semesta. “Tetapi kamu mencemarinya dengan berfikir, ‘Meja Tuhan itu cemar dan makanan yang ada di situ boleh dihina.’ Kamu berkata, ‘Alangkah susahnya!’ dan kamu mendengus meremeh-temehkan hal yang berat,” demikianlah firman TUHAN alam semesta. “Kamu membawa haiwan rampasan, haiwan yang tempang, dan haiwan yang sakit sebagai persembahan. Akankah Kuperkenan menerimanya daripada tanganmu?” demikianlah firman TUHAN. “Terkutuklah si penipu, yang menazarkan seekor haiwan jantan daripada kawanan ternaknya, tetapi kemudian mempersembahkan haiwan yang cacat kepada Tuhan. Kerana Aku ini Raja yang besar,” demikianlah firman TUHAN alam semesta, “dan nama-Ku ditakuti di antara bangsa.”