MALEAKHI 1

1
1Inilah perkhabaran TUHAN kepada Maleakhi untuk disampaikan kepada umat Israel.
Kasih TUHAN kepada Israel
2TUHAN berfirman kepada umat-Nya, “Aku sentiasa mengasihi kamu.”
Tetapi mereka menjawab, “Bagaimanakah TUHAN mengasihi kami?”
TUHAN menjawab, “Esau dan Yakub bersaudara; Aku mengasihi Yakub serta keturunannya, 3 tetapi Aku membenci Esau serta keturunannya. Aku sudah memusnahkan kawasan berbukit milik Esau dan membiarkan tanahnya dihuni binatang buas.”
4Jika keturunan Esau, iaitu orang Edom berkata, “Kota kami sudah dimusnahkan tetapi kami akan membinanya semula,” maka TUHAN Yang Maha Kuasa akan menjawab, “Biarlah mereka membinanya semula, tetapi Aku akan merobohkannya lagi. Orang akan menyebut mereka ‘Negeri derhaka’ dan ‘Bangsa yang dimurkai TUHAN selama-lamanya.’ ”
5 Dengan mata kepala sendiri orang Israel akan nampak kejadian itu, lalu berkata, “TUHAN sungguh berkuasa; kekuasaan-Nya sampai di luar negeri Israel!”
TUHAN Murka kepada Para Imam
6TUHAN Yang Maha Kuasa berfirman kepada para imam, “Seorang anak menghormati bapanya dan seorang hamba menghormati tuannya. Aku Bapa kamu, tetapi mengapa kamu tidak menghormati Aku? Aku tuan kamu, tetapi mengapa kamu tidak takut kepada-Ku? Kamu menghina Aku, tetapi kamu bertanya, ‘Dengan cara apakah kami menghina Engkau?’ 7Dengan cara ini: Kamu mempersembahkan makanan yang tidak layak dipersembahkan di atas mazbah-Ku. Kemudian kamu bertanya, ‘Dengan cara apakah kami tidak menghormati Engkau?’ Biarlah Aku jelaskan: Kamu menghina mazbah-Ku. 8 Apabila kamu mempersembahkan binatang yang buta, yang sakit, atau yang tempang sebagai korban untuk Aku, bukankah hal itu perbuatan yang salah? Cubalah berikan binatang seperti itu kepada gabenor! Adakah dia akan suka kepada kamu, dan memperlakukan kamu dengan baik?”
9Sekarang, hai para imam, cubalah mohon agar Allah mengasihani kita. Dia tidak akan menjawab doa kamu, dan hal itu salah kamu sendiri. 10TUHAN Yang Maha Kuasa berfirman, “Lebih baik seorang antara kamu menutup pintu Rumah-Ku, kerana sia-sia saja kamu menyalakan api di atas mazbah-Ku. Aku tidak berkenan kepada kamu dan tidak mahu menerima persembahan kamu. 11Aku dihormati oleh bangsa-bangsa di seluruh dunia. Mereka membakar kemenyan di merata tempat untuk menghormati Aku, dan mereka mempersembahkan korban yang layak dipersembahkan. Mereka semua menghormati Aku! 12Tetapi kamu menghina Aku kerana berkata bahawa mazbah-Ku tidak berguna, dan kamu mempersembahkan makanan yang tidak kamu sukai di atas mazbah itu. 13Kamu berkata, ‘Kami sudah bosan dengan semua ini’, dan kamu menghina Aku. Kamu membawa binatang yang dicuri, yang tempang, atau yang sakit untuk dipersembahkan kepada-Ku. Adakah kamu menyangka bahawa Aku akan menerima persembahan itu? 14Terkutuklah si penipu yang mempersembahkan binatang yang tidak berguna kepada-Ku, sedangkan dia mempunyai binatang yang baik antara ternakannya yang sudah dijanjikannya kepada-Ku; Akulah Raja yang besar, TUHAN Yang Maha Kuasa, dan semua bangsa menghormati Aku.”

Terpilih Sekarang Ini:

MALEAKHI 1: BM

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk