LUKAS 8:4-8,11-15
LUKAS 8:4-8 Alkitab Berita Baik (BM)
Orang terus-menerus datang kepada Yesus dari berbagai-bagai kota. Apabila orang yang berkumpul di situ banyak sekali, Yesus menceritakan perumpamaan ini kepada mereka. Dia berkata, “Seorang peladang pergi menabur benih. Ketika dia menabur benih, ada yang jatuh di jalan. Benih itu dipijak-pijak orang dan dimakan burung. Ada juga yang jatuh di tempat berbatu. Apabila benih bertunas, tanaman itu segera layu kerana tanahnya kering. Ada juga yang jatuh di tengah-tengah semak berduri. Apabila benih bertunas, semak berduri yang tumbuh bersama-samanya membantutkan tumbuhan itu. Tetapi ada juga benih yang jatuh di tanah subur, lalu tumbuh dan menghasilkan buah seratus kali ganda.” Setelah Yesus menceritakan perumpamaan itu, Dia berkata, “Jika kamu bertelinga, dengarlah baik-baik!”
LUKAS 8:11-15 Alkitab Berita Baik (BM)
“Inilah makna perumpamaan itu: Benih itu firman Allah. Benih yang jatuh di jalan bagaikan orang yang mendengar perkhabaran Allah, tetapi Iblis datang dan mengambil perkhabaran itu dari hati mereka, supaya mereka tidak percaya ataupun diselamatkan. Benih yang jatuh di tempat berbatu bagaikan orang yang mendengar perkhabaran itu dan menerimanya dengan sukacita. Tetapi perkhabaran itu tidak berakar di dalam hati. Mereka percaya sekejap sahaja dan ketika cubaan datang mereka tidak lagi percaya kepada perkhabaran itu. Benih yang jatuh di tengah semak berduri bagaikan orang yang mendengar perkhabaran itu, tetapi kekhuatiran, kekayaan, dan kemewahan hidup membantutkan perkhabaran itu sehingga mereka tidak menghasilkan buah yang matang. Benih yang jatuh di tanah subur bagaikan orang yang mendengar perkhabaran itu serta menyimpannya di dalam hati yang baik dan jujur. Mereka bertekun sehingga menghasilkan buah.”
LUKAS 8:4-8 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
¶ Maka apabila banyaklah orang orang bŭrkampong yang kluar datang kapada Isa deri pada tiap tiap nŭgri, maka bŭrkatalah iya dŭngan suatu pŭrumpamaan. Maka kluarlah sa’orang pŭnabor handak mŭnabor bŭnihnya, tŭngah iya mŭnabor itu, ada yang jatoh disisi jalan, lalu dipijak orang, maka datanglah burong burong deri udara mŭmakan dia. Maka yang sŭtŭngah jatoh diatas batu, maka sŭrta iya bŭrtumboh, layulah iya, kŭrna tanahnya tiada bŭrchukopan. Dan yang sŭtŭngah jatohlah diantara duri duri, maka duri duri itu bŭrtumbohlah sama sama, lalu dilŭmaskannyalah akan dia. Dan yang lain jatohlah diatas tanah yang baik, maka bŭrtumbohlah iya, lalu bŭrbuahlah iya sa’ratus kali gandah. Maka apabila sudahlah Isa bŭrkata akan pŭrkara ini, lalu bŭrsrulah iya katanya, Siapa yang ada bŭrtlinga akan mŭnŭngar, biarlah iya mŭnŭngar.
Injil Lukas 8:11-15 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Adapun pŭrumpamaan ini dŭmkian, maka bŭnih itu iya itu fŭrman Allah adanya. Dan yang disisi jalan itu, iya itu orang orang yang mŭnŭngar, kumdian datanglah Iblis mŭngambil fŭrman itu deripada hatinya, supaya jangan marika itu pŭrchaya, sŭrta slamat. Maka yang diatas batu itu, iya itulah orang tŭtkala mŭnŭngar, maka ditrimanya pŭrkataan itu dŭngan suka chita, maka sŭbab marika itu tiada bŭrakar, pŭrchayalah iya sŭdikit waktu, maka pada masa pŭrchobaan, mungkirlah iya. Maka yang tŭlah jatoh diantara duri duri itu, maka adalah iya itu orang tŭtkala mŭnŭngar, pŭrgilah iya, lalu dilŭmaskan, ulih sŭbab tanggong tanggongan, dan kŭkayaan, dan kŭsukaan akan kahidopan dunia ini, tiadalah bŭrbuah dŭngan spŭrtinya. Tŭtapi yang diatas tanah yang baik itu, iya itulah orang dŭngan hati tulus dan baik, mŭnŭngar akan fŭrman itu, ditarohnya, maka bŭrbuahlah iya dŭngan sabarnya.
LUKAS 8:4-8 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Ketika orang ramai sedang berkumpul, dan orang dari beberapa buah bandar terus-menerus datang kepada-Nya, Dia menceritakan suatu ibarat: “Seorang penyemai pergi menabur benihnya. Semasa dia menabur, ada yang jatuh di tepi jalan dan dipijak orang lalu dimakan burung di udara. Ada pula yang jatuh di tempat berbatu, dan setelah bercambah, tumbuhan itu menjadi layu kerana kurangnya air. Ada pula yang jatuh di tengah-tengah semak duri, lalu semak membesar bersama-sama dan membantutkannya. Tetapi ada benih yang jatuh di tanah yang subur lalu bertunas dan mengeluarkan hasil seratus ganda.” Kemudian Yesus berseru, “Sesiapa yang bertelinga, dengarlah!”
Lukas 8:11-15 Alkitab Versi Borneo (AVB)
“Inilah maksud ibarat tadi: Benih itu ialah firman Allah. Benih yang jatuh di tepi jalan itu menggambarkan mereka yang mendengar firman itu tetapi kemudian Iblis datang dan mengambil firman itu daripada hati mereka supaya mereka tidak percaya dan diselamatkan. Benih yang jatuh di tempat berbatu itu bermaksud mereka yang mendengar firman itu dan terus menerima firman itu dengan sukacita tetapi mereka tidak berakar. Mereka itu hanya percaya untuk seketika dan pada waktu dugaan, iman mereka pun luntur. Benih yang jatuh di tengah-tengah semak duri itu ialah mereka yang telah mendengar firman itu, tetapi dalam hidup sehari-hari mereka terhimpit oleh kerunsingan dan kekayaan serta kesenangan hidup sehingga mereka tidak menghasilkan buah yang matang. Benih yang ditabur di tanah yang baik bermaksud orang yang mendengar firman itu dan menyimpannya dalam hati yang tulus ikhlas lalu dengan usaha tekun dia mengeluarkan buah.”