LUKAS 8:22-56

LUKAS 8:22-56 Alkitab Berita Baik (BM)

Pada suatu hari Yesus dengan pengikut-pengikut-Nya menaiki sebuah perahu. Dia berkata kepada mereka, “Marilah kita menyeberang tasik.” Mereka pun bertolak. Sedang mereka belayar, Yesus tidur. Tiba-tiba angin kencang melanda tasik itu. Air mula masuk ke dalam perahu sehingga membahayakan mereka semua. Pengikut-pengikut Yesus pergi kepada Yesus lalu membangunkan Dia. Mereka berkata, “Guru, Guru, kita hampir tenggelam!” Yesus bangun lalu menengking angin dan ombak yang bergelora. Angin dan ombak pun teduh dan tasik menjadi tenang sekali. Lalu Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Mengapa kamu tidak percaya kepada-Ku?” Tetapi mereka hairan dan takut serta bercakap sesama sendiri, “Siapakah orang ini, sehingga angin dan ombak taat kepada perintahnya?” Mereka terus belayar ke daerah Gerasa di seberang Tasik Galilea. Sedang Yesus naik ke darat, Dia didatangi seorang lelaki dari bandar. Orang itu dirasuk roh jahat. Sudah lama orang itu tidak berpakaian dan tidak mahu tinggal di rumah. Dia tinggal di gua kubur. Apabila dia melihat Yesus, dia berteriak serta sujud di hadapan Yesus, dan berseru, “Hai Yesus, Anak Allah Yang Maha Tinggi! Apakah yang akan Engkau lakukan terhadap aku? Aku mohon, janganlah seksa aku!” Orang itu berkata demikian kerana Yesus telah memerintah roh jahat itu keluar daripadanya. Banyak kali roh jahat itu menguasai orang itu. Walaupun dia dijaga dengan ketat dan kaki tangannya dirantai, dia dapat memutuskan rantai itu, lalu roh jahat membawa dia ke padang gurun. Yesus bertanya kepadanya, “Siapa namamu?” Dia menjawab, “ ‘Legiun’ ” - kerana banyak roh jahat sudah masuk ke dalam dirinya. Roh-roh jahat itu memohon supaya Yesus tidak menghalau roh-roh itu ke Jurang Maut. Dekat tempat itu ada kawanan babi sedang mencari makan di lereng bukit. Roh-roh jahat itu memohon supaya Yesus membenarkan roh-roh itu masuk ke dalam kawanan babi itu. Yesus bersetuju. Begitulah roh-roh jahat itu keluar daripada orang itu lalu masuk ke dalam kawanan babi. Kemudian kawanan babi itu lari ke tepi jurang dan terjun ke dalam tasik lalu tenggelam. Penjaga-penjaga babi itu nampak apa yang sudah berlaku. Mereka lari dari situ lalu menyebarkan berita itu di bandar dan di kampung-kampung sekitarnya. Lalu orang ramai keluar hendak melihat apa yang sudah berlaku. Mereka datang kepada Yesus dan mendapati orang yang telah dibebaskan daripada roh jahat duduk dekat kaki Yesus. Orang itu sudah berpakaian dan waras fikirannya. Mereka semua ketakutan. Semua orang yang telah melihat kejadian itu memberitahu orang ramai bagaimana orang itu disembuhkan. Lalu penduduk daerah Gerasa memohon supaya Yesus meninggalkan tempat itu, kerana mereka semua sangat takut. Oleh itu Yesus menaiki perahu lalu pergi dari situ. Orang yang telah dibebaskan daripada roh jahat memohon kepada Yesus supaya dibenarkan mengikut Yesus. Tetapi Yesus menyuruh dia pergi, “Pulanglah ke rumah, dan ceritakan apa yang telah dilakukan oleh Allah untukmu.” Orang itu pergi ke seluruh pelosok bandar dan menceritakan apa yang telah dilakukan oleh Yesus untuknya. Apabila Yesus kembali ke seberang tasik, orang ramai menyambut Dia kerana mereka sedang menanti-nantikan Dia. Lalu datanglah seorang bernama Yairus. Dia ketua rumah ibadat tempatan. Dia sujud di hadapan Yesus dan memohon supaya Yesus datang ke rumahnya, kerana anak perempuannya yang tunggal, yang berumur dua belas tahun, hampir meninggal. Sedang Yesus berjalan ke rumah Yairus, orang mengasak Dia dari semua sisi. Di situ ada seorang wanita yang menderita penyakit pendarahan selama dua belas tahun. Dia telah menghabiskan segala miliknya untuk rawatan doktor, tetapi tiada seorang pun dapat menyembuhkan dia. Wanita itu mendekati Yesus dari belakang, lalu menyentuh hujung jubah-Nya, dan dengan segera pendarahannya berhenti. Yesus bertanya, “Siapa menyentuh Aku?” Tiada orang yang mahu mengaku. Petrus berkata, “Guru, orang di sini banyak sekali; mereka berasak-asakan!” Tetapi Yesus berkata, “Ada orang yang menyentuh Aku. Aku tahu kerana kuasa telah keluar daripada-Ku.” Wanita itu sedar bahawa perbuatannya sudah diketahui oleh Yesus. Dia datang dengan gementar lalu sujud pada kaki Yesus. Di hadapan semua orang, dia memberitahu Yesus mengapa dia menyentuh Yesus dan bagaimana penyakitnya sembuh dengan serta-merta. Yesus berkata kepadanya, “Anak-Ku, kerana kamu percaya kepada-Ku, kamu sembuh. Pergilah dengan sejahtera.” Sedang Yesus berkata demikian, seorang pesuruh datang dari rumah Yairus. Dia berkata kepada Yairus, “Anak perempuan tuan sudah meninggal. Janganlah susahkan guru lagi.” Yesus mendengar kata-kata itu. Dia berkata kepada Yairus. “Jangan takut. Percayalah sahaja dan anakmu akan sembuh.” Apabila Yesus tiba di rumah itu, Dia tidak membenarkan sesiapa pun masuk dengan Dia kecuali Petrus, Yohanes, Yakobus, dan ibu bapa anak itu. Semua orang sedang menangisi dan meratapi kematian anak itu. Yesus berkata, “Janganlah menangis. Anak ini tidak meninggal, dia hanya tidur!” Semua orang mentertawakan Yesus, kerana mereka tahu bahawa anak itu sudah meninggal. Tetapi Yesus memegang tangan anak itu, lalu berkata, “Bangunlah, nak!” Nyawa anak itu kembali dan seketika itu juga dia bangun. Lalu Yesus menyuruh mereka memberikan makanan kepada anak itu. Ibu bapa anak itu sangat hairan, tetapi Yesus melarang mereka memberitahu sesiapa pun apa yang sudah berlaku.

LUKAS 8:22-56 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

¶ Maka skali pŭrstua adalah pada suatu hari anu, maka masoklah Isa kŭdalam sa’buah pŭrahu sŭrta dŭngan murid muridnya, maka katanya kapada marika itu, Marilah kita mŭnyŭbrang disŭblah sana tasik ini, maka marika itu skalian naiklah pŭrahu. Tŭtapi tŭngah marika itu bŭrlayar, tŭrtidorlah Isa, maka turonlah suatu ribut ditasik itu, maka pŭrahu itu pun pŭnohlah dŭngan ayer, hampirlah binasa. Maka datanglah marika itu kapadanya, sŭrta mŭmbangunkan dia, katanya, Guru, guru, binasalah kami. Sŭtlah bangunlah iya, maka ditŭngkingnya akan angin dan ayer mŭndru itu, maka bŭrhŭntilah, lalu mŭnjadi tŭdohlah. Maka katanya kapada marika itu, Manakah imanmu? Maka takotlah marika itu sŭrta hieran, lalu bŭrkata sa’orang kapada sa’orang, Apakah macham orang ini? Mŭski pun angin dan ayer diprentahkannya, maka diturotnya akan dia. ¶ Maka sampielah marika itu kanŭgri Jenesarat, iya itu ada bŭrsŭbrangan dŭngan Galilia. Maka apabila naiklah iya kŭdarat, maka bŭrtŭmulah dŭngan dia diluar nŭgri sa’orang anu yang tŭlah tŭrkŭna hantu lama sudah, dŭngan tiada bŭrkain, atau tŭmpat kŭdiamannya dalam barang rumah, mŭlainkan dikubor kubor adanya. Maka apabila dilihatnya Isa, bŭrtriaklah iya sŭrta jatoh dihadapannya, maka dŭngan swara yang nyaring katanya, Apakah bicharaku dŭngan dikau, hie Isa Anak Allah yang maka tinggi, bahwa aku pinta kapadamu janganlah sŭngsarakan aku. Kŭrna Isa tŭlah mŭnyurohkan hantu itu kluar deripada orang itu, kŭrap kali hantu itu mŭnangkap akan dia, dan ditahan tŭrikat akan dia dŭngan rantie, dan dalam pasong, maka diputuskannya ikatannya, dan dilarikannya ulih hantu itu dalam padang bŭlantara. Maka ditanya Isa akan dia, katanya, Apakah namamu? Maka katanya, Lejion; kŭrna banyaklah hantu masok kŭdalamnya. Maka dipinta ulih marika itu akan Isa, janganlah disurohkan dia kluar, dan masok kŭdalam lobok itu. Maka adalah disana sa’kawan banyak babi mŭnchari makan diatas gunong, maka dipinta ulih hantu hantu itu supaya biarlah iya masok kŭdalamnya, maka diluloskannyalah akan dia. Maka hantu hantu itu pun kluarlah deripada orang itu, lalu masoklah kŭdalam babi itu, maka bŭrlari larilah kawan babi itu tŭrlalu dŭras turon suatu tŭmpat churam kŭdalam tasik, maka tŭngglamlah iya disana. Maka apabila gombala gombalanya itu mŭlihat hal itu, larilah marika itu pŭrgi mŭmbri tahu kŭdalam nŭgri, dan didarat darat. Sŭtlah itu maka kluarlah orang orang itu mŭlihat barang yang tŭlah jadi itu, lalu datanglah iya kapada Isa, maka didapatinya orang yang sudah kluar hantu deripadanya itu ada dudok dikaki Isa dŭngan bŭrkain, dan dalam bŭtol ingatannya, maka takotlah marika itu. Adapun sagala orang yang mŭlihat itu pun bŭrkatalah kapada kawannya, Bagimana halnya orang yang tŭrkŭna hantu itu tŭlah sŭmboh? Maka sagala bŭlatantara dalam nŭgri Gŭdarin kliling itu pun mŭmintalah kapadanya undor deripada marika itu, kŭrna marika itu skalian tŭlah mŭnaroh kŭtakotan yang bŭsar. Maka Isa pun turon kaprahu, laln bŭrbalik kŭmbali. Adapun orang yang sudah hantu itu mŭninggalkan, mŭminta kapadanya biarlah iya bŭrsama sama dŭngan dia, tŭtapi disurohkan Isa akan dia pulang, katanya, Kŭmbalilah angkau karumahmu sŭndiri, maka unjokkanlah bagimana bŭsar pŭrkara pŭrkara yang tŭlah dipŭrbuat Allah kapadamu; maka pŭrgilah iya sŭrta mŭmashorkannya sŭgŭnap nŭgri, bagimana bŭsar pŭrkara pŭrkara yang tŭlah dipŭrbuat ulih Isa kapadanya. Maka pada skali pŭrstua apabila Isa sudah bŭrbalik, maka kaum itu pun mŭnŭrimalah akan dia dŭngan suka chita, kŭrna marika itu skaliannya ada mŭnanti akan dia. ¶ Maka sŭsungguhnya datanglah sa’orang yang bŭrnama Jerius, iya itu suatu pŭnghulu kŭnisa, maka mŭnyŭmbahlah iya kapada kaki Isa, sŭrta mŭminta akan dia, supaya iya datang karumahnya. Kŭrna adalah kapadanya sa’orang anak pŭrampuan tunggal sahja, kira kira dua blas tahun umornya, maka adalah iya itu tŭrbaring handak mati. Maka apabila Isa handak bŭrjalan, orang pun bŭrkrumun lah. ¶ Maka ada sa’orang pŭrampuan tumpah tumpah darah tŭlah dua blas tahun yang sudah diblanjakannya sagala hartanya kapada tabib tabib, itu pun ta’bulih disŭmbohkan ulih barang sa’orang. Datanglah iya diblakang Isa, lalu dijamahnya kŭliman bajunya, maka skutika itu juga maka darah itu pun bŭrbahulah. Maka kata Isa, Siapakah mŭnjamah aku? Maka skaliannya pun bŭrsangkal. Maka Petros sŭrta marika itu yang ada bŭrsama sama dŭngan dia bŭrkata, Guru, bŭlatantara ini bŭrkrumun, dan mŭngasak akan dikau, katalah angkau, siapakah mŭnjamah aku. Maka kata Isa, Ada orang tŭlah mŭnjamah aku, kŭrna aku rasai khasiat tŭlah kluar deri padaku. Maka apabila dilihat ulih pŭrampuan itu tiada bulih disŭmbunyikannya itu, datanglah iya dŭngan gŭmŭntar, maka jatohlah iya kahadapannya, lalu diakuinyalah kapadanya dihadapan kaum itu, apa sŭbabnya iya tŭlah mŭnjamah akan dia, dan bagimana iya tŭlah sŭmboh dŭngan skutika itu. Maka katanya kapada pŭrampuan itu, Anak, hiborkanlah hatimu, imanmu tŭlah mŭnyŭmbohkan akan dikau, pulanglah angkau dŭngan sŭjahtranya. ¶ Maka sŭmŭntara iya lagi bŭrtutor, datanglah sa’orang deripada rumah pŭnghulu kŭnisa, katanya kapada pŭnghulu itu, Anakmu pŭrampuan tŭlah mati, janganlah mŭmbuat susah kapada Guru. Tŭtapi apabila didŭngar ulih Isa itu, maka jawabnya akan dia, katanya, Janganlah takot, mŭlainkan pŭrchayalah sahja, anak pŭrampuan itu akan disŭmbohkan pula. Maka apabila datanglah iya kŭdalam rumah itu, maka tiadalah dibrinya sa’orang pun masok, mŭlainkan Petros, dan Yakob, dan Yahya, dan ibu bapa budak pŭrampuan itu. Maka skaliannya mŭnangis, dan mŭratapkan dia, tŭtapi kata Isa, Janganlah mŭnangis, bukannya dia mati, mŭlainkan tidor. Maka ditŭrtawakanlah ulih marika itu dŭngan mŭnghinakan dia, kŭrna dikŭtahuinya budak itu sudah mati. Maka dikluarkan Isa skalian marika itu, lalu dipŭgangnya tangan budak itu, sŭrta ditriaknya, katanya, Dayang, bangun. Maka rohnya itu pun kŭmbalilah pula, maka dŭngan sŭgranya bangunlah iya; maka Isa pun mŭnyurohkan mŭmbri iya makan. Maka ajaiblah ibu bapanya, tŭtapi diingatkannya akan dia, supaya jangan dikatakannya kapada sa’orang jua pun barang yang tŭlah jadi.

LUKAS 8:22-56 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Pada suatu hari Yesus bersama murid-murid-Nya menaiki sebuah perahu. Yesus berkata kepada mereka, “Marilah kita pergi ke seberang tasik.” Lalu mereka bertolak. Ketika mereka sedang belayar, Yesus tertidur. Angin ribut bertiup ke tasik itu dan perahu itu pun dimasuki air sehingga mereka cemas. Para murid-Nya datang kepada Yesus dan membangunkan-Nya. Mereka berkata, “Tuan, Tuan, kita hampir karam!” Yesus bangun lalu menegur angin dan ombak yang bergelora itu. Ribut itu pun berhenti dan segalanya tenang. Yesus berkata kepada mereka, “Di manakah kepercayaanmu?” Mereka pun menjadi takut dan tercengang sambil berkata sesama sendiri, “Siapakah Dia ini sehingga angin dan ombak pun mengikut perintah-Nya?” Mereka belayar ke daerah Gerasa yang di seberang Galilea. Setelah Yesus mendarat, seorang lelaki dari bandar itu datang menemui-Nya. Orang itu telah dirasuk roh-roh iblis dan sudah lama dia tidak berpakaian. Dia tidak tinggal di rumahnya lagi tetapi di gua kubur. Ketika dia melihat Yesus, dia berteriak lalu sujud di hadapan-Nya dan berseru dengan suara keras, “Apa urusan-Mu dengan aku, ya Yesus, Anak Allah Yang Maha Tinggi? Aku minta janganlah seksa aku.” Dia berkata demikian kerana Yesus telah memerintah roh jahat itu keluar daripadanya. Dia sering kali dikuasai oleh roh jahat itu. Oleh sebab itu, dia dikawal ketat dan tangan serta kakinya dirantai orang. Tetapi dia dapat memutuskan rantai itu dan dibawa oleh roh jahat ke padang gurun. Yesus bertanya kepadanya, “Siapakah namamu?” Dia menjawab, “Legion” kerana dia telah dirasuk oleh ramai roh iblis. Roh-roh iblis itu memohon kepada Yesus supaya tidak menghalau mereka ke neraka. Kebetulannya, di bukit itu ada sekawan babi sedang makan. Roh-roh iblis itu memohon kepada Yesus supaya Dia membenarkan mereka masuk ke dalam babi-babi itu dan Yesus membenarkannya. Roh-roh iblis itu keluar daripada orang tadi dan masuk ke dalam babi. Kemudian kawanan babi itu menyerbu ke tempat curam dan terjun ke dalam tasik lalu mati lemas. Setelah penjaga-penjaga babi itu menyaksikan apa yang telah terjadi, mereka berlari untuk menyebarkan hal itu di bandar dan di kampung-kampung sekitarnya. Orang ramai pun keluar untuk melihat apa yang telah terjadi. Mereka datang kepada Yesus dan mendapati orang yang telah dibebaskan daripada roh-roh iblis itu duduk di kaki Yesus. Orang itu berpakaian dan sudah siuman. Oleh itu, mereka pun ketakutan. Orang yang telah menyaksikan kejadian itu menceritakan kepada mereka bagaimana orang yang kerasukan roh iblis itu telah disembuhkan. Lalu semua penduduk daerah Gerasa meminta Yesus supaya meninggalkan mereka kerana mereka ketakutan. Yesus pun menaiki perahu untuk pulang. Orang yang telah dibebaskan daripada roh-roh iblis itu meminta Yesus membenarkan dia mengikut bersama-Nya tetapi Yesus menyuruh dia pulang dan berkata, “Pulanglah ke rumahmu dan khabarkanlah segala yang dilakukan Allah untukmu.” Orang itu pergi menyebarkan segala yang dilakukan Yesus untuknya di seluruh bandar itu. Sekembalinya Yesus ke seberang tasik, orang ramai pun menyambut-Nya kerana mereka menanti-nantikan-Nya. Seorang lelaki yang bernama Yairus, iaitu ketua saumaah datang kepada-Nya. Dia sujud pada kaki Yesus dan memohon kepada-Nya supaya datang ke rumahnya kerana anak perempuan tunggalnya yang berumur dua belas tahun hampir mati. Semasa Yesus berjalan, orang ramai itu mengasak-Nya dari semua pihak. Di situ ada seorang wanita yang menghidap penyakit pendarahan selama dua belas tahun dan walaupun dia telah menghabiskan segala harta bendanya untuk mendapatkan rawatan daripada beberapa orang tabib, dia tidak dapat disembuhkan oleh sesiapa pun. Wanita itu mendekati Yesus dari belakang lalu menyentuh hujung jubah-Nya. Seketika itu juga, penyakit pendarahannya sembuh. Yesus berkata, “Siapakah yang menyentuh Aku?” Apabila semua orang menafikannya, Petrus berkata, “Tuan, orang ramai ini menghimpit dan mengasak Tuan.” Tetapi Yesus berkata, “Ada orang menyentuh Aku kerana Aku tahu bahawa kuasa telah keluar daripada-Ku.” Apabila perempuan itu mengetahui perbuatannya tidak dapat disembunyikan, dia datang dengan gementar lalu sujud di hadapan Yesus dan menceritakan kepada-Nya di hadapan orang ramai itu sebabnya dia menyentuh Yesus serta bagaimana dia sembuh seketika itu juga. Yesus berkata kepadanya, “Anak-Ku, imanmu telah menyembuhkanmu. Pergilah dengan sejahtera.” Sementara Yesus masih berkata-kata, seorang utusan datang dari rumah ketua saumaah dan berkata kepada ketua itu, “Anak perempuan tuan telah mati. Tidak usah menyusahkan Guru lagi.” Yesus mendengar ini dan berkata kepada ketua itu, “Jangan takut, percaya sahaja dan anakmu akan dipulihkan.” Apabila tiba ke rumah itu, Yesus tidak membenarkan sesiapa pun masuk bersama-sama selain Petrus, Yohanes dan Yakobus serta ibu bapa budak itu. Semua orang menangis dan meratapi kematian budak itu. Yesus berkata, “Janganlah menangis. Dia bukan mati, dia cuma tidur.” Mereka mentertawakan Yesus kerana mereka mengetahui anak itu telah mati. Tetapi Yesus memegang tangan budak itu dan berseru, “Anak-Ku, bangunlah!” Roh budak itu kembali dan dia bangun seketika itu juga. Lalu Yesus menyuruh mereka memberi budak itu makanan. Ibu bapanya kagum tetapi Yesus melarang mereka mengatakan apa-apa tentang kejadian itu kepada sesiapa pun.