LUKAS 8:22-39

LUKAS 8:22-39 Alkitab Berita Baik (BM)

Pada suatu hari Yesus dengan pengikut-pengikut-Nya menaiki sebuah perahu. Dia berkata kepada mereka, “Marilah kita menyeberang tasik.” Mereka pun bertolak. Sedang mereka belayar, Yesus tidur. Tiba-tiba angin kencang melanda tasik itu. Air mula masuk ke dalam perahu sehingga membahayakan mereka semua. Pengikut-pengikut Yesus pergi kepada Yesus lalu membangunkan Dia. Mereka berkata, “Guru, Guru, kita hampir tenggelam!” Yesus bangun lalu menengking angin dan ombak yang bergelora. Angin dan ombak pun teduh dan tasik menjadi tenang sekali. Lalu Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Mengapa kamu tidak percaya kepada-Ku?” Tetapi mereka hairan dan takut serta bercakap sesama sendiri, “Siapakah orang ini, sehingga angin dan ombak taat kepada perintahnya?” Mereka terus belayar ke daerah Gerasa di seberang Tasik Galilea. Sedang Yesus naik ke darat, Dia didatangi seorang lelaki dari bandar. Orang itu dirasuk roh jahat. Sudah lama orang itu tidak berpakaian dan tidak mahu tinggal di rumah. Dia tinggal di gua kubur. Apabila dia melihat Yesus, dia berteriak serta sujud di hadapan Yesus, dan berseru, “Hai Yesus, Anak Allah Yang Maha Tinggi! Apakah yang akan Engkau lakukan terhadap aku? Aku mohon, janganlah seksa aku!” Orang itu berkata demikian kerana Yesus telah memerintah roh jahat itu keluar daripadanya. Banyak kali roh jahat itu menguasai orang itu. Walaupun dia dijaga dengan ketat dan kaki tangannya dirantai, dia dapat memutuskan rantai itu, lalu roh jahat membawa dia ke padang gurun. Yesus bertanya kepadanya, “Siapa namamu?” Dia menjawab, “ ‘Legiun’ ” - kerana banyak roh jahat sudah masuk ke dalam dirinya. Roh-roh jahat itu memohon supaya Yesus tidak menghalau roh-roh itu ke Jurang Maut. Dekat tempat itu ada kawanan babi sedang mencari makan di lereng bukit. Roh-roh jahat itu memohon supaya Yesus membenarkan roh-roh itu masuk ke dalam kawanan babi itu. Yesus bersetuju. Begitulah roh-roh jahat itu keluar daripada orang itu lalu masuk ke dalam kawanan babi. Kemudian kawanan babi itu lari ke tepi jurang dan terjun ke dalam tasik lalu tenggelam. Penjaga-penjaga babi itu nampak apa yang sudah berlaku. Mereka lari dari situ lalu menyebarkan berita itu di bandar dan di kampung-kampung sekitarnya. Lalu orang ramai keluar hendak melihat apa yang sudah berlaku. Mereka datang kepada Yesus dan mendapati orang yang telah dibebaskan daripada roh jahat duduk dekat kaki Yesus. Orang itu sudah berpakaian dan waras fikirannya. Mereka semua ketakutan. Semua orang yang telah melihat kejadian itu memberitahu orang ramai bagaimana orang itu disembuhkan. Lalu penduduk daerah Gerasa memohon supaya Yesus meninggalkan tempat itu, kerana mereka semua sangat takut. Oleh itu Yesus menaiki perahu lalu pergi dari situ. Orang yang telah dibebaskan daripada roh jahat memohon kepada Yesus supaya dibenarkan mengikut Yesus. Tetapi Yesus menyuruh dia pergi, “Pulanglah ke rumah, dan ceritakan apa yang telah dilakukan oleh Allah untukmu.” Orang itu pergi ke seluruh pelosok bandar dan menceritakan apa yang telah dilakukan oleh Yesus untuknya.

LUKAS 8:22-39 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

¶ Maka skali pŭrstua adalah pada suatu hari anu, maka masoklah Isa kŭdalam sa’buah pŭrahu sŭrta dŭngan murid muridnya, maka katanya kapada marika itu, Marilah kita mŭnyŭbrang disŭblah sana tasik ini, maka marika itu skalian naiklah pŭrahu. Tŭtapi tŭngah marika itu bŭrlayar, tŭrtidorlah Isa, maka turonlah suatu ribut ditasik itu, maka pŭrahu itu pun pŭnohlah dŭngan ayer, hampirlah binasa. Maka datanglah marika itu kapadanya, sŭrta mŭmbangunkan dia, katanya, Guru, guru, binasalah kami. Sŭtlah bangunlah iya, maka ditŭngkingnya akan angin dan ayer mŭndru itu, maka bŭrhŭntilah, lalu mŭnjadi tŭdohlah. Maka katanya kapada marika itu, Manakah imanmu? Maka takotlah marika itu sŭrta hieran, lalu bŭrkata sa’orang kapada sa’orang, Apakah macham orang ini? Mŭski pun angin dan ayer diprentahkannya, maka diturotnya akan dia. ¶ Maka sampielah marika itu kanŭgri Jenesarat, iya itu ada bŭrsŭbrangan dŭngan Galilia. Maka apabila naiklah iya kŭdarat, maka bŭrtŭmulah dŭngan dia diluar nŭgri sa’orang anu yang tŭlah tŭrkŭna hantu lama sudah, dŭngan tiada bŭrkain, atau tŭmpat kŭdiamannya dalam barang rumah, mŭlainkan dikubor kubor adanya. Maka apabila dilihatnya Isa, bŭrtriaklah iya sŭrta jatoh dihadapannya, maka dŭngan swara yang nyaring katanya, Apakah bicharaku dŭngan dikau, hie Isa Anak Allah yang maka tinggi, bahwa aku pinta kapadamu janganlah sŭngsarakan aku. Kŭrna Isa tŭlah mŭnyurohkan hantu itu kluar deripada orang itu, kŭrap kali hantu itu mŭnangkap akan dia, dan ditahan tŭrikat akan dia dŭngan rantie, dan dalam pasong, maka diputuskannya ikatannya, dan dilarikannya ulih hantu itu dalam padang bŭlantara. Maka ditanya Isa akan dia, katanya, Apakah namamu? Maka katanya, Lejion; kŭrna banyaklah hantu masok kŭdalamnya. Maka dipinta ulih marika itu akan Isa, janganlah disurohkan dia kluar, dan masok kŭdalam lobok itu. Maka adalah disana sa’kawan banyak babi mŭnchari makan diatas gunong, maka dipinta ulih hantu hantu itu supaya biarlah iya masok kŭdalamnya, maka diluloskannyalah akan dia. Maka hantu hantu itu pun kluarlah deripada orang itu, lalu masoklah kŭdalam babi itu, maka bŭrlari larilah kawan babi itu tŭrlalu dŭras turon suatu tŭmpat churam kŭdalam tasik, maka tŭngglamlah iya disana. Maka apabila gombala gombalanya itu mŭlihat hal itu, larilah marika itu pŭrgi mŭmbri tahu kŭdalam nŭgri, dan didarat darat. Sŭtlah itu maka kluarlah orang orang itu mŭlihat barang yang tŭlah jadi itu, lalu datanglah iya kapada Isa, maka didapatinya orang yang sudah kluar hantu deripadanya itu ada dudok dikaki Isa dŭngan bŭrkain, dan dalam bŭtol ingatannya, maka takotlah marika itu. Adapun sagala orang yang mŭlihat itu pun bŭrkatalah kapada kawannya, Bagimana halnya orang yang tŭrkŭna hantu itu tŭlah sŭmboh? Maka sagala bŭlatantara dalam nŭgri Gŭdarin kliling itu pun mŭmintalah kapadanya undor deripada marika itu, kŭrna marika itu skalian tŭlah mŭnaroh kŭtakotan yang bŭsar. Maka Isa pun turon kaprahu, laln bŭrbalik kŭmbali. Adapun orang yang sudah hantu itu mŭninggalkan, mŭminta kapadanya biarlah iya bŭrsama sama dŭngan dia, tŭtapi disurohkan Isa akan dia pulang, katanya, Kŭmbalilah angkau karumahmu sŭndiri, maka unjokkanlah bagimana bŭsar pŭrkara pŭrkara yang tŭlah dipŭrbuat Allah kapadamu; maka pŭrgilah iya sŭrta mŭmashorkannya sŭgŭnap nŭgri, bagimana bŭsar pŭrkara pŭrkara yang tŭlah dipŭrbuat ulih Isa kapadanya.

LUKAS 8:22-39 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Pada suatu hari Yesus bersama murid-murid-Nya menaiki sebuah perahu. Yesus berkata kepada mereka, “Marilah kita pergi ke seberang tasik.” Lalu mereka bertolak. Ketika mereka sedang belayar, Yesus tertidur. Angin ribut bertiup ke tasik itu dan perahu itu pun dimasuki air sehingga mereka cemas. Para murid-Nya datang kepada Yesus dan membangunkan-Nya. Mereka berkata, “Tuan, Tuan, kita hampir karam!” Yesus bangun lalu menegur angin dan ombak yang bergelora itu. Ribut itu pun berhenti dan segalanya tenang. Yesus berkata kepada mereka, “Di manakah kepercayaanmu?” Mereka pun menjadi takut dan tercengang sambil berkata sesama sendiri, “Siapakah Dia ini sehingga angin dan ombak pun mengikut perintah-Nya?” Mereka belayar ke daerah Gerasa yang di seberang Galilea. Setelah Yesus mendarat, seorang lelaki dari bandar itu datang menemui-Nya. Orang itu telah dirasuk roh-roh iblis dan sudah lama dia tidak berpakaian. Dia tidak tinggal di rumahnya lagi tetapi di gua kubur. Ketika dia melihat Yesus, dia berteriak lalu sujud di hadapan-Nya dan berseru dengan suara keras, “Apa urusan-Mu dengan aku, ya Yesus, Anak Allah Yang Maha Tinggi? Aku minta janganlah seksa aku.” Dia berkata demikian kerana Yesus telah memerintah roh jahat itu keluar daripadanya. Dia sering kali dikuasai oleh roh jahat itu. Oleh sebab itu, dia dikawal ketat dan tangan serta kakinya dirantai orang. Tetapi dia dapat memutuskan rantai itu dan dibawa oleh roh jahat ke padang gurun. Yesus bertanya kepadanya, “Siapakah namamu?” Dia menjawab, “Legion” kerana dia telah dirasuk oleh ramai roh iblis. Roh-roh iblis itu memohon kepada Yesus supaya tidak menghalau mereka ke neraka. Kebetulannya, di bukit itu ada sekawan babi sedang makan. Roh-roh iblis itu memohon kepada Yesus supaya Dia membenarkan mereka masuk ke dalam babi-babi itu dan Yesus membenarkannya. Roh-roh iblis itu keluar daripada orang tadi dan masuk ke dalam babi. Kemudian kawanan babi itu menyerbu ke tempat curam dan terjun ke dalam tasik lalu mati lemas. Setelah penjaga-penjaga babi itu menyaksikan apa yang telah terjadi, mereka berlari untuk menyebarkan hal itu di bandar dan di kampung-kampung sekitarnya. Orang ramai pun keluar untuk melihat apa yang telah terjadi. Mereka datang kepada Yesus dan mendapati orang yang telah dibebaskan daripada roh-roh iblis itu duduk di kaki Yesus. Orang itu berpakaian dan sudah siuman. Oleh itu, mereka pun ketakutan. Orang yang telah menyaksikan kejadian itu menceritakan kepada mereka bagaimana orang yang kerasukan roh iblis itu telah disembuhkan. Lalu semua penduduk daerah Gerasa meminta Yesus supaya meninggalkan mereka kerana mereka ketakutan. Yesus pun menaiki perahu untuk pulang. Orang yang telah dibebaskan daripada roh-roh iblis itu meminta Yesus membenarkan dia mengikut bersama-Nya tetapi Yesus menyuruh dia pulang dan berkata, “Pulanglah ke rumahmu dan khabarkanlah segala yang dilakukan Allah untukmu.” Orang itu pergi menyebarkan segala yang dilakukan Yesus untuknya di seluruh bandar itu.