LUKAS 8:22-39

LUKAS 8:22-39 BM

Pada suatu hari Yesus dengan pengikut-pengikut-Nya menaiki sebuah perahu. Dia berkata kepada mereka, “Marilah kita menyeberang tasik.” Mereka pun bertolak. Sedang mereka belayar, Yesus tidur. Tiba-tiba angin kencang melanda tasik itu. Air mula masuk ke dalam perahu sehingga membahayakan mereka semua. Pengikut-pengikut Yesus pergi kepada Yesus lalu membangunkan Dia. Mereka berkata, “Guru, Guru, kita hampir tenggelam!” Yesus bangun lalu menengking angin dan ombak yang bergelora. Angin dan ombak pun teduh dan tasik menjadi tenang sekali. Lalu Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Mengapa kamu tidak percaya kepada-Ku?” Tetapi mereka hairan dan takut serta bercakap sesama sendiri, “Siapakah orang ini, sehingga angin dan ombak taat kepada perintahnya?” Mereka terus belayar ke daerah Gerasa di seberang Tasik Galilea. Sedang Yesus naik ke darat, Dia didatangi seorang lelaki dari bandar. Orang itu dirasuk roh jahat. Sudah lama orang itu tidak berpakaian dan tidak mahu tinggal di rumah. Dia tinggal di gua kubur. Apabila dia melihat Yesus, dia berteriak serta sujud di hadapan Yesus, dan berseru, “Hai Yesus, Anak Allah Yang Maha Tinggi! Apakah yang akan Engkau lakukan terhadap aku? Aku mohon, janganlah seksa aku!” Orang itu berkata demikian kerana Yesus telah memerintah roh jahat itu keluar daripadanya. Banyak kali roh jahat itu menguasai orang itu. Walaupun dia dijaga dengan ketat dan kaki tangannya dirantai, dia dapat memutuskan rantai itu, lalu roh jahat membawa dia ke padang gurun. Yesus bertanya kepadanya, “Siapa namamu?” Dia menjawab, “ ‘Legiun’ ” - kerana banyak roh jahat sudah masuk ke dalam dirinya. Roh-roh jahat itu memohon supaya Yesus tidak menghalau roh-roh itu ke Jurang Maut. Dekat tempat itu ada kawanan babi sedang mencari makan di lereng bukit. Roh-roh jahat itu memohon supaya Yesus membenarkan roh-roh itu masuk ke dalam kawanan babi itu. Yesus bersetuju. Begitulah roh-roh jahat itu keluar daripada orang itu lalu masuk ke dalam kawanan babi. Kemudian kawanan babi itu lari ke tepi jurang dan terjun ke dalam tasik lalu tenggelam. Penjaga-penjaga babi itu nampak apa yang sudah berlaku. Mereka lari dari situ lalu menyebarkan berita itu di bandar dan di kampung-kampung sekitarnya. Lalu orang ramai keluar hendak melihat apa yang sudah berlaku. Mereka datang kepada Yesus dan mendapati orang yang telah dibebaskan daripada roh jahat duduk dekat kaki Yesus. Orang itu sudah berpakaian dan waras fikirannya. Mereka semua ketakutan. Semua orang yang telah melihat kejadian itu memberitahu orang ramai bagaimana orang itu disembuhkan. Lalu penduduk daerah Gerasa memohon supaya Yesus meninggalkan tempat itu, kerana mereka semua sangat takut. Oleh itu Yesus menaiki perahu lalu pergi dari situ. Orang yang telah dibebaskan daripada roh jahat memohon kepada Yesus supaya dibenarkan mengikut Yesus. Tetapi Yesus menyuruh dia pergi, “Pulanglah ke rumah, dan ceritakan apa yang telah dilakukan oleh Allah untukmu.” Orang itu pergi ke seluruh pelosok bandar dan menceritakan apa yang telah dilakukan oleh Yesus untuknya.