LUKAS 7:1-10

LUKAS 7:1-10 Alkitab Berita Baik (BM)

Setelah Yesus mengatakan segala perkara itu kepada orang ramai, Dia pergi ke Kapernaum. Di situ ada seorang ketua askar Roma yang mempunyai seorang hamba yang sangat dikasihinya. Hamba itu sakit dan hampir meninggal. Ketika ketua askar itu mendengar tentang Yesus, dia menyuruh beberapa orang pemimpin masyarakat Yahudi pergi kepada Yesus untuk meminta Dia datang dan menyembuhkan hambanya. Mereka pergi kepada Yesus lalu memohon dengan sungguh-sungguh, “Orang ini layak tuan tolong. Dia mengasihi bangsa kita, dan bahkan membina rumah ibadat untuk kami.” Yesus pergi bersama-sama mereka. Ketika Dia hampir tiba di rumah itu, ketua askar itu mengutus sahabat-sahabatnya supaya berkata kepada Yesus, “Tuan, janganlah bersusah-susah ke rumah saya. Saya tidak layak menyambut tuan ke rumah saya. Saya sendiri pun tidak layak menghadap tuan. Perintahkanlah sahaja, tentu hamba saya akan sembuh. Saya pun di bawah perintah perwira atasan, dan di bawah saya juga ada askar-askar lain. Apabila saya menyuruh seorang askar, ‘Pergi!’ dia pun pergi; dan apabila saya menyuruh seorang askar lain, ‘Ke mari!’ dia pun datang. Apabila saya menyuruh hamba saya, ‘Buatlah ini!’ dia pun melakukannya.” Yesus hairan mendengar hal itu. Dia berpaling lalu berkata kepada orang ramai yang sedang mengikuti-Nya, “Belum pernah Aku jumpai orang yang beriman sebesar ini, bahkan di kalangan orang Israel pun tidak!” Ketika orang yang disuruh itu kembali ke rumah ketua askar, mereka mendapati hamba itu sudah sembuh.

LUKAS 7:1-10 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

MAKA apabila sudah dihabiskannya sagala pŭrkataannya pada pŭnŭngaran kaum itu, lalu masoklah iya kaKapŭrnaum. Maka sa’orang hamba pŭnghulu sa’ratus orang yang dikasihinya, adalah iya sakit hampir mati. Maka apabila didŭngar ulih pŭnghulu itu derihal Isa, maka disurohkannya pŭrgi kapadanya orang tua tua deripada orang Yahudi mŭminta akan Isa, supaya iya datang sŭmbohkan hambanya. Maka apabila datanglah marika itu kapada Isa, maka dipintanyalah akan dia dŭngan sŭgranya itu, katanya, Orang yang patut ditulongkan ini sa’orang yang layak adanya: Kŭrna iya ada mŭngasihani akan bangsa kita, dan lagi iya tŭlah mŭmbangunkan bagie kami sa’buah kŭnisa. Sŭtlah itu maka pŭrgilah Isa dŭngan marika itu, maka apabila iya tiada brapa jauh deri pada rumah itu, maka disurohkannya ulih pŭnghulu itu sahabat sahabatnya kapadanya, katanya, Tuhan, janganlah mŭnyusahkan dirimu, kŭrna aku ini tiadalah layak Tuhan handak masok kŭbawah atapku. Maka sŭbab itu, bahwasanya aku bŭrfikir, aku pun sŭndiri tiada layak datang kapada Tuhan, mŭlainkan katalah sa’patah kata, maka hambaku itu akan disŭmbohkan. Kŭrna aku pun sa’orang yang dibawah prentah, maka ada pula dibawahku rayat, maka aku bŭrkata kapada sa’orang, pŭrgi, maka pŭrgilah iya; dan kapada yang lain, mari, maka datanglah iya; dan kapada hambaku, buatlah ini, maka dibuatnya itu. Maka apabila didŭngar Isa akan pŭrkara ini, maka hieranlah iya akan dia, lalu bŭrpalinglah iya, sambil bŭrkata kapada orang orang yang mŭngikot dia, Aku bŭrkata kapadamu, bŭlomlah aku mŭndapat iman sŭtŭgoh ini, tidak, dalam orang Israil pun tidak. Adapun orang orang yang disurohkan itu pun kŭmbalilah karumah itu, maka didapatinya akan hambah itu sŭmboh yang tŭlah sakit itu.

LUKAS 7:1-10 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Setelah Yesus habis mengatakan semua perkara ini kepada orang ramai, Dia pergi ke Kapernaum. Terdapat seorang hamba ketua tentera yang amat disayangi oleh tuannya; hamba itu sedang sakit tenat dan hampir mati. Apabila ketua tentera itu mendengar tentang Yesus, dia menyuruh beberapa tua-tua Yahudi mendapatkan Yesus untuk meminta-Nya datang menyembuhkan hambanya itu. Ketika mendapatkan Yesus, mereka merayu kepada-Nya, “Dia wajar mendapat pertolongan-Mu, kerana dia mencintai bangsa kita dan telah mendirikan sebuah saumaah bagi kami.” Lalu Yesus pun pergi bersama mereka. Tatkala Dia tidak berapa jauh dari rumah, ketua tentera itu menyuruh beberapa orang sahabat memberitahu Yesus, “Tuan, tidak usah Tuan menyusahkan diri kerana aku tidak layak menyambut Tuan ke rumahku. Aku juga tidak layak datang untuk menemui Tuan. Perintahkanlah sahaja, tentu hambaku akan sembuh. Aku juga di bawah perintah orang atasan dan aku ada askar di bawah tanganku. Apabila aku menyuruh seorang askar, ‘Pergi!’ dia pun pergi. Apabila aku menyuruh askar lain, ‘Mari!’ dia pun datang. Apabila aku menyuruh hambaku, ‘Buat ini!’ dia melakukannya.” Yesus terkagum mendengarnya lalu Dia berpaling kepada orang ramai yang mengikut-Nya sambil berkata, “Aku berkata kepadamu, Belum pernah Kutemui orang yang demikian teguh imannya, walau di Israel pun.” Apabila mereka yang disuruh itu kembali ke rumah ketua tentera itu, mereka mendapati hamba itu telah sembuh.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami