Lukas 7:1-10

Lukas 7:1-10 AVB

Setelah Yesus habis mengatakan semua perkara ini kepada orang ramai, Dia pergi ke Kapernaum. Terdapat seorang hamba ketua tentera yang amat disayangi oleh tuannya; hamba itu sedang sakit tenat dan hampir mati. Apabila ketua tentera itu mendengar tentang Yesus, dia menyuruh beberapa tua-tua Yahudi mendapatkan Yesus untuk meminta-Nya datang menyembuhkan hambanya itu. Ketika mendapatkan Yesus, mereka merayu kepada-Nya, “Dia wajar mendapat pertolongan-Mu, kerana dia mencintai bangsa kita dan telah mendirikan sebuah saumaah bagi kami.” Lalu Yesus pun pergi bersama mereka. Tatkala Dia tidak berapa jauh dari rumah, ketua tentera itu menyuruh beberapa orang sahabat memberitahu Yesus, “Tuan, tidak usah Tuan menyusahkan diri kerana aku tidak layak menyambut Tuan ke rumahku. Aku juga tidak layak datang untuk menemui Tuan. Perintahkanlah sahaja, tentu hambaku akan sembuh. Aku juga di bawah perintah orang atasan dan aku ada askar di bawah tanganku. Apabila aku menyuruh seorang askar, ‘Pergi!’ dia pun pergi. Apabila aku menyuruh askar lain, ‘Mari!’ dia pun datang. Apabila aku menyuruh hambaku, ‘Buat ini!’ dia melakukannya.” Yesus terkagum mendengarnya lalu Dia berpaling kepada orang ramai yang mengikut-Nya sambil berkata, “Aku berkata kepadamu, Belum pernah Kutemui orang yang demikian teguh imannya, walau di Israel pun.” Apabila mereka yang disuruh itu kembali ke rumah ketua tentera itu, mereka mendapati hamba itu telah sembuh.