LUKAS 5:17-26

LUKAS 5:17-26 Alkitab Berita Baik (BM)

Pada suatu hari ketika Yesus sedang mengajar, beberapa orang Farisi dan guru Taurat duduk di situ. Mereka datang dari Yerusalem, dari semua kota di Galilea dan Yudea. Kuasa Tuhan ada pada Yesus untuk menyembuhkan orang sakit. Pada waktu itu, beberapa orang datang membawa seorang lumpuh yang berbaring di atas tikar. Mereka cuba membawa dia ke dalam rumah supaya dapat meletakkannya di hadapan Yesus. Tetapi kerana orang di situ terlalu banyak, mereka tidak dapat membawa dia masuk. Oleh itu mereka membawa dia ke atas bumbung rumah. Kemudian mereka membuka bumbung rumah itu dan menurunkan dia dengan tikarnya di hadapan Yesus di tengah-tengah orang ramai itu. Apabila Yesus melihat betapa besarnya iman mereka, Dia berkata kepada orang itu, “Hai kawan, dosamu sudah diampunkan.” Semua guru Taurat dan orang Farisi di situ mula bercakap sesama sendiri, “Siapakah orang ini? Dia mengkufuri Allah! Tidak seorang pun dapat mengampunkan dosa, kecuali Allah!” Yesus mengetahui apa yang difikirkan mereka, lalu Dia berkata, “Mengapa kamu berfikir demikian? Manakah yang lebih mudah, mengatakan, ‘Dosamu sudah diampunkan’ atau ‘Bangunlah dan berjalan’? Tetapi kepada kamu Aku akan membuktikan bahawa di atas bumi ini Anak Manusia berkuasa untuk mengampunkan dosa.” Lalu Yesus berkata kepada orang lumpuh itu, “Aku berkata kepadamu, bangunlah, angkatlah tikarmu, dan pulanglah!” Dengan segera orang itu bangun di hadapan mereka semua, lalu mengangkat tikarnya dan pulang sambil memuji Allah. Orang ramai kehairanan lalu memuji Allah. Dengan perasaan takut mereka berkata, “Sungguh menghairankan perkara yang kita saksikan hari ini!”

LUKAS 5:17-26 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

Sŭbarmula maka pada suatu hari tŭtkala iya mŭngajar, maka adalah disana orang orang Farisia, dan pŭndita pŭndita pun dudok bŭrsama sama, yang tŭlah kluar datang deripada tiap tiap kampong Galilia, dan Yahuda, dan Jerusalem; maka adapun kwasa Tuhan bŭrhampir mŭnyŭmbohkan marika itu. ¶ Maka sŭsungguhnya dibawa oranglah diatas katil sa’orang yang tŭrkŭna tepok, maka dichari ulih marika itu upaya akan mŭmbawa masok, supaya dilŭtakkan akan dia dihadapan Isa. Maka apabila marika itu tiada mŭndapat jalan bagimana bulih dibawa masok akan dia kŭdalam, ulih sŭbab bŭlatantara, maka naiklah marika itu ka’atas bumbongan rumah, maka dihulorkannyalah dia trus gŭnting dŭngan katilnya itu ditŭngah tŭngah dihadapan Isa. Maka apabila dilihat Isa iman marika itu, maka katanya kapadanya, Hie orang, sagala dosamu tŭlah diampuni. Maka khatib khatib, dan orang orang Farisia itu pun mŭmulai mŭnyangka nyangka, kata nya, Siapakah ini yang bŭrtutor hujat? Siapakah yang bulih mŭngampuni dosa, mŭlainkan Allah sahja? Maka apabila dikŭtahui Isa akan fikiran marika itu, maka jawabnya sŭrta bŭrkata kapada marika itu, Apa sŭbab kamu mŭnyangka nyangka dalam hatimu? Manakah yang tŭrlebih sŭnang dikata, Dosamu sudah diampunikah? atau bŭrkata, Bangunlah sŭrta bŭrjalan? Tŭtapi supaya kamu mŭngtahui adapun Anak manusia itu ada bŭrkwasa diatas bumi akan mŭngampuni dosa; (iya bŭrkata kapada orang yang sakit tepok itu,) Aku bŭrkata kapadamu, bangunlah, angkat katilmu, pulanglah karumahmu. Maka dŭngan sŭbŭntar itu juga iya bangun dihadapan marika itu, sŭrta mŭngangkat akan tŭmpat iya bŭrbaring itu, lalu kŭmbalilah iya karumahnya, sambil iya mŭmuliakan Allah. Maka skalian marika itu pun ajaib, sŭrta mŭmuliakan Allah, dan pŭnohlah dŭngan takot, katanya, Kita tŭlah mŭlihat pŭrkara pŭrkara hieran pada hari ini.

LUKAS 5:17-26 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Pada suatu hari ketika Yesus sedang mengajar, ada beberapa orang Farisi dan ahli Taurat duduk di situ. Mereka telah datang dari setiap bandar di Galilea dan Yudea dan juga dari Yerusalem. Kuasa Tuhan ada pada Yesus untuk menyembuhkan orang. Beberapa orang mengusung seorang lumpuh yang terbaring di atas tikar dan mereka mencari jalan untuk membawanya ke dalam rumah untuk meletakkannya di hadapan Yesus. Oleh sebab mereka tidak dapat membawanya masuk kerana orang bersesak-sesak, mereka naik ke atas bumbung rumah lalu membuka genting supaya dapat menurunkan orang itu dengan tikarnya di tengah-tengah orang ramai di hadapan Yesus. Ketika Yesus melihat iman mereka, Dia berkata kepada orang lumpuh itu, “Saudara, dosamu telah diampunkan.” Ahli-ahli Taurat dan orang Farisi mula berkata sesama diri, “Siapakah orang ini yang mengkufuri Allah? Tiada siapa boleh mengampunkan dosa kecuali Allah!” Tetapi Yesus mengetahui fikiran mereka, lalu berkata kepada mereka, “Mengapa kamu berfikir begitu dalam hatimu? Manakah yang lebih mudah dikatakan, ‘Dosamu diampunkan,’ atau ‘Bangun dan berjalan’? Tetapi, supaya kamu tahu bahawa Anak Manusia berkuasa di bumi ini mengampunkan dosa...” Dia berkata kepada orang yang lumpuh itu, “Aku berkata kepadamu, bangun, angkat tikarmu dan pulanglah!” Seketika itu juga, dia bangun di hadapan mereka sekalian. Dia mengangkat tikar tempat dia berbaring tadi lalu pulang sambil memuji Allah. Semua orang tercengang dan memuji Allah. Mereka berasa takjub sambil berkata, “Pada hari ini kami telah menyaksikan hal yang ajaib!”

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami