Lukas 5:17-26

Lukas 5:17-26 AVB

Pada suatu hari ketika Yesus sedang mengajar, ada beberapa orang Farisi dan ahli Taurat duduk di situ. Mereka telah datang dari setiap bandar di Galilea dan Yudea dan juga dari Yerusalem. Kuasa Tuhan ada pada Yesus untuk menyembuhkan orang. Beberapa orang mengusung seorang lumpuh yang terbaring di atas tikar dan mereka mencari jalan untuk membawanya ke dalam rumah untuk meletakkannya di hadapan Yesus. Oleh sebab mereka tidak dapat membawanya masuk kerana orang bersesak-sesak, mereka naik ke atas bumbung rumah lalu membuka genting supaya dapat menurunkan orang itu dengan tikarnya di tengah-tengah orang ramai di hadapan Yesus. Ketika Yesus melihat iman mereka, Dia berkata kepada orang lumpuh itu, “Saudara, dosamu telah diampunkan.” Ahli-ahli Taurat dan orang Farisi mula berkata sesama diri, “Siapakah orang ini yang mengkufuri Allah? Tiada siapa boleh mengampunkan dosa kecuali Allah!” Tetapi Yesus mengetahui fikiran mereka, lalu berkata kepada mereka, “Mengapa kamu berfikir begitu dalam hatimu? Manakah yang lebih mudah dikatakan, ‘Dosamu diampunkan,’ atau ‘Bangun dan berjalan’? Tetapi, supaya kamu tahu bahawa Anak Manusia berkuasa di bumi ini mengampunkan dosa...” Dia berkata kepada orang yang lumpuh itu, “Aku berkata kepadamu, bangun, angkat tikarmu dan pulanglah!” Seketika itu juga, dia bangun di hadapan mereka sekalian. Dia mengangkat tikar tempat dia berbaring tadi lalu pulang sambil memuji Allah. Semua orang tercengang dan memuji Allah. Mereka berasa takjub sambil berkata, “Pada hari ini kami telah menyaksikan hal yang ajaib!”