LUKAS 4:14-30
LUKAS 4:14-30 Alkitab Berita Baik (BM)
Yesus kembali ke Galilea dan kuasa Roh Allah menyertai Dia. Berita tentang Yesus tersebar ke seluruh daerah itu. Yesus mengajar di rumah ibadat dan Dia dipuji oleh semua orang. Kemudian Yesus pergi ke Nasaret, tempat Dia dibesarkan. Pada hari Sabat, seperti biasa Yesus pergi ke rumah ibadat. Dia berdiri untuk membaca Alkitab, lalu Dia diberikan gulungan naskhah yang berisi perkhabaran daripada Nabi Yesaya. Yesus membuka gulungan naskhah itu, lalu mendapatkan bahagian yang tertulis, “Roh Tuhan ada pada-Ku. Dia telah melantik Aku supaya mengkhabarkan Berita Baik kepada orang miskin. Dia mengutus Aku supaya mengumumkan pembebasan kepada orang tawanan, kesembuhan bagi orang buta; dan kemerdekaan bagi orang yang tertindas, serta mengisytiharkan masanya Tuhan menyelamatkan umat-Nya.” Yesus menggulung gulungan naskhah itu semula dan mengembalikannya kepada petugas, lalu duduk. Mata semua orang di dalam rumah ibadat itu tertumpu kepada Yesus. Yesus mula berkata kepada mereka, “Pada hari ini ayat-ayat Alkitab ini sudah berlaku pada masa kamu mendengarnya.” Kata-kata yang diucapkan oleh Yesus baik sekali sehingga para pendengar-Nya kagum. Mereka berkata, “Bukankah dia anak Yusuf?” Tetapi Yesus berkata, “Tentu kamu akan menyebut peribahasa ini kepada-Ku, ‘Hai doktor, sembuhkanlah dirimu sendiri.’ Kamu juga akan berkata, ‘Kami mendengar tentang semua perkara yang sudah berlaku di Kapernaum, lakukanlah semuanya di kampung halamanmu juga.’ ” Yesus berkata lagi, “Ketahuilah, seorang nabi tidak pernah dihormati di kampung halamannya sendiri. Dengarkan kata-kata-Ku: Memang ada banyak balu di Israel pada zaman Nabi Elia. Pada masa itu musim kemarau berlanjutan, kerana hujan tidak turun selama tiga tahun setengah sehingga bencana kebuluran yang dahsyat berlaku di negeri itu. Tetapi Allah tidak menyuruh Elia pergi kepada salah seorang balu itu. Dia disuruh pergi kepada seorang balu yang tinggal di Sarafat di daerah Sidon. Demikian juga ada banyak orang berpenyakit kulit yang mengerikan di Israel pada zaman Nabi Elisa. Tetapi tidak seorang pun daripada mereka disembuhkan, kecuali Naaman orang Siria itu.” Semua orang di rumah ibadat itu sangat marah apabila mereka mendengar hal itu. Mereka bangkit lalu menyeret Yesus ke luar bandar dan membawa-Nya ke puncak bukit tempat kota mereka dibina. Mereka bermaksud menolak Yesus ke dalam jurang. Tetapi Yesus terus berjalan antara orang ramai lalu pergi dari situ.
LUKAS 4:14-30 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Maka Isa pun kŭmbalilah dŭngan kwasa Roh kŭdalam Galilia, maka disana pun pŭchahlah warta itu kluar deri halnya, pada sagala jajahan bŭrkliling itu. Maka diajarnyalah dalam kŭnisa kŭnisa marika itu, sŭrta orang skalian pun mŭmuliakanlah akan dia. ¶ Maka pŭrgilah iya kaNazareth, ditŭmpat iya dipliharakan, spŭrti adatnya, pŭrgilah iya kŭdalam kŭnisa pada hari sabtu, sambil iya handak mŭmbacha. Maka disana tŭlah dibrikan kapadanya akan kitab nabi Jasia, maka apabila dibukanya akan kitab itu, didapatinya akan tŭmpat yang tŭlah tŭrtulis, Adapun Roh Tuhan itu adalah kapadaku, sŭbab iya tŭlah mŭlantekkan aku akan mŭngajar Injil kapada orang mŭskin; iya tŭlah mŭnyurohkan aku mŭnyŭmbohkan orang yang pŭchah hatinya; akan mŭngajar kŭlŭpasan akan orang tawanan, dan mŭmbukakau akan pŭnglihatan orang yang buta, dan akan mŭmbibaskan orang orang yang luka hatinya; Akan mŭngajar tahun Tuhan yang patut ditrimanya. Maka ditutopkannyalah kitab itu, sŭrta dipulangkannya pula kapada khadam, lalu dudoklah iya; adapun mata sagala orang yang ada dalam kŭnisa itu pun bulatlah ka’atasnya. Maka dimulainyalah bŭrkata kapada marika itu, Bahwa hari inilah tulisan itu digŭnapi ditlinga tlinga kamu. Maka sŭmua mŭnjadi saksi, sŭrta hieran akan kŭmuliaan pŭrkataan yang tŭlah kluar deri mulotnya. Maka kata kata marika itu, Bukankah iya ini anak Yusof? Maka kata Isa kapada marika itu, Maka dŭngan sŭsungguhnya kamu kŭlak akan bŭrkata padaku akan pŭrumpamaan ini, Tabib, sŭmbohkanlah dirimu sŭndiri; barang apa yang kami dŭngar jadi dalam Kapŭrnaum, pŭrbuatlah dŭmkian juga dalam nŭgrimu. Maka kata Isa, sŭsungguhnya aku bŭrkata kapadamu, tiada sa’orang nabi itu yang ditrima dalam nŭgrinya sŭndiri. Tŭtapi aku bŭrkata kapadamu dŭngan sŭbŭnarnya, maka banyaklah pŭrampuan bujang yang ada dalam Israil pada zaman Ilias, maka apabila langit itu tŭlah tŭrtutop tiga tahun anam bulan, tŭtkala kŭlaparan yang bŭsar sŭgŭuap tanah; Tŭtapi kapada sa’orang pun tidak Ilias itu disurohkan, mŭlainkan kapada Sarepta, sa’buah nŭgri yang diSidon, kapada sa’orang pŭrampuan janda. Maka banyaklah orang yang bŭrkusta dalam Israil pada zaman nabi Ilias, maka sa’orang pun deripada marika itu tiada disuchikan, mŭlainkan Naaman orang Asyrian itu. Maka apabila didŭngar ulih sagala orang yang ada dalam kŭnisa itu akan pŭrkara pŭrkara itu, pŭnohlah marika itu dŭngan marah. Maka bangunlah marika itu, lalu ditolakkannya akan dia kluar nŭgri, sŭrta dibawa akan dia kapada tŭpi bukit ditŭmpat nŭgri itu dibangunkan, supaya bulih marika itu mŭmbuangkan dia kŭbawah tunggang balek. Tŭtapi dilaluinya ditŭngah tŭngah marika itu, pŭrgilah iya lalu bŭrjalan.
LUKAS 4:14-30 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Yesus kembali ke Galilea dalam kuasa Roh. Perkhabaran tentang-Nya tersebar ke seluruh daerah itu. Dia mengajar di saumaah mereka dan semua orang memuji-muji-Nya. Yesus kembali ke Nazaret, tempat Dia dibesarkan. Pada hari Sabat Dia pergi ke saumaah seperti kebiasaan-Nya. Lalu Dia berdiri untuk membaca Kitab Suci. Kitab Nabi Yesaya diberikan kepada Yesus dan Dia membuka kitab itu untuk membaca ayat yang tersurat: “Roh Tuhan ada pada-Ku kerana Dia telah mengurapi Aku untuk memberitakan khabar baik kepada orang miskin; Dia telah mengutus Aku untuk mengumumkan pembebasan kepada orang tawanan, penyembuhan kepada orang buta, kelepasan bagi orang yang tertindas, dan mengisytiharkan tahun keredaan Tuhan!” Yesus menutup kitab itu dan memulangkannya kepada petugas lalu duduk. Mata semua orang di dalam saumaah itu tertumpu kepada-Nya. Yesus mula berucap kepada mereka, “Pada hari ini ayat Kitab Suci ini telah terlaksana ketika kamu mendengarnya.” Semua orang menyanjung Dia dan mengagumi kata-kata indah yang diucapkan-Nya. Mereka berkata, “Bukankah Dia anak Yusuf?” Yesus berkata kepada mereka, “Sudah tentunya kamu akan menyebut bidalan ini kepada-Ku, ‘Tuan tabib, ubati diri-Mu! Buatlah di kota-Mu sendiri apa yang kami dengar Kaubuat di Kapernaum.’ ” Yesus menambah, “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, tiada seorang nabi pun yang diterima di kotanya sendiri. Dengarlah, sesungguhnya terdapat ramai balu di negeri Israel pada zaman Elia tatkala langit tertutup tidak menurunkan hujan selama tiga tahun enam bulan, dan terjadilah bencana kebuluran di seluruh negeri itu. Tetapi Elia tidak diutus kepada seorang jua pun kecuali seorang balu di bandar Sarfat di Sidon. Demikian juga, ada ramai orang yang berpenyakit kusta di Israel pada zaman Nabi Elisa tetapi tiada seorang pun dalam kalangan mereka yang ditahirkan melainkan Naaman, orang Siria.” Semua orang di dalam saumaah yang mendengar kata-kata ini naik berang. Mereka bangun lalu mengusir Yesus dari kota itu. Dia dibawa ke puncak gunung tempat kota itu dibina kerana mereka mahu menghumbankan-Nya ke bawah. Tetapi Yesus berjalan di tengah-tengah mereka dan beredar dari situ.