Lukas 4:14-30

Lukas 4:14-30 AVB

Yesus kembali ke Galilea dalam kuasa Roh. Perkhabaran tentang-Nya tersebar ke seluruh daerah itu. Dia mengajar di saumaah mereka dan semua orang memuji-muji-Nya. Yesus kembali ke Nazaret, tempat Dia dibesarkan. Pada hari Sabat Dia pergi ke saumaah seperti kebiasaan-Nya. Lalu Dia berdiri untuk membaca Kitab Suci. Kitab Nabi Yesaya diberikan kepada Yesus dan Dia membuka kitab itu untuk membaca ayat yang tersurat: “Roh Tuhan ada pada-Ku kerana Dia telah mengurapi Aku untuk memberitakan khabar baik kepada orang miskin; Dia telah mengutus Aku untuk mengumumkan pembebasan kepada orang tawanan, penyembuhan kepada orang buta, kelepasan bagi orang yang tertindas, dan mengisytiharkan tahun keredaan Tuhan!” Yesus menutup kitab itu dan memulangkannya kepada petugas lalu duduk. Mata semua orang di dalam saumaah itu tertumpu kepada-Nya. Yesus mula berucap kepada mereka, “Pada hari ini ayat Kitab Suci ini telah terlaksana ketika kamu mendengarnya.” Semua orang menyanjung Dia dan mengagumi kata-kata indah yang diucapkan-Nya. Mereka berkata, “Bukankah Dia anak Yusuf?” Yesus berkata kepada mereka, “Sudah tentunya kamu akan menyebut bidalan ini kepada-Ku, ‘Tuan tabib, ubati diri-Mu! Buatlah di kota-Mu sendiri apa yang kami dengar Kaubuat di Kapernaum.’ ” Yesus menambah, “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, tiada seorang nabi pun yang diterima di kotanya sendiri. Dengarlah, sesungguhnya terdapat ramai balu di negeri Israel pada zaman Elia tatkala langit tertutup tidak menurunkan hujan selama tiga tahun enam bulan, dan terjadilah bencana kebuluran di seluruh negeri itu. Tetapi Elia tidak diutus kepada seorang jua pun kecuali seorang balu di bandar Sarfat di Sidon. Demikian juga, ada ramai orang yang berpenyakit kusta di Israel pada zaman Nabi Elisa tetapi tiada seorang pun dalam kalangan mereka yang ditahirkan melainkan Naaman, orang Siria.” Semua orang di dalam saumaah yang mendengar kata-kata ini naik berang. Mereka bangun lalu mengusir Yesus dari kota itu. Dia dibawa ke puncak gunung tempat kota itu dibina kerana mereka mahu menghumbankan-Nya ke bawah. Tetapi Yesus berjalan di tengah-tengah mereka dan beredar dari situ.