LUKAS 4:1-14

LUKAS 4:1-14 Alkitab Berita Baik (BM)

Yesus yang dikuasai oleh Roh Allah, kembali dari kawasan Sungai Yordan. Yesus dipimpin oleh Roh Allah ke padang gurun. Di situ Dia dicubai oleh Iblis selama empat puluh hari. Sepanjang masa itu, Yesus tidak makan apa-apa, sehingga Dia lapar. Iblis berkata kepada-Nya, “Jika Engkau Anak Allah, perintahlah batu ini menjadi roti.” Yesus menjawab, “Di dalam Alkitab tertulis, ‘Manusia tidak dapat hidup dengan roti sahaja.’ ” Lalu Iblis membawa Yesus ke tempat yang tinggi, dan dalam sekelip mata Iblis menunjukkan segala kerajaan di dunia kepada-Nya. “Aku akan memberikan segala kekuasaan dan kekayaan ini kepada-Mu,” kata Iblis kepada Yesus. “Semuanya ini telah diberikan kepadaku, dan aku berhak memberikannya kepada sesiapa sahaja yang aku suka. Semua ini akan menjadi milik-Mu, jika Engkau sujud menyembah aku.” Yesus menjawab, “Di dalam Alkitab tertulis, ‘Sembahlah Tuhan Allahmu dan abdikan diri kepada Dia sahaja!’ ” Lalu Iblis membawa Yesus ke Yerusalem dan menaruh Dia di puncak Rumah Tuhan dan berkata kepada-Nya, “Jika Engkau Anak Allah, terjunlah ke bawah, kerana di dalam Alkitab tertulis, ‘Allah akan memerintah para malaikat-Nya menjaga Engkau baik-baik.’ Juga tertulis, ‘Malaikat akan menyambut Engkau dengan tangan, supaya kaki-Mu tidak terhantuk pada batu.’ ” Yesus menjawab, “Di dalam Alkitab tertulis, ‘Janganlah cubai Tuhan Allahmu.’ ” Apabila Iblis selesai mencubai Yesus dengan segala upaya, dia meninggalkan Yesus untuk sementara waktu. Yesus kembali ke Galilea dan kuasa Roh Allah menyertai Dia. Berita tentang Yesus tersebar ke seluruh daerah itu.

LUKAS 4:1-14 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

ADAPUN Isa itu pŭnohlah dŭngan Roh Alkudus iya kŭmbali deri Jorden, lalu dipimpin ulih Roh kŭdalam padang bŭlantara. Maka adalah iya ampat puloh hari tŭlah dichobai ulih Iblis, maka pada masa itu suatu pun tiada dimakannya, maka pada kŭsudahan hari itu, kumdian iya pun laparlah. Maka Iblis itu pun bŭrkata kapadanya, Jikalau angkau Anak Allah, surohkanlah batu ini mŭnjadi roti. Maka jawab Isa akan dia katanya, Tŭlah tŭrtulis, manusia itu tiada akan hidop dŭngan roti sahja, mŭlainkan dŭngan tiap tiap pŭrkataan Allah. Maka Iblis itu pun mŭngambil akan dia dibawanya naik ka’atas sa’buah gunong tinggi, diunjokkannya kapadanya sagala krajaan dunia ini dalam sŭsaat jua lamanya. Maka kata Iblis itu kapadanya, Sagala kwasa ini akan kubrikan kapadamu sŭrta sagala kŭmuliaannya, kŭrna iya itu tŭlah disŭrahkan kapadaku, dan kapada barang siapa yang kukahandaki brikan dia. Maka sŭbab itu jikalau angkau mahu mŭnyŭmbah aku, skalian itu jadi angkaulah punya. Maka jawab Isa, sŭrta katanya kapadanya, Lalulah angkau kablakangku Shietan, kŭrna tŭlah tŭrtulis, Patutlah angkau mŭnyŭmbah akan Tuhan Allahmu, dan kapadanyalah sahja patut angkau bŭribadat. Maka dibawanyalah akan dia kaJerusalem, sŭrta ditarohkannya akan dia diatas suatu kamunchak ka’abah, sŭrta katanya kapadanya, Jikalau angkaulah Anak Allah, buangkanlah dirimu kabawah deri sini. Kŭrna tŭlah tŭrtulis, Allah akan mŭmbri mŭliekatnya mŭnjaga akan dikau, mŭmliharakan dikau. Maka dalam tangan marika itu akan mŭnatang dikau ka’atas, asal jangan skali kali tŭrhŭmpas kakimu diatas batu. Maka jawab Isa sŭrta bŭrkata kapadanya, Sudah tŭrsŭbut, Janganlah angkau mŭnchobai akan Tuhan Allahmu itu. Maka sŭtlah sudahlah dichobai ulih Iblis sampie habis, lalu undorlah iya deripadanya dalam sŭdikit waktu. Maka Isa pun kŭmbalilah dŭngan kwasa Roh kŭdalam Galilia, maka disana pun pŭchahlah warta itu kluar deri halnya, pada sagala jajahan bŭrkliling itu.

LUKAS 4:1-14 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Yesus penuh dengan Roh Kudus, kembali dari Sungai Yordan dan dipimpin oleh Roh ke padang gurun. Selama empat puluh hari, Dia digoda oleh Iblis. Sepanjang masa itu, Dia tidak makan apa-apa. Sesudahnya semua itu, Dia berasa kelaparan. Lalu Iblis berkata kepada-Nya, “Jika Engkau Anak Allah, perintahkan batu ini supaya menjadi roti.” Yesus menjawab, “Telah tersurat, ‘Manusia hidup bukan dengan roti sahaja.’ ” Iblis membawa Yesus ke satu tempat yang tinggi lalu dalam sekelip mata, Iblis menunjukkan kepada-Nya semua kerajaan di dunia. Iblis berkata kepada-Nya, “Segala kekuasaan ini dengan kemuliaannya akan kuberikan kepada-Mu kerana semuanya itu telah diserahkan kepadaku dan aku boleh memberikannya kepada sesiapa jua yang aku suka. Jadi, jika Engkau menyembahku, semuanya itu akan menjadi kepunyaan-Mu.” Tetapi Yesus menjawab, “Telah tersurat, ‘Hendaklah engkau menyembah Tuhan, Allahmu dan kepada-Nya sahaja engkau beribadat.’ ” Kemudian, Iblis membawa Yesus ke Yerusalem lalu meletakkan-Nya di puncak Bait Suci dan berkata kepada-Nya, “Jika Engkau Anak Allah, terjunlah dari sini, kerana telah tersurat, ‘Allah akan memerintahkan malaikat-malaikat-Nya untuk menjaga-Mu dan mereka akan menatang-Mu supaya kaki-Mu tidak terhantuk batu.’ ” Tetapi Yesus menjawab, “Ada dikatakan, ‘Janganlah engkau menduga Tuhan, Allahmu.’ ” Setelah Iblis selesai menggoda Yesus, dia meninggalkan-Nya untuk sementara waktu. Yesus kembali ke Galilea dalam kuasa Roh. Perkhabaran tentang-Nya tersebar ke seluruh daerah itu.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami