LUKAS 22:54-71

LUKAS 22:54-71 Alkitab Berita Baik (BM)

Mereka menangkap Yesus dan membawa Dia ke rumah Imam Agung. Petrus mengikut dari jauh. Api unggun telah dinyalakan di tengah-tengah halaman rumah itu dan Petrus pergi duduk dengan orang lain yang duduk di sekelilingnya. Apabila salah seorang hamba wanita nampak Petrus duduk dekat api unggun, dia mengamati Petrus lalu berkata, “Orang ini juga bersama-sama Yesus!” Tetapi Petrus menafikannya, “Aku tidak mengenal orang itu!” Sejurus kemudian, seorang lagi nampak Petrus dan berkata, “Kamu juga seorang daripada mereka!” Tetapi Petrus menjawab, “Bukan!” Kira-kira sejam kemudian, seorang lain berulang kali berkata, “Pasti orang ini pengikut Yesus, kerana dia juga orang Galilea!” Tetapi Petrus menjawab, “Aku tidak faham apa yang kamu katakan!” Seketika itu juga, sedang Petrus berkata-kata, ayam berkokok. Tuhan pun berpaling dan memandang Petrus. Petrus teringat akan apa yang dikatakan oleh Tuhan kepadanya, “Sebelum ayam berkokok hari ini, tiga kali engkau akan berkata engkau tidak mengenal Aku.” Petrus keluar dari situ lalu menangis tersedu-sedu. Semua orang yang mengawal Yesus mempermainkan dan memukul Dia. Mereka menutupi mata-Nya lalu bertanya kepada-Nya, “Tekalah, siapakah yang memukul kamu?” Banyak lagi hinaan lain yang dilemparkan oleh mereka kepada Yesus. Pada pagi hari, para pemimpin masyarakat Yahudi, ketua imam, dan guru Taurat bermesyuarat, lalu Yesus dibawa ke hadapan Majlis Agama. Mereka berkata, “Katakanlah, benarkah kamu ini Penyelamat yang diutus oleh Allah?” Yesus menjawab, “Jika Aku memberitahu kamu, kamu pun tidak mahu percaya. Jika Aku bertanya apa-apa, kamu tidak mahu menjawab. Tetapi mulai sekarang, Anak Manusia akan duduk di sebelah kanan Allah Yang Maha Kuasa.” Mereka semua bertanya, “Adakah kamu ini Anak Allah?” Yesus menjawab, “Begitulah yang kamu katakan.” Mereka berkata, “Kita tidak perlu saksi lagi! Kita telah mendengar apa yang dikatakannya!”

LUKAS 22:54-71 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

¶ Sŭtlah itu ditangkap ulih marika itu akan Isa, sŭrta dihelakan dibawanya kŭrumah imam yang bŭsar, maka diikotlah ulih Petros jauh jauh. Maka apabila sudah marika itu mŭnyalakan suatu api ditŭngah halaman itu, maka dudoklah marika itu skalian bŭrsama sama, Petros pun dudoklah diantara marika itu. Maka dilihat ulih sa’orang dayang anu tŭngah Petros dudok dŭkat api itu, diamat amatinya akan dia, lalu katanya, Orang ini pun ada bŭrsama sama juga dŭngan dia. Maka bŭrsangkallah iya akan dia, katanya, Hie pŭrampuan, aku tiada kŭnal akan dia. Maka skutika lagi dilihat ulih orang lain akan dia, katanya, Angkau pun bŭsŭrta juga dŭngan dia. Maka kata Petros, Hie orang, bukannya aku. Maka adalah kira kira sa’jam lamanya, kumdian sa’orang lain mŭngatakan dŭngan tŭntunya, katanya, Dŭngan sŭbŭnarnya iya ini pun bŭrsama sama dŭngan dia, kŭrna iya ini sa’orang orang Galilia juga. Maka kata Petros, Hie orang, aku tiada tahu apa katamu. Maka skutika itu juga sŭmŭntara iya lagi bŭrkata kata maka ayam pun bŭrkokoklah. Maka Tuhan bŭrpaling, lalu mŭmandang akan Petros. Maka Petros pun tŭringatlah akan pŭrkataan Tuhan itu, bagimana iya tŭlah bŭrkata kapadanya, Dahulu deripada ayam bŭrkokok, angkau akan mŭnyangkali aku tiga kali. Maka Petros pŭrgilah kluar, lalu mŭnangislah iya amat sangat. ¶ Adapun orang yang mŭmŭgang Isa itu pun mŭngolok olokkan dia, dan dipalunya akan dia. Maka apabila sudah diikatnya matanya, ditamparnya mukanya, lalu ditanyanya akan dia, katanya, Nabuatkanlah, siapakah yang tŭlah mŭnampar angkau? Maka banyaklah pŭrkara lain lain marika itu bŭrtutor hujat mŭlawan dia. ¶ Maka sŭrta hari siang, orang tua tua deripada kaum dan kŭpala kŭpala Imam dan khatib khatib, datanglah bŭrkampong; lalu dibawanya akan dia kŭdalam mŭjŭlisnya, katanya: Angkaukah Almasih, katalah kapada kami? maka katanya kapada marika itu, Jikalau aku kata kapadamu, tiada kamu akan pŭrchaya. Maka jikalau aku pun bŭrtanya kapada kamu, kamu tiada akan mŭmbri jawab akan daku, atau mŭlŭpaskan aku. Tŭtapi kumdian kŭlak anak manusia dudok disŭblah tangan kanan kudrat Allah. ¶ Sŭtlah itu kata marika itu skalian, Kalau bŭgitu, angkaukah anak Allah? maka katanya kapada marika itu, kamu kata aku dia itu. Maka kata marika itu, apakah gunanya lagi saksi kŭrna kami sŭndiri tŭlah mŭnŭngar deripada mulotnya sŭndiri.

LUKAS 22:54-71 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Setelah menangkap Yesus, mereka membawa Dia ke rumah imam besar. Petrus pun mengikut dari jauh. Mereka memasang api unggun di tengah-tengah halaman rumah itu lalu duduk di sekeliling. Petrus juga duduk antara mereka. Apabila seorang hamba perempuan melihat Petrus duduk berdekatan dengan api unggun, dia memandang kepadanya dan berkata, “Orang ini juga bersama Dia.” Tetapi Petrus menyangkal katanya, “Perempuan, aku tidak mengenal Dia!” Sejurus selepas itu, seorang lain pula melihat Petrus lalu berkata, “Ya, engkau seorang daripada mereka itu.” Tetapi Petrus menjawab, “Bukan, aku bukan!” Kira-kira sejam kemudian, seorang lain pula berkeras mengatakan, “Tentulah orang ini juga bersama Dia kerana dia juga seorang Galilea.” Tetapi Petrus berkata, “Aku tidak memahami apa yang kaukatakan.” Pada ketika itu juga, sedang Petrus berkata-kata, ayam berkokok. Tuhan berpaling dan memandang kepada Petrus lalu Petrus pun teringat akan apa yang dikatakan Tuhan kepadanya bahawa, “Sebelum ayam berkokok pada hari ini, engkau akan menyangkal Aku sebanyak tiga kali.” Petrus pun keluar lalu menangis dengan amat kesalnya. Orang yang mengawal Yesus mengejek dan memukul Dia. Mereka menutupi mata Yesus dan bertanya, “Siapakah yang memukul Engkau? Buatlah nubuat!” Mereka mengatakan banyak lagi perkara yang menghina kepada-Nya. Pada pagi hari, tua-tua masyarakat, ketua-ketua imam dan ahli-ahli Taurat bermesyuarat, dan Yesus dibawa ke hadapan Majlis Agama. Mereka berkata, “Jika Engkau Kristus, katakanlah kepada kami.” Yesus berkata kepada mereka, “Jika Aku mengatakan kepadamu, kamu tidak percaya juga. Dan jika Aku bertanya kepadamu, kamu juga tidak menjawab. Tetapi mulai sekarang, Anak Manusia akan duduk di sebelah kanan Allah Yang Maha Kuasa.” Mereka semua bertanya, “Kalau begitu, Engkaulah Anak Allah?” Yesus berkata kepada mereka, “Benarlah katamu.” Mereka berkata, “Apa perlunya saksi lagi? Kita sendiri telah mendengar apa yang dikatakan-Nya!”

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami