Lukas 22:54-71

Lukas 22:54-71 AVB

Setelah menangkap Yesus, mereka membawa Dia ke rumah imam besar. Petrus pun mengikut dari jauh. Mereka memasang api unggun di tengah-tengah halaman rumah itu lalu duduk di sekeliling. Petrus juga duduk antara mereka. Apabila seorang hamba perempuan melihat Petrus duduk berdekatan dengan api unggun, dia memandang kepadanya dan berkata, “Orang ini juga bersama Dia.” Tetapi Petrus menyangkal katanya, “Perempuan, aku tidak mengenal Dia!” Sejurus selepas itu, seorang lain pula melihat Petrus lalu berkata, “Ya, engkau seorang daripada mereka itu.” Tetapi Petrus menjawab, “Bukan, aku bukan!” Kira-kira sejam kemudian, seorang lain pula berkeras mengatakan, “Tentulah orang ini juga bersama Dia kerana dia juga seorang Galilea.” Tetapi Petrus berkata, “Aku tidak memahami apa yang kaukatakan.” Pada ketika itu juga, sedang Petrus berkata-kata, ayam berkokok. Tuhan berpaling dan memandang kepada Petrus lalu Petrus pun teringat akan apa yang dikatakan Tuhan kepadanya bahawa, “Sebelum ayam berkokok pada hari ini, engkau akan menyangkal Aku sebanyak tiga kali.” Petrus pun keluar lalu menangis dengan amat kesalnya. Orang yang mengawal Yesus mengejek dan memukul Dia. Mereka menutupi mata Yesus dan bertanya, “Siapakah yang memukul Engkau? Buatlah nubuat!” Mereka mengatakan banyak lagi perkara yang menghina kepada-Nya. Pada pagi hari, tua-tua masyarakat, ketua-ketua imam dan ahli-ahli Taurat bermesyuarat, dan Yesus dibawa ke hadapan Majlis Agama. Mereka berkata, “Jika Engkau Kristus, katakanlah kepada kami.” Yesus berkata kepada mereka, “Jika Aku mengatakan kepadamu, kamu tidak percaya juga. Dan jika Aku bertanya kepadamu, kamu juga tidak menjawab. Tetapi mulai sekarang, Anak Manusia akan duduk di sebelah kanan Allah Yang Maha Kuasa.” Mereka semua bertanya, “Kalau begitu, Engkaulah Anak Allah?” Yesus berkata kepada mereka, “Benarlah katamu.” Mereka berkata, “Apa perlunya saksi lagi? Kita sendiri telah mendengar apa yang dikatakan-Nya!”

Pelan Bacaan dan Renungan percuma yang berkaitan dengan Lukas 22:54-71