LUKAS 22:24-38
LUKAS 22:24-38 Alkitab Berita Baik (BM)
Pengikut-pengikut Yesus bertengkar tentang siapa antara mereka yang harus dianggap terbesar. Yesus berkata kepada mereka, “Raja bangsa yang tidak mengenal Allah menindas rakyat; para penguasanya disebut ‘Pelindung Rakyat’. Tetapi tidak demikian halnya dengan kamu. Sebaliknya, orang yang terbesar antara kamu mesti menjadi seperti yang terkecil dan pemimpin mesti menjadi seperti hamba. Siapakah yang lebih mulia, orang yang duduk makan atau orang yang melayani dia? Tentu orang yang duduk makan. Tetapi Aku ada antara kamu sebagai orang yang melayan. Kamu telah bersama-sama Aku dalam segala kesusahan-Ku. Sebagaimana Bapa-Ku telah memberikan hak kepada-Ku untuk memerintah, Aku juga akan memberikan hak itu kepada kamu. Kamu akan makan minum dengan Aku dan memerintah bersama-sama Aku pada waktu Aku menjadi raja. Kamu akan duduk di atas takhta untuk memerintah dua belas suku Israel.” “Simon, Simon, dengarlah! Iblis telah mendapat kebenaran untuk menguji kamu semua, seperti peladang memisahkan gandum daripada sekam. Tetapi Aku telah berdoa untukmu supaya imanmu tidak goyah. Apabila engkau balik kepada-Ku, engkau mesti menguatkan saudara-saudaramu.” Petrus menjawab, “Ya Tuhan, aku bersedia dipenjarakan dan mati bersama-sama Tuhan!” Yesus berkata, “Ketahuilah, Petrus, sebelum ayam berkokok hari ini, tiga kali engkau akan berkata engkau tidak mengenal Aku.” Kemudian Yesus bertanya kepada pengikut-pengikut-Nya, “Apabila Aku mengutus kamu dahulu dengan tidak membawa dompet, beg, atau kasut, adakah kamu kekurangan apa-apa?” “Tidak!” jawab mereka. “Tetapi sekarang,” kata Yesus, “orang yang mempunyai dompet atau beg, mesti membawanya; dan orang yang tidak mempunyai pedang, mesti menjual jubah untuk membeli pedang. Ketahuilah, ayat Alkitab ini mesti berlaku kepada diri-Ku: ‘Dia dianggap sebagai penjahat’. Apa yang tertulis tentang diri-Ku sedang berlaku sekarang ini.” Semua pengikut-Nya berkata, “Tuhan, lihatlah, di sini ada dua bilah pedang.” Yesus menjawab, “Cukuplah!”
LUKAS 22:24-38 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
¶ Maka adalah suatu pŭrbantahan pula diantara marika itu, yang manakah deripada marika itu kŭlak patut dibilangkan tŭrlebih bŭsar. Maka kata Isa kapada marika itu, Adapun raja raja orang sŭsat itu mŭlakukan kŭtuanannya diatas marika itu, dan orang yang mŭlakukan kwasa atas marika itu, maka iya itu dinamai pŭngasihan. Tŭtapi kamu jangan jadi bŭgitu, mŭlainkan yang tŭrlebih bŭsar diantara kamu itu biarlah iya mŭnjadi spŭrti yang tŭrlebih kŭchil, maka orang yang kapala itu spŭrti orang mŭlayani. Kŭrna yang manakah tŭrlebih bŭsar itu, orang yang dudok makankah, atau orang yang mŭlayanikah? Bukankah iya itu yang dudok makan; tŭtapi aku diantara kamu itu spŭrti yang mŭlayani. Kamulah dia yang ada slalu dŭugan aku, tŭtkala aku kŭna sagala pŭrchobaan. Maka aku tŭntukan kapada kamu, suatu krajaan spŭrti yang ditŭntukan ulih Ayahku kapadaku. Supaya kamu makan dan minum pada hidanganku, dalam krajaanku, dan dudok diatas tahkta tahkta mŭnghukumkan dua blas kaum bani Israil. Maka kata Tuhan, Simon, Simon, sŭsungguhnya Shietan tŭlah mŭnghandaki mŭndapat dikau, supaya bulih ditapisnya dikau spŭrti gandom. Tŭtapi aku tŭlah mŭmintakan doa akan dikau, supaya imanmu jangan hilang, maka apabila kamu tŭlah bŭrbalek, tŭgohkanlah akan saudara saudaramu. Maka kata Petros kapada Isa, Tuhan, adalah aku sŭdia akan pŭrgi bŭrsama sama dikau, baik kŭdalam pŭnjara, baik kapada mati. Maka kata Isa, Aku bŭrkata kapadamu, Petros, ayam jantan tiada akan bŭrkokok pada hari ini, kalau sŭbŭlom tiga kali angkau bŭrsangkal, iya itu tiada angkau mŭngŭnal aku. Maka kata Isa kapada marika itu, Apabila aku mŭnyurohkan kamu dŭngan tiada pundi pundi, dan baju, dan kasut, adakah kŭkorangan bagiemu? Maka jawab marika itu, Satu pun tidak. Sŭtlah itu maka katanya kapada marika itu, Tŭtapi skarang orang yang ada bŭrpundi pundi itu biarlah diambilnya, dŭmkian lagi bajunya, maka orang yang tiada bŭrpŭdang, biarlah dijualnya bajunya dan mŭmbli sa’bila. Kŭrna aku bŭrkata kapadamu, adapun iya ini yang tŭlah tŭrtulis itu, maka dapat tiada kŭlak akan digŭnapi bagieku, Iya tŭlah dibilangkan diantara orang orang yang bŭrsalah: kŭrna pŭrkara pŭrkara deri halku itu kŭlak akan datang kŭsudahannya. Maka kata marika itu, Tuhan, tengoklah, adalah disini dua bila pŭdang. Maka katanya kapada marika itu, Chukoplah.
LUKAS 22:24-38 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Satu perselisihan timbul dalam kalangan murid itu tentang siapa antara mereka yang dianggap terbesar. Yesus berkata kepada mereka, “Raja-raja bangsa asing memerintah rakyat dengan kuku besi, dan mereka yang melaksanakan kekuasaan digelar pembawa kebajikan kepada rakyat. Tetapi kamu tidak sama seperti mereka. Orang yang terbesar dalam kalanganmu hendaklah menjadi seperti yang terkecil, dan seorang ketua haruslah melayan yang lain. Siapakah yang lebih besar — orang yang duduk makan atau hamba yang melayan? Bukankah orang yang duduk makan itu? Tetapi Aku ini antara kamu sebagai yang melayan. Kamu bersama Aku dalam segala penderitaan-Ku. Aku memberikan hak kerajaan kepadamu untuk memerintah sebagaimana Bapa-Ku telah memberikan hak itu kepada-Ku. Kamu akan makan dan minum di meja-Ku dalam kerajaan-Ku dan kamu akan duduk di atas takhta untuk menghakimi dua belas suku Israel.” “Simon, Simon, dengarlah! Iblis telah mengemukakan tuntutan untuk menampi kamu seperti gandum. Tetapi Aku telah berdoa untukmu supaya imanmu tidak goyah. Apabila kamu kembali kepada-Ku, kuatkanlah saudara-saudaramu.” Petrus berkata kepada Yesus, “Tuhan, hamba sedia ke penjara dengan-Mu dan mati bersama-sama.” Yesus menjawab, “Aku berkata kepadamu, Petrus, sebelum ayam berkokok pada hari ini, kamu akan menyangkal bahawa kamu mengenal Aku sebanyak tiga kali.” Yesus berkata kepada mereka, “Ketika Aku mengutus kamu keluar tanpa dompet atau beg atau kasut, adakah kamu kekurangan apa-apa?” Mereka menjawab, “Satu pun tidak.” Yesus berkata lagi, “Tetapi sekarang, orang yang mempunyai dompet atau beg hendaklah membawa barang-barang tersebut. Orang yang tidak berpedang hendaklah menjual bajunya untuk membeli sebilah. Aku berkata kepadamu bahawa apa yang tersurat ini akan berlaku pada diri-Ku: ‘Dia tergolong bersama dengan penjahat.’ Sebabnya apa yang tersurat tentang Aku akan terlaksana.” Murid-murid itu berkata, “Tengoklah Tuhan, di sini ada dua bilah pedang!” Yesus berkata, “Cukuplah!”