Lukas 22:24-38

Lukas 22:24-38 AVB

Satu perselisihan timbul dalam kalangan murid itu tentang siapa antara mereka yang dianggap terbesar. Yesus berkata kepada mereka, “Raja-raja bangsa asing memerintah rakyat dengan kuku besi, dan mereka yang melaksanakan kekuasaan digelar pembawa kebajikan kepada rakyat. Tetapi kamu tidak sama seperti mereka. Orang yang terbesar dalam kalanganmu hendaklah menjadi seperti yang terkecil, dan seorang ketua haruslah melayan yang lain. Siapakah yang lebih besar — orang yang duduk makan atau hamba yang melayan? Bukankah orang yang duduk makan itu? Tetapi Aku ini antara kamu sebagai yang melayan. Kamu bersama Aku dalam segala penderitaan-Ku. Aku memberikan hak kerajaan kepadamu untuk memerintah sebagaimana Bapa-Ku telah memberikan hak itu kepada-Ku. Kamu akan makan dan minum di meja-Ku dalam kerajaan-Ku dan kamu akan duduk di atas takhta untuk menghakimi dua belas suku Israel.” “Simon, Simon, dengarlah! Iblis telah mengemukakan tuntutan untuk menampi kamu seperti gandum. Tetapi Aku telah berdoa untukmu supaya imanmu tidak goyah. Apabila kamu kembali kepada-Ku, kuatkanlah saudara-saudaramu.” Petrus berkata kepada Yesus, “Tuhan, hamba sedia ke penjara dengan-Mu dan mati bersama-sama.” Yesus menjawab, “Aku berkata kepadamu, Petrus, sebelum ayam berkokok pada hari ini, kamu akan menyangkal bahawa kamu mengenal Aku sebanyak tiga kali.” Yesus berkata kepada mereka, “Ketika Aku mengutus kamu keluar tanpa dompet atau beg atau kasut, adakah kamu kekurangan apa-apa?” Mereka menjawab, “Satu pun tidak.” Yesus berkata lagi, “Tetapi sekarang, orang yang mempunyai dompet atau beg hendaklah membawa barang-barang tersebut. Orang yang tidak berpedang hendaklah menjual bajunya untuk membeli sebilah. Aku berkata kepadamu bahawa apa yang tersurat ini akan berlaku pada diri-Ku: ‘Dia tergolong bersama dengan penjahat.’ Sebabnya apa yang tersurat tentang Aku akan terlaksana.” Murid-murid itu berkata, “Tengoklah Tuhan, di sini ada dua bilah pedang!” Yesus berkata, “Cukuplah!”