LUKAS 22:1-23

LUKAS 22:1-23 Alkitab Berita Baik (BM)

Perayaan Roti Tidak Beragi yang disebut Paska sudah dekat. Para ketua imam dan guru Taurat sedang mencari jalan untuk membunuh Yesus dengan diam-diam, kerana mereka takut akan orang ramai. Kemudian Iblis memasuki Yudas yang disebut Iskariot, seorang daripada dua belas orang pengikut Yesus. Lalu Yudas pergi berunding dengan para ketua imam dan ketua pengawal Rumah Tuhan tentang bagaimana dia boleh menyerahkan Yesus kepada mereka. Mereka gembira dan bersetuju memberikan wang kepadanya. Yudas pun bersetuju dan mula mencari peluang untuk menyerahkan Yesus kepada mereka tanpa diketahui oleh orang ramai. Semasa Perayaan Roti Tidak Beragi, tibalah harinya domba disembelih untuk jamuan Paska. Yesus menyuruh Petrus dan Yohanes, “Pergilah sediakan jamuan Paska untuk kita.” Mereka bertanya, “Di manakah Guru mahu kami menyiapkannya?” Yesus berkata, “Apabila kamu masuk ke bandar, kamu akan berjumpa dengan seorang lelaki yang menjunjung buyung air. Ikutilah dia ke rumah yang dimasukinya, lalu berkatalah kepada pemilik rumah itu, ‘Guru bertanya, di manakah bilik tempat Dia dan pengikut-pengikut-Nya akan makan jamuan Paska?’ Tuan rumah itu akan menunjukkan sebuah bilik besar di tingkat atas yang lengkap dengan segala perabotnya. Siapkanlah segala-galanya di situ.” Mereka pergi dan mendapati semuanya seperti yang dikatakan oleh Yesus, lalu mereka menyediakan jamuan Paska. Apabila tiba waktunya untuk makan jamuan Paska, Yesus makan bersama dengan rasul-rasul itu. Dia berkata kepada mereka, “Aku ingin sekali makan jamuan Paska ini bersama-sama kamu sebelum kematian-Ku! Percayalah, Aku tidak akan memakannya lagi sehingga makna perjamuan ini dinyatakan di Dunia Baru Allah.” Setelah itu Yesus mengambil sebuah cawan berisi wain. Dia mengucap syukur kepada Allah, lalu berkata, “Ambillah cawan ini, dan bahagikanlah antara kamu sendiri. Ketahuilah, mulai sekarang Aku tidak akan minum wain ini lagi sehingga Allah memerintah dengan sepenuhnya.” Kemudian Yesus mengambil roti. Setelah Dia mengucap syukur kepada Allah, Dia membahagi roti itu lalu memberikannya kepada mereka sambil berkata, “Inilah tubuh-Ku, yang diberikan untuk kamu. Berbuatlah demikian untuk mengenang Aku.” Begitu juga setelah makan, Dia memberikan cawan itu kepada mereka sambil berkata, “Cawan wain ini perjanjian Allah yang baru, yang disahkan dengan darah-Ku, darah yang dicurahkan untuk kamu. Tetapi lihatlah! Orang yang mengkhianati Aku ada di sini bersama-sama Aku! Anak Manusia akan mati sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Allah; tetapi malanglah orang yang mengkhianati Dia!” Lalu mereka mula bertanya sesama sendiri, siapa antara mereka yang akan melakukan perkara itu.

LUKAS 22:1-23 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

SŬBARMULA maka hari raya roti yang tiada bŭragi itu pun tŭlah hampirlah, yang bŭrnama langkah. Maka kŭpala kŭpala imam, dan khatib khatib itu mŭnchari jalan bagimana marika itu handak mŭmbunoh akan Isa, kŭrna marika itn takot akan kaum itu. ¶ Sŭtlah itu maka masoklah Shietan kŭdalam hati Yudas yang bŭrgŭlar Iskariot, iya itu dalam bilangan kadua blas murid. Maka bŭrjalanlah iya lalu mufakat dŭngan kŭpala kŭpala imam, dan pŭnghulu pŭnghulu, bagimana iya handak sŭrahkan akan Isa kapada marika itu. Maka sukalah marika itu, sŭrta mŭmbuat pŭrjanjian akan mŭmbri wang kapadanya. Maka bŭrjanjilah iya sŭrta mŭnchari kutika yang baik handak mŭnyŭrahkan Isa kapada marika itu pada masa tiada bŭlatantara. ¶ Maka hari roti yang tiada bŭragi itupun sampielah apabila langkah itu patut dikorbankan. Maka disurohkan Isa Petros dan Yahya, katanya, Pŭrgilah sŭdiakan bagie kami langkah itu, supaya bulih kita makan. Maka kata marika itu kapadanya, Dimanakah angkau kahandaki kami sŭdiakan? Maka katanya kapada marika itu, Sŭsungguhnya apabila kamu masok kŭdalam nŭgri, maka disana kamu akan bŭrtŭmu dŭngan sa’orang mŭmbawa sa’buyong ayer, ikotlah akan dia sampie kŭrumah yang dimasokkinya. Maka katalah kamu kapada orang yang ampunya rumah itu, Adapun Guru tŭlah bŭrkata kapadamu, dimana bilek pŭrjamuan yang aku akan mŭmakan langkah sŭrta murid muridku? Maka iya kŭlak akan mŭngunjokkan kapada kamu sa’buah bilek bŭsar diatas tŭrhias, disanalah sŭdiakan. Maka marika itu pun pŭrgilah, lalu didapatinyalah spŭrti pŭrkataan itu, maka disŭdiakanlah ulih marika itu langkah itu. Maka apabila sampielah waktunya, dudoklah iya sŭrta dua blas murid muridnya bŭrsama sama. Maka katanya kapada marika itu, Dŭngan sangat niat kukahandaki mŭmakan langkah ini dŭngan kamu dahulu deri pada aku disŭngsarakan. Kŭrna aku bŭrkata kapadamu, tiadalah lagi aku akan mŭmakan akan dia, sahingga iya itu digŭnapkan dalam krajaan Allah. Maka diambilnya chawan itu sambil mŭnguchap shukor, sŭrta katanya, Ambillah ini, bahgilah diantara kamu. Kŭrna aku bŭrkata kapadamu, tiada aku akan mŭminum deripada buah anggor ini, sahingga kŭlak akan datang krajaan Allah. ¶ Maka diambilnya roti sŭrta mŭnguchap shukor lalu dipŭchahnya sŭrta dibrikannya kapada marika itu, katanya, Inilah tubohku yang tŭlah dibri kŭrna kamu, buatlah ini supaya mŭnjadi pŭringatan akan daku. Dŭmkian lagi pula chawan itu, sŭtlah sudah makan, katanya, Adapun chawan inilah pŭrjanjian bahru deripada darahku yang tŭlah tŭrtumpah sŭbab kamu. ¶ Tŭtapi tengoklah adapun tangan yang mŭnyŭrahkan aku itu, iya itu ada dŭngan aku diatas meja ini. Maka sŭsungguhnya Anak manusia akan pŭrgi spŭrti yang tŭlah ditŭntukan, tŭtapi karamlah bagie orang itu yang mŭnyŭrahkan dia. Maka marika itupun mŭmulailah bŭrtanya antara sama sŭdirinya, yang manakah deripada marika itu kŭlak akan bŭrbuat pŭrkara itu.

LUKAS 22:1-23 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Perayaan Roti Tidak Beragi, iaitu Perayaan Paskah, telah menjelang. Ketua-ketua imam dan ahli-ahli Taurat sedang mencari jalan untuk membunuh Yesus secara diam-diam kerana mereka takut akan orang ramai itu. Kemudian, Iblis memasuki Yudas Iskariot, seorang daripada dua belas murid Yesus. Lalu Yudas pergi kepada ketua-ketua imam dan pengawal Bait Suci untuk membincangkan bagaimana dia dapat mengkhianati Yesus dan menyerahkan-Nya kepada mereka. Mereka gembira lalu berjanji memberikan wang kepadanya. Yudas pun bersetuju lalu dia mencari peluang untuk mengkhianati Yesus dan menyerahkan-Nya kepada mereka tanpa diketahui orang ramai. Tibalah Perayaan Roti Tidak Beragi. Pada hari itu domba Paskah harus disembelih untuk jamuan Paskah. Yesus menyuruh Petrus dan Yohanes, “Pergilah sediakan jamuan Paskah untuk kita.” Mereka bertanya kepada Yesus, “Di manakah Engkau hendak kami sediakan jamuan itu?” Yesus menjawab, “Setibanya kamu ke dalam kota itu, seorang lelaki yang membawa sekendi air akan menemui kamu. Ikutlah dia ke rumah yang dimasukinya lalu berkatalah kepada tuan rumah itu, ‘Guru berkata: Di manakah ruang tamu untuk Aku makan jamuan Paskah dengan murid-murid-Ku?’ Tuan rumah itu akan menunjukkan kepadamu sebuah ruang besar di tingkat atas yang lengkap dengan perabot. Di situlah kamu sediakan jamuan Paskah.” Mereka pergi ke kota dan mendapati semua seperti yang telah dikatakan Yesus kepada mereka. Lalu mereka menyediakan jamuan Paskah. Apabila tiba masanya, Yesus pun duduk bertelekan di meja bersama rasul-rasul yang dua belas itu. Lalu Yesus berkata kepada mereka, “Sebenarnya, Aku telah lama ingin sekali makan jamuan Paskah ini bersama kamu sebelum Aku menderita. Aku berkata kepadamu bahawa Aku tidak akan makan jamuan ini lagi sehingga maksud sebenar Paskah dinyatakan dalam kerajaan Allah.” Setelah itu, Yesus mengambil sebiji cawan minuman. Dia mengucap syukur lalu berkata, “Ambillah cawan ini dan bahagikan minumannya antara kamu. Aku berkata kepadamu bahawa mulai sekarang, Aku tidak akan minum air anggur lagi hinggalah kerajaan Allah datang.” Kemudian Yesus mengambil roti, mengucap syukur lalu memecah-mecahkan roti itu dan memberikannya kepada murid-murid-Nya, sambil berkata, “Inilah tubuh-Ku yang diserahkan untukmu; lakukanlah ini sebagai peringatan kepada-Ku.” Demikian juga, sesudah makan, Dia mengambil cawan sambil berkata, “Cawan ini perjanjian baru dengan darah-Ku yang ditumpahkan bagimu. Tengoklah! Orang yang mengkhianati Aku ada bersama-sama di meja ini. Anak Manusia memanglah harus pergi seperti yang ditetapkan, tetapi malangnya orang yang mengkhianati-Nya!” Mereka mula bertanya-tanya sesama sendiri siapakah antara mereka yang akan berbuat demikian.