LUKAS 2:1-38
LUKAS 2:1-38 Alkitab Berita Baik (BM)
Pada masa itu Kaisar Agustus menitahkan semua penduduk Empayar Roma mendaftarkan diri untuk dibanci. Pembancian yang pertama dijalankan sewaktu Kirenius menjadi gabenor negeri Siria. Semua orang pergi ke kota masing-masing untuk mendaftarkan diri. Yusuf berangkat dari Nasaret di Galilea, lalu pergi ke Betlehem di Yudea, tempat lahir Raja Daud. Yusuf pergi ke sana kerana dia keturunan Raja Daud. Dia mendaftarkan diri bersama-sama Maria, tunangannya yang sedang mengandung. Ketika mereka di Betlehem, tibalah masanya bagi Maria untuk bersalin. Dia melahirkan seorang anak lelaki, anaknya yang sulung. Anak itu dibedungnya lalu diletakkan di dalam palung, kerana mereka tidak mendapat tempat untuk menumpang. Pada malam itu, beberapa orang gembala sedang menjaga domba di padang. Tiba-tiba malaikat Tuhan menampakkan diri kepada mereka dan cahaya kemuliaan Tuhan menerangi mereka sehingga mereka ketakutan. Tetapi malaikat itu berkata, “Janganlah takut! Aku datang membawa Berita Baik untuk kamu, berita yang akan menggembirakan semua orang. Pada hari ini di kota Daud telah lahir Penyelamat kamu, Kristus, Tuhan. Inilah tandanya: Kamu akan menemui seorang bayi yang dibedung dengan kain dan berbaring di dalam palung.” Tiba-tiba malaikat itu disertai oleh sepasukan besar malaikat syurga, yang memuji-muji Allah, “Termulialah Allah di langit yang tertinggi! Dan di atas bumi, sejahteralah manusia yang menyenangkan hati-Nya!” Setelah para malaikat itu meninggalkan mereka dan kembali ke syurga, gembala-gembala itu bercakap sesama mereka, “Marilah kita pergi ke Betlehem dan melihat perkara yang berlaku itu, yang sudah diberitahukan oleh Tuhan kepada kita.” Mereka segera pergi, lalu menjumpai Maria, Yusuf, dan bayi yang sedang berbaring di dalam palung. Apabila para gembala melihat bayi itu, mereka memberitahu semua orang di situ apa yang dikatakan oleh malaikat tentang bayi itu. Semua orang yang mendengarnya hairan akan apa yang dikatakan oleh para gembala itu. Tetapi Maria menyimpan semua perkara itu di dalam hati dan merenungkannya. Semua gembala itu kembali ke padang sambil memuji-muji Allah bagi segala yang sudah didengar dan dilihat oleh mereka, kerana semuanya tepat seperti yang dikatakan oleh malaikat. Sesudah berumur lapan hari, tibalah masanya anak itu disunat. Dia dinamakan Yesus, nama yang diberikan oleh malaikat kepada-Nya sebelum Dia dikandung oleh ibu-Nya. Tibalah masanya Yusuf dan Maria menjalankan upacara penyucian menurut Taurat Musa. Oleh itu, mereka membawa anak itu ke Yerusalem untuk diserahkan kepada Tuhan. Di dalam hukum Tuhan tertulis, “Tiap-tiap anak lelaki sulung harus diserahkan kepada Tuhan.” Mereka juga mempersembahkan korban menurut hukum Tuhan, iaitu sepasang burung dara atau dua ekor burung merpati muda. Pada masa itu di Yerusalem ada seorang lelaki bernama Simeon. Dia seorang yang baik dan takut akan Allah. Dia menantikan masanya Allah menyelamatkan Israel. Roh Allah menyertai Simeon dan memberitahu dia bahawa dia tidak akan meninggal sebelum melihat Penyelamat yang dijanjikan oleh Tuhan. Dengan pimpinan Roh Allah Simeon masuk ke Rumah Tuhan. Pada waktu itu Yusuf dan Maria membawa Yesus yang masih kecil itu ke Rumah Tuhan untuk melakukan apa yang diperintahkan Taurat bagi-Nya. Simeon mengambil anak itu lalu mendukung-Nya sambil memuji Allah, “Sekarang, ya Tuhan, Engkau telah menepati janji-Mu. Biarlah hamba-Mu meninggal dengan tenteram. Dengan mataku sendiri aku sudah melihat Penyelamat yang datang daripada-Mu. Penyelamat yang telah Engkau sediakan di hadapan semua bangsa; bagaikan cahaya yang menunjukkan kehendak-Mu bagi bangsa-bangsa lain dan cahaya yang mendatangkan kemuliaan bagi umat-Mu Israel.” Ibu bapa anak itu hairan mendengar apa yang dikatakan oleh Simeon tentang anak itu. Simeon memberkati mereka dan berkata kepada Maria, ibu anak itu, “Anak ini sudah dipilih oleh Allah untuk membinasakan dan menyelamatkan banyak orang Israel. Dia akan menjadi tanda daripada Allah, yang akan dilawan oleh banyak orang, dan dengan demikian terdedahlah rahsia fikiran mereka. Seperti pedang yang tajam, kesedihan akan menikam hatimu.” Ada pula seorang nabi wanita bernama Hana anak Fanuel, daripada suku Asyer. Dia balu dan umurnya sudah lanjut. Dia berkahwin selama tujuh tahun, dan sekarang umurnya lapan puluh empat tahun. Dia tidak pernah meninggalkan Rumah Tuhan. Siang malam dia beribadat kepada Allah dengan berdoa dan berpuasa. Tepat pada waktu itu dia datang, lalu bersyukur kepada Allah. Dia bercakap tentang anak itu kepada semua orang yang menantikan masanya Allah membebaskan Yerusalem.
LUKAS 2:1-38 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
MAKA pada skali pŭrstua pada zaman itu, kluarlah suatu hukum deri Kiesar Agustus, iya itu sagala dunia patutlah kŭna chukie. Adapun chukie itu tŭlah jadi deripada mula mula tŭtkala Kirenius mŭnjadi pŭmŭrentah di‐Syria. Maka sagala orang pun pŭrgilah masing masing kanŭgrinya akan dichukienya. Maka Yusof pŭrgilah deri Galilia, kluar deripada nŭgri Nazareth, kapada Yahuda, dalam nŭgri Daud, yang bŭrnama Bethliham; (kŭrna adalah iya itu klorga dan kŭturonan Daud.) Akan dichukienya dŭngan Mŭriam, tunangannya, tŭngah ada iya mŭngandong sarat. Hata maka dŭngan hal yang dŭmkian, sŭmŭntara ada marika itu disana, maka hari pun gŭnaplah yang patut pŭrampuan itu branak. Maka branaklah iya akan anaknya yang sulong sa’orang anak laki laki, maka dibungkusnya akan dia dŭngan kain bŭdong, lalu dibawanya masok kŭdalam kandang lŭmbu, kŭrna tiada ada bŭrtŭmpat pada marika itu dalam rumah mŭnompang. Maka adalah dalam nŭgri itu juga gombala gombala kambing itu tinggal dalam padang, iya itu mŭnjaga akan kawan kawan kambingnya pada malam. Maka sŭsungguhnya datanglah mŭliekat Tuhan atas marika itu, dan kŭmuliaan Tuhan pun bŭrchayalah bŭrkliling marika itu, maka marika itu skalian kŭtakotanlah sangat. Maka bŭrkatalah mŭliekat itu kapada marika itu, Janganlah takot, kŭrna sŭsungguhnya aku mŭmbawa kapada kamu khabar yang baik, yang mŭndatangkan kasukaan yang bŭsar, iya itu akan jadi kapada sagala kaum. Kŭrna kapada kamu tŭlah jadi pada hari ini dalam nŭgri Daud sa’orang Pŭnulong, maka iya itulah Almasih Tuhan itu. Maka inilah tandahnya kapada kamu, maka kamu akan mŭndapat kanak kanak itu bŭrbalot dŭngan kain bŭdong, tŭrlŭtak dalam suatu kandang. Maka sŭkunyung kunyung adalah disana bŭrsama sama dŭngan mŭliekat suatu bŭlatŭntara deri langit bŭrpasukan mŭmuji Allah; maka katanya, Pujilah akan Allah dalam kŭtinggiannya, dan sŭjahtralah diatas bumi, kŭbajikan bagie manusia. Sŭbarmula maka sŭtlah sudahlah mŭliekat itu kŭmbali deripada marika itu kŭlangit, maka bŭrkatalah gombala gombala itu sa’orang kapada sa’orang, Skarang biarlah kita pŭrgi mŭski pun kaBethliham, sŭrta mŭlihat pŭrkara yang tŭlah jadi, yang tŭlah dibri tahu ulih Tuhan kapada kita. Maka marika itu pun datanglah dŭngan gopohnya, maka didapatinya Mŭriam, dan Yusof, dan kanak kanak itu pun adalah bŭrbaring dalam kandang. Maka apabila dilihat ulih marika itu akan dia, dimashorkanlah ulih marika itu akan pŭrkataan yang tŭlah dikatakan kapadanya derihal kanak kanak itu. Maka sagala marika itu yang mŭnŭngar itu, hieranlah akan pŭrkara pŭrkara yang tŭlah dikatakan ulih gombala gombala itu kapada marika itu. Tŭtapi ditarohlah ulih Mŭriam akan sagala pŭrkara itu dalam hatinya, sambil iya bŭrfikir fikir. Maka gombala gombala itu pun kŭmbalilah, sambil mŭmuliakan, dan mŭmuji Allah, sŭbab sagala pŭrkara yang tŭlah didŭngar, sŭrta dilihatnya, spŭrti yang tŭlah dikatakan kapadanya. Maka apabila dŭlapan hari tŭlah gŭnaplah, supaya budak itu disunatkan, maka dinamai akan dia ISA, yang tŭlah dinamai dŭmkian ulih mŭliekat tŭrdahulu deripada iya lagi digandongkan dalam rahim. Maka apabila sudah lŭpas hari suchi maknya spŭrti hukum Musa itu, maka dibawalah ulih marika itu akan dia kanŭgri Jerusalem, handak dihadapkan kapada Tuhan. Spŭrti yang tŭrtulis dalam hukum Tuhan, Skalian laki laki yang kluar deri prot, iya itu akan disŭbot suchi kapada Tuhan. Dan akan dipŭrsŭmbahkan suatu korban spŭrti yang tŭlah tŭrsŭbot dalam hukum Tuhan, Sa’pasang tŭkukor, atau dua ekor anak mŭrpati. ¶ Maka sŭsungguhnya adalah sa’orang dalam Jerusalem yang bŭrnama Simon, maka iya itu sa’orang yang bŭnar, lagi bŭrbakti, adalah iya tŭngah mŭnantikan pŭnghiburan Israil itu, maka Roh Alkudus adalah kapadanya. Maka tŭlah dinyatakan kapadanya ulih Roh Alkudus, maka tiadalah kŭlak iya akan mŭlihat kŭmatian, sŭbŭlom iya mŭlihat akan Almasih Tuhan. Maka datanglah iya dŭngan kwasa Roh kŭdalam ka’abah, apabila dibawalah ibu bapanya akan Isa, kanak kanak itu handak dipŭrbuat akan dia spŭrti adat Tauret, Lalu diambil ulih Simon akan dia didokongnya, sambil mŭmuji Allah, sŭrta katanya, Tuhan, skaranglah kiranya biar hambamu kŭmbali dŭngan sŭjahtranya spŭrti fŭrmanmu. Kŭrna mataku tŭlah mŭlihat slamatmu: Yang tŭlah angkau sŭdiakan dihadapan muka sagala kaum. Iya itu suatu trang akan mŭnŭrangkan orang sŭsat; suatu kŭmuliaanlah kapada kaummu Israil. Maka Yusof sŭrta bondanya pun hieranlah akan pŭrkara itu yang tŭlah dikatakan deri halnya. Maka Simon pun mŭmbri bŭrkat kapada marika itu, sambil bŭrkata kapada Mŭriam bondanya, Sŭsungguhnya kanak kanak ini ditaroh sŭbab binasa dan slamat kŭbanyakkan dalam Israil, dan kŭrna suatu alamat kŭlak akan dijahatkan. Bahkan, sa’bila pŭdang yang akan masok trus jiwamu sŭndiri pun, supaya fikir fikiran hati kŭbanyakkan orang akan dinyatakan. ¶ Maka adalah sa’orang yang bŭrnama Anna, iya itu sa’orang nabi pŭrampuan, anak Phanuel, iya itu bangsa deripada Aser; maka adalah iya itu banyak umor, maka iya tŭlah diam dŭngan sa’orang suami tujoh tahun deripada datang akal. Maka iya itu sa’orang pŭrampuan bujang, umornya adalah kira kira dŭlapan puloh tahun; maka tiadalah iya kluar kluar deri ka’abah, mŭlainkan bŭrbuat ibadat kapada Allah dŭngan puasa dan sŭmbahyang pada malam dan siang. Maka datanglah iya pada sŭsa’at itu, iya pun mŭmbri trima kasih kapada Tuhan, dan bŭrkata kata deri halnya kapada sagala marika itu yang mŭnantikan pŭnŭbus dalam Jerusalem.
LUKAS 2:1-38 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Pada masa itu Kaisar Agustus menitahkan semua penduduk di seluruh dunia dibanci. Ketika pembancian pertama dilaksanakan, Kurenius menjadi gabenor di Siria. Dalam pembancian tersebut, setiap orang perlu kembali ke tempat lahir masing-masing untuk mendaftarkan diri. Oleh itu, Yusuf terpaksa berangkat dari bandar Nazaret di Galilea ke kota Daud yang bernama Betlehem di Yudea kerana dia daripada keturunan Daud. Dia pergi untuk mendaftarkan diri bersama Maria, tunangnya yang sedang hamil. Sewaktu mereka di sana, tibalah masanya untuk dia bersalin. Dia melahirkan seorang anak lelaki, iaitu anak sulungnya. Dia membedung anak itu lalu membaringkan-Nya di dalam sebuah palung kerana tidak ada tempat bagi mereka di rumah tumpangan. Di daerah itu ada beberapa orang gembala yang bermalam di padang kerana menjaga domba mereka. Tiba-tiba malaikat Tuhan muncul di hadapan mereka dan kemuliaan Tuhan menerangi mereka, lalu mereka ketakutan. Tetapi malaikat itu berkata kepada mereka, “Jangan takut! Aku membawa kepadamu berita baik yang akan memberikan sukacita besar kepada seluruh umat. Pada malam ini di kota Daud telah lahir seorang Penyelamat bagimu, iaitu Kristus, Tuhan. Inilah tandanya bagimu: Kamu akan menjumpai seorang anak yang dibedung dan dibaringkan di dalam sebuah palung.” Tiba-tiba malaikat itu disertai oleh satu angkatan syurga yang besar memuji-muji Allah: “Kemuliaan bagi Allah di tempat yang maha tinggi dan damai sejahtera di bumi bagi orang yang berkenan pada hati-Nya.” Setelah malaikat-malaikat itu meninggalkan mereka untuk kembali ke syurga, gembala-gembala itu berkata sesama sendiri, “Marilah kita pergi ke Betlehem untuk melihat kejadian yang telah berlaku itu seperti yang diberitahu Tuhan kepada kita.” Mereka pergi dengan segera lalu menjumpai Maria dan Yusuf serta bayi itu yang sedang terbaring di dalam palung. Setelah melihat bayi itu, mereka pun memberitahu segala yang telah dikatakan kepada mereka tentang anak itu. Semua yang mendengar berasa kagum tentang apa yang dikatakan oleh gembala-gembala itu kepada mereka; tetapi Maria menyimpan segala perkara ini dalam hatinya dan merenunginya. Kemudian gembala-gembala itu pulang sambil memuji-muji Allah atas segala yang didengar dan dilihat mereka. Segalanya seperti yang dikatakan kepada mereka. Lapan hari kemudian, tibalah masanya untuk menyunatkan bayi itu, lalu Dia diberi nama Yesus, seperti yang dikatakan oleh malaikat sebelum Dia dikandung oleh Maria. Setelah tamat masa penyucian mengikut hukum Taurat Musa, mereka pun membawa Yesus ke Yerusalem untuk mempersembahkan-Nya kepada Tuhan. Tersurat dalam Hukum Tuhan bahawa setiap anak lelaki sulung akan diserahkan kepada Tuhan. Mereka juga mempersembahkan korban mengikut apa yang ditetapkan dalam Hukum Tuhan, iaitu sepasang burung tekukur atau dua ekor anak merpati. Pada masa itu ada seorang di Yerusalem yang bernama Simeon. Seorang yang salih dan takut kepada Allah, Simeon menantikan masa terhiburnya Israel. Dan dia disertai Roh Kudus. Roh Kudus telah memberitahunya bahawa dia tidak akan meninggal dunia sebelum dia melihat Kristus yang dijanjikan oleh Tuhan. Atas pimpinan Roh dia masuk ke dalam Bait Suci. Ketika Yesus, anak itu, dibawa masuk oleh ibu bapa-Nya untuk menunaikan hukum Taurat itu, Simeon mendukung Dia dan memuji Allah lalu berkata: “Ya Tuhan, sekarang biarlah hamba-Mu pergi dengan sejahtera, menurut firman-Mu: kerana mataku telah melihat penyelamatan-Mu yang telah Kausediakan di hadapan segala bangsa, satu cahaya yang akan menunjukkan jalan kepada bangsa-bangsa asing dan menjadi kemuliaan bagi umat-Mu Israel.” Ibu dan bapa-Nya kagum mendengar apa yang dikatakan tentang anak itu. Simeon memberkati mereka dan berkata kepada Maria, ibu anak itu, “Anak ini telah dipilih oleh Tuhan untuk menjatuhkan dan membangunkan ramai orang di Israel kelak; Dia menjadi tanda yang akan dibantahi orang supaya fikiran dalam hati mereka didedahkan. Dan jiwamu sendiri akan ditusuk oleh pedang.” Ada pula seorang nabiah yang bernama Hana anak Fanuel, daripada suku Asyer. Dia telah lanjut usianya. Sesudah berkahwin selama tujuh tahun dan hidup bersama dengan suaminya, Hana kemudian menjadi balu sehingga dia berumur lapan puluh empat tahun. Dia tidak pernah meninggalkan Bait Suci, malahan dia beribadat kepada Allah dengan berpuasa dan berdoa siang malam. Pada ketika itu juga, dia datang dan mengucapkan syukur kepada Allah lalu berkata tentang anak itu kepada semua orang yang menantikan pembebasan bagi Yerusalem.