LUKAS 13:22-30
LUKAS 13:22-30 Alkitab Berita Baik (BM)
Dalam perjalanan ke Yerusalem, Yesus melalui beberapa buah kota dan pekan sambil mengajar. Seorang bertanya kepada-Nya, “Tuan, sedikit sahajakah orang yang akan diselamatkan?” Yesus menjawab, “Berusahalah sebaik-baiknya untuk masuk melalui pintu yang sempit, kerana banyak orang yang mencuba masuk, tetapi tidak dapat. Pada waktu tuan rumah bangun dan menutup pintu, kamu yang berdiri di luar mula mengetuk pintu dan berkata, ‘Tuan, bukalah pintu untuk kami!’ Tuan itu akan menjawab, ‘Aku tidak tahu dari mana kamu datang!’ Kamu akan menjawab, ‘Kami sudah makan dan minum bersama-sama tuan, dan tuan juga mengajar di kota kami!’ Tetapi tuan itu akan berkata lagi, ‘Aku tidak tahu dari mana kamu datang. Pergilah dari sini, kamu semua yang melakukan kejahatan!’ Pada waktu kamu melihat Abraham, Ishak, dan Yakub serta semua nabi bersukacita di Dunia Baru Allah, kamu akan menangis dan menderita kerana kamu diusir ke luar! Orang akan datang dari timur dan barat, dari utara dan selatan, untuk menikmati jamuan di Dunia Baru Allah. Sesungguhnya orang yang sekarang terakhir akan menjadi yang pertama dan orang yang sekarang pertama akan menjadi yang terakhir.”
LUKAS 13:22-30 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Maka Isa pun pŭrgilah kuliling nŭgri nŭgri, dan kampong kampong mŭngajar, dan bŭrjalan mŭnuju kaJerusalem. Sŭtlah itu maka kata sa’orang kapadanya, Tuhan, sŭdikitkah sahja orang yang mŭndapat slamat? Maka katanya kapada marika itu: Susahkanlah dirimu masok pada pintu yang sŭmpit, kŭrna aku bŭrkata kapadamu, banyaklah orang yang handak mŭnchari jalan masok kŭdalamnya, tiada akan bulih. Maka apabila tuan yang ampunya rumah itu bangun sŭrta mŭrta, lalu ditutopkannyalah pintu itu, maka kamu tŭngah bŭrdiri dipintu sambil mŭngŭtok pintu, bŭrkata, Tuhan, Tuhan, bukakanlah pintu bagie kami. Maka iya kŭlak akan mŭnjawab, sŭrta bŭrkata, Aku tiada mŭngŭnal akan dikau deri mana datangmu. Sŭtlah itu kamu kŭlak akan bŭrkata, Kami tŭlah makan minum dihadapanmu, dan angkau tŭlah mŭngajar dilorong lorong kami. Tŭtapi iya kŭlak akan mŭnjawab, katanya, Aku tiadalah mŭngŭnal akan dikau deri manakah datanmu; undorlah deripadaku, hie sagala kamu yang bŭrbuat jahat. Maka disanalah akan ada tangis tangisan dan kŭrtak gigi, apabila kamu kŭlak mŭlihat Ibrahim, dan Isahak, dan Yakob, dan sagala nabi nabi dalam krajaan Allah, maka angkau sŭndiri diri akan ditolakkan kluar. Maka marika itu akan datang deri timor, dan deri barat, dan deri utara, dan deri sŭlatan, akan dudok dalam krajaan Allah. Maka sŭsungguhnya yang tŭrkumdian itu akan mŭnjadi pŭrtama, dan yang pŭrtama itu akan mŭnjadi tŭrkumdian.
LUKAS 13:22-30 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Dalam perjalanan ke Yerusalem, Yesus melalui beberapa buah kota dan kampung sambil mengajar. Seorang bertanya kepada-Nya, “Tuan, adakah segelintir sahaja yang akan diselamatkan?” Yesus menjawab, “Berusahalah untuk memasuki pintu yang sempit. Aku berkata kepadamu bahawa ramai orang akan mencari jalan masuk, tetapi mereka tidak mendapatinya. Tuan rumah akan bangun dan menguncikan pintu ketika kamu berdiri di luar mengetuk pintu sambil berkata, ‘Tuan, tuan, bukalah pintu.’ Tetapi dia akan menjawab, ‘Aku tidak tahu dari mana kamu datang.’ Kemudian kamu akan berkata, ‘Kami telah makan dan minum bersama tuan, dan tuan mengajar di kota kami.’ Tetapi tuan itu akan berkata, ‘Aku tidak tahu dari mana kamu datang. Nyahlah kamu dari sini, kamu semua penjahat!’ Di tempat itu akan terdapat ratapan dan kertakan gigi apabila kamu melihat Abraham, Ishak dan Yakub bersama semua nabi dalam kerajaan Allah, tetapi kamu diusir keluar. Orang akan datang dari timur dan barat, dari utara serta selatan untuk duduk bertelekan di meja menikmati jamuan dalam kerajaan Allah. Sesungguhnya, ada orang yang terakhir akan menjadi yang terdahulu, dan ada orang yang terdahulu akan menjadi yang terakhir.”