LUKAS 12:35-40
LUKAS 12:35-40 Alkitab Berita Baik (BM)
“Bersiap-siaplah untuk menghadapi apa sahaja. Kamu harus sentiasa siap sedia dengan pelita yang menyala. Hendaklah kamu seperti hamba yang sedang menantikan tuan mereka balik daripada jamuan perkahwinan. Apabila tuan itu balik dan mengetuk pintu, dengan segera mereka akan membuka pintu. Alangkah bahagianya hamba-hamba yang didapati berjaga dan siap sedia ketika tuan mereka kembali! Percayalah, tuan itu akan menanggalkan jubah, dan menyuruh hamba-hambanya duduk lalu melayani mereka. Alangkah bahagianya hamba-hamba itu jika didapati bersiap sedia, meskipun tuan mereka balik pada tengah malam atau lebih lambat lagi! Ingatlah! Jika tuan rumah mengetahui saatnya pencuri akan datang, dia tidak akan membiarkan pencuri masuk ke dalam rumahnya. Kamu pun harus sentiasa bersiap sedia, kerana Anak Manusia akan datang pada saat yang tidak kamu sangka.”
LUKAS 12:35-40 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Maka biarlah pinggangmu itu ada tŭrikat, dan biarlah sulohmu itu mŭnyala. Dan kamu sŭndiri biarlah spŭrti orang orang yang mŭnantikan tuannya, apabila iya kŭlak bŭrbalik deripada pŭrjamuan orang kahwen, supaya sŭtlah iya datang mŭngŭtok, maka dŭngan sŭgranya marika itu bulih mŭmbukakan. Slamatlah kiranya akan hamba hamba itu, apabila datang tuannya kŭlak didapatinya iya ada bŭrjaga; maka sŭsungguhnya aku bŭrkata kapadamu, maka tuan itu kŭlak akan mŭngikat pinggangnya, sŭrta disurohnya akan marika itu dudok makan, dan iya akan mŭlayani akan marika itu. Maka jikalau iya datang kŭlak kapada kawol yang kadua atau katiga, sŭrta didapatinya akan marika itu dŭmkian, maka slamatlah hamba hamba itu adanya. Maka kŭtahuilah ulihmu akan pŭrkara ini, adapun jikalau orang yang ampunya rumah itu tŭlah mŭngtahui waktu manakah pŭnchuri itu akan datang, maka iya kŭlak akan bŭrjaga, maka tiada dibiarkannya rumahnya itu dipŭchahkannya trus. Maka sŭbab itu handaklah kamu pun sŭdia, kŭrna Anak manusia datang pada masa yang tiada kamu sangkakan.
LUKAS 12:35-40 Alkitab Versi Borneo (AVB)
“Kamu hendaklah bersiap sedia dengan pelitamu terpasang. Kamu hendaklah seperti orang yang menantikan kepulangan tuan mereka dari jamuan perkahwinan. Apabila tuan mereka pulang dan mengetuk pintu, mereka akan membuka pintu itu dengan serta-merta. Diberkatilah hamba-hamba yang didapati berjaga-jaga oleh tuan mereka ketika dia pulang. Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, tuan itu akan menyuruh mereka duduk bertelekan di meja dan dia sendiri akan melayan mereka. Diberkatilah hamba-hamba itu jika tuan itu pulang baik pada tengah malam ataupun sebelum fajar menyingsing dan mendapati mereka bersiap sedia. Tetapi ketahuilah kamu bahawa sekiranya tuan rumah mengetahui masa pencuri akan datang, dia tidak akan membiarkan rumahnya dipecah masuk. Oleh itu, kamu hendaklah bersedia kerana Anak Manusia akan datang pada suatu masa yang tidak kamu sangka.”