LUKAS 11:11-32

LUKAS 11:11-32 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Bapa yang manakah antara kamu akan memberikan ular kepada anaknya yang meminta ikan, atau memberikan kala jengking kalau dipintanya telur? Kamu yang berdosa pun tahu memberikan yang baik kepada anakmu. Lebih-lebih lagi Bapamu yang di syurga: Dia akan memberikan Roh Kudus kepada mereka yang meminta daripada-Nya!” Yesus menghalau roh iblis daripada seorang yang bisu. Setelah roh itu keluar, orang bisu itu pun mula bercakap. Orang ramai pun tercengang. Tetapi ada orang yang berkata, “Dia menghalau roh-roh iblis dengan kuasa Beelzebul, ketua roh iblis.” Orang lain menduga-Nya dengan meminta suatu tanda dari syurga. Yesus mengetahui isi hati mereka lalu berkata, “Kerajaan yang berpecah belah tidak akan tahan lama, dan keluarga yang berpecah belah akan hancur. Jika Iblis berpecah belah sesama sendiri, bagaimanakah kerajaannya dapat bertahan? Kamu berkata bahawa Aku menghalau roh-roh iblis dengan kuasa Beelzebul. Tetapi jika Aku menghalau roh-roh iblis dengan kuasa Beelzebul, maka dengan kuasa siapakah pula pengikut-pengikutmu menghalau roh-roh iblis? Oleh itu, merekalah yang akan menjadi hakimmu. Tetapi jika Aku menghalau roh-roh iblis dengan kuasa Allah, maka sesungguhnya kerajaan Allah sudah bertapak dalam kalanganmu. Apabila seorang yang gagah dan bersenjata lengkap mengawal rumahnya, harta bendanya selamat; tetapi apabila seorang yang lebih gagah menyerang dan mengalahkannya, yang lebih gagah itu akan merampas segala senjata yang diperlukan oleh tuan rumah itu lalu membahagikan harta yang dirampasnya. Orang yang tidak berpihak kepada-Ku menentang-Ku; dan orang yang tidak mengumpulkan bersama-Ku mencerai-beraikan.” “Apabila roh jahat keluar daripada seseorang, roh itu akan menjelajahi kawasan yang tandus untuk mencari tempat berehat. Sekiranya tempat itu tidak ditemukannya, roh itu berkata, ‘Aku akan pulang ke rumah yang telah kutinggalkan.’ Roh itu pun pulang dan mendapati rumah itu bersih dan kemas. Roh itu lalu pergi memanggil tujuh roh lain yang lebih durjana daripadanya. Semuanya memasuki tubuh orang itu dan menetap di situ. Akhirnya keadaan orang itu lebih teruk daripada dahulu.” Setelah Yesus berkata demikian, seorang perempuan antara orang ramai itu berkata, “Diberkatilah perempuan yang melahirkan dan menyusui Engkau.” Tetapi Yesus berkata, “Bahkan lebih diberkati lagi orang yang mendengar firman Allah dan mematuhinya.” Semasa orang ramai mengerumuni Yesus, Dia berkata, “Betapa durjananya orang zaman ini! Mereka meminta tanda mukjizat daripada Allah tetapi satu tanda pun tidak akan ditunjukkan kecuali tanda Yunus kerana seperti Yunus telah menjadi tanda kepada orang Niniwe, demikian juga Anak Manusia menjadi tanda kepada orang zaman ini. Pada hari penghakiman, Ratu Syeba dari Selatan akan bangkit bersama orang dari zaman ini dan menuduh mereka pula, kerana dia telah datang dari hujung bumi untuk mendengar hikmah Raja Salomo; dan sekarang di sini ada yang lebih besar daripada Raja Salomo. Pada hari penghakiman, orang Niniwe akan bangkit bersama orang zaman ini dan menuduhnya pula kerana orang Niniwe itu bertaubat apabila mendengar perkhabaran Yunus; dan sekarang di sini ada yang lebih besar daripada Yunus.”

LUKAS 11:11-32 Alkitab Berita Baik (BM)

Siapakah antara kamu selaku bapa akan memberikan ular kepada anaknya ketika dia meminta ikan? Atau adakah kamu akan memberikan kala jengking ketika dia meminta telur? Walaupun kamu jahat, kamu tahu memberikan apa yang baik kepada anak-anak kamu, lebih-lebih lagi Bapa yang di syurga! Dia akan memberikan Roh-Nya kepada mereka yang meminta daripada Bapa!” Pada suatu hari Yesus mengusir roh jahat daripada seorang bisu. Setelah roh jahat itu keluar, orang itu mula bercakap. Orang ramai hairan, tetapi ada beberapa orang yang berkata, “Beelzebul, ketua semua roh jahat telah memberikan kuasa kepada Yesus untuk mengusir roh jahat.” Ada juga orang lain yang hendak memerangkap Yesus. Mereka meminta Yesus melakukan mukjizat untuk membuktikan bahawa Dia datang daripada Allah. Tetapi Yesus mengetahui apa yang difikirkan mereka. Lalu Dia berkata kepada mereka, “Negeri yang berpecah menjadi beberapa bahagian lalu saling bermusuhan, tidak akan tahan lama. Keluarga yang berpecah belah dan saling berlawanan akan hancur. Jika kerajaan Iblis mempunyai golongan yang saling berlawanan, bagaimanakah kerajaan itu dapat bertahan? Kamu berkata Aku mengusir roh jahat kerana Aku diberi kuasa oleh Beelzebul. Jika demikian, siapakah yang memberikan kuasa kepada pengikut kamu untuk mengusir roh jahat? Pengikut kamu sendiri membuktikan bahawa pendapat kamu itu salah! Aku mengusir roh jahat dengan kuasa Allah dan hal ini membuktikan bahawa Allah sudah mula memerintah di tengah-tengah kamu. Apabila seorang kuat yang bersenjata lengkap, menjaga rumahnya sendiri, semua miliknya akan selamat. Tetapi jika seorang yang lebih kuat menyerang dan mengalahkan dia, orang itu akan merampas semua senjata yang digunakan pemilik itu, lalu membahagi-bahagikan apa yang dicurinya. Orang yang tidak berpihak kepada-Ku sebenarnya melawan Aku, dan orang yang tidak menolong Aku, sebenarnya merosakkan pekerjaan-Ku!” “Apabila roh jahat meninggalkan seseorang, roh itu menjelajah tempat yang kering untuk mencari tempat tinggal. Jika roh jahat itu tidak dapat menjumpai tempat tinggal, roh itu akan berkata, ‘Aku akan balik ke rumah yang telah aku tinggalkan.’ Ketika roh itu kembali, roh itu mendapati rumah itu bersih dan teratur. Lalu roh itu akan pergi memanggil tujuh roh jahat lain yang lebih jahat daripadanya. Kemudian semua roh itu akan memasuki orang itu lalu tinggal di situ. Akhirnya keadaan orang itu menjadi lebih buruk daripada dahulu.” Setelah Yesus berkata demikian, seorang wanita antara orang ramai itu berkata kepada Yesus, “Alangkah bahagianya wanita yang melahirkan dan menyusui kamu!” Tetapi Yesus menjawab, “Lebih bahagia lagi orang yang mendengar firman Allah dan melakukannya!” Ketika orang ramai mengerumuni Yesus, Dia berkata, “Alangkah jahatnya orang zaman ini! Mereka meminta mukjizat, tetapi tidak satu pun akan diberi kecuali mukjizat Nabi Yunus. Sebagaimana Nabi Yunus menjadi satu tanda bagi penduduk kota Niniwe, demikian juga Anak Manusia akan menjadi satu tanda bagi orang zaman ini. Pada Hari Pengadilan kelak, ratu dari Syeba akan bangkit lalu menuduh orang zaman ini. Ratu itu datang dari hujung bumi untuk mendengar ajaran yang bijak daripada Raja Salomo. Ketahuilah, di sini sekarang ada yang lebih besar daripada Raja Salomo! Pada Hari Pengadilan kelak, penduduk Niniwe akan bangkit lalu menuduh kamu, kerana mereka bertaubat daripada dosa ketika mendengar Yunus menyampaikan perkhabaran. Ketahuilah, di sini sekarang ada yang lebih besar daripada Yunus!”

LUKAS 11:11-32 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

Jikalau sa’orang anak kŭlak mŭminta roti kapada barang siapa deripada angkau, iya itu sa’orang bapa, ta’kan iya mŭmbri akan dia sa’buah batu? atau jikalau dipintanya sa’ekor ikan, ta’kan dibrinya ganti ikan itu sa’ekor ular? Atau jikalau kiranya dipintanya sa’biji tŭlor, ta’kan dibrinya sa’ekor kalajŭngking? Maka jikalau kiranya kamu yang jahat tahu bagimana mŭmbri pŭmbrian yang baik kapada anak anakmu, istimewa Ayahmu yang ada dishorga mŭmbri akan Roh Alkudus kapada orang yang mŭminta kapadanya. ¶ Maka Isa tŭlah mŭmbuangkan sa’orang hantu deri pada sa’orang kŭlu, maka skali pŭrstua apabila hantu itu tŭlah kluar, orang kŭlu itu pun bŭrkata katalah; maka kaum itu pun hieranlah. Tŭtapi kata sŭtŭngah marika itu, Iya mŭmbuangkan hantu itu kluar dŭngan kwasa Balzebab, pŭnghulu hantu itu. Maka lain lain orang mŭnchobai akan Isa mŭminta deripadanya suatu tandah deri langit. Tŭtapi dikŭtahuinya fikirannya, katanya kapada marika itu, Tiap tiap krajaan yang bŭrchŭdra sama sŭndirinya, iya itu akan binasa; dan sa’buah rumah bŭrchŭdra dŭngan sa’buah rumah, jatohlah iya. Jikalau Shietan itu pun bŭrchŭdra sama sŭndirinya, bagimanakah kŭlak bulih krajaannya bŭrdiri? Kŭrna kamu bŭrkata, aku tŭlah mŭmbuangkan hantu dŭngan kwasa Balzebab. Maka jikalau aku dŭngan kwasa Balzebab mŭmbuangkan hantu, maka dŭngan apa kŭlak anak anak kamu mŭmbuangkan dia? Sŭbab itu marika itulah mŭnjadi hakimmu. Tŭtapi jikalau aku dŭngan kwasa Allah mŭmbuangkan hantu, dapat tiada krajaan Allah itu sudah datang ka’atas kamu. Maka apabila sa’orang kuat yang bŭrsŭnjata mŭmliharakan mahaligienya, maka hartanya kŭlak akan slamat. Tŭtapi apabila sa’orang yang lebih kuat deripadanya akan datang kapadanya, sŭrta mŭngalahkan dia, maka diambilnya deripadanya sagala sŭnjatanya yang diharapnya, dan dibahgikannya tawanannya itu. Adapun orang yang tiada bŭrsama sama dŭngan aku, iya itu mŭlawan aku, dan orang yang tiada mŭngampongkan bŭrsama sama dŭngan aku, iya mŭnaborkan. Maka apabila sa’orang hantu itu kluar deripada sa’orang, dijalaninya sagala tŭmpat yang kring mŭnchari pŭrhŭntian, maka tiadalah didapatinya, lalu katanya, Aku akan kŭmbali karumahku yang tŭmpat aku kluar. Maka apabila iya datang, didapatinya akan dia tŭlah tŭrsapu dan bŭrhias. Sŭtlah itu pŭrgilah iya, dibawanya bŭrsama sama dŭngan dia tujoh hantu yang lain, yang tŭrlebih jahat deripadanya sŭndiri, maka masoklah marika itu kŭdalam tinggallah disana; adapun halnya manusia itu pada akhirnya tŭrlebih jahat deripada yang pŭrtama. ¶ Maka pada skali pŭrstua tŭngah Isa bŭrkata kata akan pŭrkara pŭrkara ini, maka sa’orang pŭrampuan anu deripada pŭrhimpunan itu pun mŭngangkatlah swaranya, lalu bŭrkata kapadanya, Slamatlah kiranya rahim yang tŭlah mŭngandongkan angkau, dan susu yang tŭlah angkau hisap itu. Tŭtapi kata Isa, Bahkan, tŭrlebih lagi slamatnya pada marika itu yang mŭnŭngar akan fŭrman Allah, sŭrta mŭmliharakan dia. ¶ Maka apabila orang orang itu bŭrkampong rapat bŭrsama sama, maka dimulainyalah bŭrkata, Inilah satu kŭturonan yang jahat, marika itu mŭnchari suatu tandah, maka tiadalah akan dibri tandah kapadanya, mŭlainkan tandah nabi Yunas. Kŭrna spŭrti Yunas tŭlah mŭnjadi suatu tandah kapada orang Ninevi, dŭmkianlah juga adanya Anak manusia pun jadi kapada kŭturonan ini. Maka pŭrmiesuri deri sŭlatan kŭlak akan bŭrbangkit pada hari kiamat dŭngan orang orang deripada kŭturonan ini, sŭrta disalahkannya kŭlak akan marika itu, kŭrna iya datang deri hujong bumi akan mŭnŭngar budi Sulieman; maka sŭsungguhnya sa’orang yang tŭrlebih bŭsar deripada Sulieman ada disini. Maka orang orang Ninevi kŭlak akan bŭrbangkit pada hari kiamat dŭngan kŭturonan ini, dan akan mŭnyalahkan dia, kŭrna marika itu tŭlah bŭrtaubatlah sŭbab pŭngajaran Yunas; maka sŭsungguhnya sa’orang tŭrlebih bŭsar deripada Yunas ada disini.