Lukas 11:11-32

Lukas 11:11-32 AVB

Bapa yang manakah antara kamu akan memberikan ular kepada anaknya yang meminta ikan, atau memberikan kala jengking kalau dipintanya telur? Kamu yang berdosa pun tahu memberikan yang baik kepada anakmu. Lebih-lebih lagi Bapamu yang di syurga: Dia akan memberikan Roh Kudus kepada mereka yang meminta daripada-Nya!” Yesus menghalau roh iblis daripada seorang yang bisu. Setelah roh itu keluar, orang bisu itu pun mula bercakap. Orang ramai pun tercengang. Tetapi ada orang yang berkata, “Dia menghalau roh-roh iblis dengan kuasa Beelzebul, ketua roh iblis.” Orang lain menduga-Nya dengan meminta suatu tanda dari syurga. Yesus mengetahui isi hati mereka lalu berkata, “Kerajaan yang berpecah belah tidak akan tahan lama, dan keluarga yang berpecah belah akan hancur. Jika Iblis berpecah belah sesama sendiri, bagaimanakah kerajaannya dapat bertahan? Kamu berkata bahawa Aku menghalau roh-roh iblis dengan kuasa Beelzebul. Tetapi jika Aku menghalau roh-roh iblis dengan kuasa Beelzebul, maka dengan kuasa siapakah pula pengikut-pengikutmu menghalau roh-roh iblis? Oleh itu, merekalah yang akan menjadi hakimmu. Tetapi jika Aku menghalau roh-roh iblis dengan kuasa Allah, maka sesungguhnya kerajaan Allah sudah bertapak dalam kalanganmu. Apabila seorang yang gagah dan bersenjata lengkap mengawal rumahnya, harta bendanya selamat; tetapi apabila seorang yang lebih gagah menyerang dan mengalahkannya, yang lebih gagah itu akan merampas segala senjata yang diperlukan oleh tuan rumah itu lalu membahagikan harta yang dirampasnya. Orang yang tidak berpihak kepada-Ku menentang-Ku; dan orang yang tidak mengumpulkan bersama-Ku mencerai-beraikan.” “Apabila roh jahat keluar daripada seseorang, roh itu akan menjelajahi kawasan yang tandus untuk mencari tempat berehat. Sekiranya tempat itu tidak ditemukannya, roh itu berkata, ‘Aku akan pulang ke rumah yang telah kutinggalkan.’ Roh itu pun pulang dan mendapati rumah itu bersih dan kemas. Roh itu lalu pergi memanggil tujuh roh lain yang lebih durjana daripadanya. Semuanya memasuki tubuh orang itu dan menetap di situ. Akhirnya keadaan orang itu lebih teruk daripada dahulu.” Setelah Yesus berkata demikian, seorang perempuan antara orang ramai itu berkata, “Diberkatilah perempuan yang melahirkan dan menyusui Engkau.” Tetapi Yesus berkata, “Bahkan lebih diberkati lagi orang yang mendengar firman Allah dan mematuhinya.” Semasa orang ramai mengerumuni Yesus, Dia berkata, “Betapa durjananya orang zaman ini! Mereka meminta tanda mukjizat daripada Allah tetapi satu tanda pun tidak akan ditunjukkan kecuali tanda Yunus kerana seperti Yunus telah menjadi tanda kepada orang Niniwe, demikian juga Anak Manusia menjadi tanda kepada orang zaman ini. Pada hari penghakiman, Ratu Syeba dari Selatan akan bangkit bersama orang dari zaman ini dan menuduh mereka pula, kerana dia telah datang dari hujung bumi untuk mendengar hikmah Raja Salomo; dan sekarang di sini ada yang lebih besar daripada Raja Salomo. Pada hari penghakiman, orang Niniwe akan bangkit bersama orang zaman ini dan menuduhnya pula kerana orang Niniwe itu bertaubat apabila mendengar perkhabaran Yunus; dan sekarang di sini ada yang lebih besar daripada Yunus.”

Pelan Bacaan dan Renungan percuma yang berkaitan dengan Lukas 11:11-32