LUKAS 1:46-56
LUKAS 1:46-56 Alkitab Berita Baik (BM)
Maria berkata, “Hatiku menyanjung Tuhan; jiwaku bersukacita kerana Allah, Penyelamatku, Dia ingat akan daku, hamba-Nya yang hina! Mulai sekarang semua orang akan mengatakan aku berbahagia, kerana Allah Maha Kuasa sudah melakukan perkara yang besar untukku. Sucilah nama-Nya. Dia merahmati orang yang menghormati-Nya, keturunan demi keturunan. Dengan tangan-Nya yang berkuasa Dia mencerai-beraikan mereka yang sombong, dan mengacaukan rancangan mereka. Dia menurunkan raja dari takhta lalu meninggikan orang hina. Dia memuaskan orang lapar dengan segala yang baik, tetapi orang kaya diusir-Nya sehingga pergi dengan berhampa tangan. Dia menepati janji-Nya kepada nenek moyang kita; Dia datang untuk menyelamatkan Israel hamba-Nya. Dia tidak lupa merahmati Abraham dan keturunannya selama-lamanya!” Maria tinggal dengan Elisabet kira-kira tiga bulan lamanya, lalu pulang ke rumah.
LUKAS 1:46-56 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Maka kata Mŭriam, Bahwa jiwaku adalah mŭmuliakan Tuhan itu. Maka adalah rohku bŭrsuka suka akan Allah Pŭnulongku. Kŭrna iya tŭlah mŭngindahkan karŭndahan dayangnya, kŭrna sŭsungguhnya deripada masa ini sagala kŭturonan kŭlak akan mŭnyŭbut aku slamat. Kŭrna iya yang ada bŭrkwasa tŭlah mŭngadakan bagieku pŭrkara pŭrkara yang bŭsar, maka suchi adanya namanya. Kasihannya ada atas barang siapa yang takot akan dia deripada kŭturonannya kapada kŭturonannya. Iya tŭlah mŭnunjokkan gagahnya dŭngan tangannya; iya tŭlah mŭnaborkan orang orang chongkak itu dalam sangka sangka hatinya. Iya tŭlah mŭnuronkan akan orang yang bŭrkwasa itu deripada kŭdudokannya, dan mŭninggikan orang yang rŭndah halnya itu. Iya tŭlah mŭmŭnohi akan orang yang lapar itu dŭngan pŭrkara yang baik baik, dan yang kaya itu iya tŭlah mŭnghalaukan dŭngan kosongnya. Iya tŭlah mŭnulong hambanya Israil dŭngan pŭringatan akan kasihannya. Spŭrti iya bŭrkata kapada nenek moyang kami kapada Ibrahim, dan kapada kŭturonannya slama lamanya. ¶ Maka Mŭriam pun tinggallah dŭngan Ilisabeth itu kira kira tiga bulan, maka kŭmbalilah karumahnya sŭndiri.
LUKAS 1:46-56 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Maria berkata, “Jiwaku meninggikan Tuhan; rohku bergembira kerana Allah, Penyelamatku, kerana Dia mengingati hamba-Nya yang hina. Dari sekarang hingga selama-lamanya, orang akan berkata aku diberkati, kerana Yang Maha Kuasa telah melakukan perkara yang besar untuk aku. Sucilah Nama-Nya. Dia mengasihani mereka yang takut akan Dia, daripada satu keturunan kepada satu keturunan yang lain. Dia telah menunjukkan kekuatan tangan-Nya; Dia telah mencerai-beraikan mereka yang berhati bongkak dalam pemikiran mereka. Dia telah menurunkan raja-raja daripada takhta mereka dan mengangkat tinggi orang yang hina; Dia telah memuaskan orang yang lapar dengan segala yang baik tetapi orang kaya dihalau pergi dengan tangan kosong. Dia menolong bangsa Israel, hamba-Nya kerana Dia ingat akan belas kasihan-Nya yang dijanjikan kepada nenek moyang kita Abraham dan semua keturunannya untuk selama-lamanya.” Maria tinggal bersama Elisabet selama tiga bulan. Selepas itu, dia pulang ke rumahnya.