LUKAS 1:26-44

LUKAS 1:26-44 Alkitab Berita Baik (BM)

Setelah Elisabet mengandung enam bulan, Allah mengutus malaikat Gabriel ke Nasaret, sebuah kota di negeri Galilea. Gabriel membawa berita untuk seorang gadis bernama Maria. Dia telah bertunang dengan seorang lelaki bernama Yusuf, keturunan Raja Daud. Malaikat itu datang kepada Maria dan berkata, “Salam sejahtera, hai engkau yang sangat diberkati oleh Tuhan! Tuhan menyertai engkau!” Maria gelisah mendengar kata-kata malaikat itu dan dia tertanya-tanya tentang makna salam itu. Malaikat itu berkata kepadanya, “Janganlah takut, Maria, kerana Allah berkenan kepada engkau. Engkau akan mengandung, lalu melahirkan seorang anak lelaki. Hendaklah engkau menamakan Dia Yesus. Dia akan menjadi agung dan akan disebut Anak Allah Yang Maha Tinggi. Tuhan Allah akan menjadikan Dia raja seperti Daud, nenek moyang-Nya. Dia akan memerintah sebagai raja keturunan Yakub untuk selama-lamanya. Kerajaan-Nya tidak akan berakhir.” Maria berkata kepada malaikat itu, “Aku masih dara. Bagaimanakah perkara ini boleh berlaku?” Malaikat itu menjawab, “Roh Allah akan datang kepadamu, dan kuasa Allah akan menaungi engkau. Itulah sebabnya Anak yang akan lahir itu disebut Suci, Anak Allah. Ketahuilah, sanakmu Elisabet yang dikatakan mandul, sudah mengandung enam bulan, walaupun umurnya sudah lanjut. Bagi Allah tiada perkara yang mustahil.” Maria berkata, “Aku hamba Tuhan; biarlah berlaku kepadaku seperti yang engkau katakan.” Lalu malaikat itu meninggalkan Maria. Tidak lama kemudian, Maria segera berangkat ke sebuah kota di Yudea, di kawasan pergunungan. Dia pergi ke rumah Zakharia lalu memberikan salam kepada Elisabet. Ketika Elisabet mendengar salam Maria, anak dalam kandungannya bergerak. Elisabet dikuasai oleh Roh Allah, lalu dia berseru, “Berbahagialah kamu antara semua wanita! Berbahagialah anak yang akan kamu lahirkan itu! Mengapakah penghormatan yang sebesar ini diberikan kepadaku, sehingga ibu Tuhanku datang melawat aku? Sebaik sahaja aku mendengar salammu, anak dalam kandunganku bergerak kerana bersukacita.

LUKAS 1:26-44 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

¶ Maka dalam anam bulan mŭliekat Jibrail dititahkan Allah kanŭgri Galilia, yang bŭrnama Nazareth: Kapada sa’orang anak darah yang sudah bŭrtunangan dŭngan sa’orang yang bŭrnama Yusof, kŭturonan Daud; adapun nama anak darah itu Mŭriam. Maka datanglah mŭliekat itu kapadanya, sŭrta katanya, Asalamu aliekom, angkau yang tŭlah mŭndapat kasihan yang maha bŭsar, Tuhan ada bŭsŭrta dŭngan dikau; bŭrbahgialah kiranya angkau diantara pŭrampuan pŭrampuan. Maka apabila dilihat Mŭriam akan dia, maka susahlah iya akan pŭrkataannya itu, maka masoklah dalam fikirannya, apakah macham sŭlam ini garangannya? Maka kata mŭliekat itu kapadanya, Janganlah takot Mŭriam, kŭrna angkau kŭlak akan mŭndapat kasihan deri pada Allah. Maka sŭsungguhnya angkau kŭlak akan mŭngandong dalam rahimmu, dan mŭmpranakkan sa’orang anak laki laki, akan dinamai iya ISA. Iya akan mŭnjadi bŭsar, dan akan dinamai anak yang maha tinggi, dan Allah Tuhan akan mŭmbri padanya takhta bapanya Daud: Maka iyalah kŭlak akan mŭmrentahkan atas sagala rumah Yakob sampie slama lamanya, maka krajaannya tiada akan bŭrsudahan. Sŭtlah itu kata Mŭriam kapada mŭliekat itu, Bagimanakah ini akan jadi, kŭrna aku tiada mŭngŭnal sa’orang pun laki laki? Maka jawab mŭliekat itu sŭrta bŭrkata kapadanya, Roh Alkudus itu akan datang ka’atasmu, dan kwasa deripada maha tinggi akan mŭnawangi dikau, maka sŭbab itulah juga bŭnda yang suchi itu yang angkau akan pranakkan, maka iya itu akan dinamai anak Allah. Maka sŭsungguhnya sa’pupumu Ilisabeth itu, iya pun ada mŭngandongkan sa’orang anak laki laki dalam umor tuanya, maka skarang iya sudah anam bulan yang dikatakan mandol: Kŭrna kapada Allah itu suatu pun tiada yang mustahil. Maka bŭrkatalah Mŭriam, Tengoklah sa’orang dayang Tuhan, jadilah bagieku spŭrti pŭrkataanmu. Maka mŭliekat itu pun kŭmbalilah deripadanya. Maka bangunlah Mŭriam pada masa itu dŭngan sŭgranya pŭrgi kanŭgri yang bŭrbukit bukit, kapada sa’buah nŭgri Yahuda: Maka masoklah iya kadalam rumah Zakaria, lalu mŭmbri sŭlamlah iya kapada Ilisabeth. Shahadan maka apabila didŭngar ulih Ilisabeth sŭlam Mŭriam itu, maka kanak kanak yang dalam rahimnya itu pun mŭlompat, maka Ilisabeth pun tŭlah pŭnohlah dŭngan Roh Alkudus. Maka iya pun bŭrkatalah dŭngan nyaring suaranya, katanya, Bŭrbahgialah angkau diantara pŭrampuan pŭrampuan, dan bŭrbahgialah adanya buah rahimmu itu. Maka bagimanakah garangannya kapadaku, iya itu ibu Tuhanku akan datang mŭndapatkan aku. Kŭrna sŭsungguhnya sŭrta bunyi sŭlammu itu bŭrbunyi katlingaku, kanak kanak itu pun mŭlompatlah dalam rahimku sŭbab suka chita.

LUKAS 1:26-44 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Dalam bulan yang keenam, malaikat Gabriel diutus Allah ke Nazaret, sebuah kota di jajahan Galilea, kepada seorang anak dara yang telah bertunang dengan seorang lelaki yang bernama Yusuf daripada keturunan Raja Daud. Nama anak dara itu ialah Maria. Malaikat itu datang kepadanya lalu berkata, “Salam kepadamu yang amat diredai! Tuhan bersamamu!” Hati Maria runsing mendengar kata-kata itu dan dia tertanya-tanya akan maksud salam tersebut. Seterusnya malaikat itu berkata kepadanya, “Janganlah takut, hai Maria, kerana engkau telah diredai Allah. Engkau akan hamil dan melahirkan seorang anak lelaki. Engkau hendaklah menamai-Nya Yesus. Dia akan menjadi mulia dan Dia akan digelar Anak Allah Yang Maha Tinggi. Tuhan Allah akan mengurniakan takhta Daud, nenek moyang-Nya itu kepada-Nya. Dia akan merajai keturunan Yakub selama-lamanya; dan kerajaan-Nya berkekalan.” Lalu Maria berkata kepada malaikat itu, “Bagaimanakah perkara ini dapat berlaku, sedangkan aku masih dara?” Malaikat itu menjawab, “Roh Kudus akan turun ke atasmu, dan kuasa Allah Yang Maha Tinggi akan menaungimu. Oleh itu, anak suci yang akan dilahirkan akan digelar Anak Allah. Tambahan pula, saudaramu Elisabet yang dahulu dikatakan mandul pun telah hamil enam bulan walaupun dia sudah tua. Sebabnya bagi Allah tidak ada yang mustahil.” Maria berkata, “Aku ini hamba Tuhan. Semoga terjadilah kepadaku seperti yang engkau katakan itu.” Lalu malaikat pun meninggalkannya. Setelah itu, Maria bersiap-siap dan bergegas pergi ke sebuah kota di kawasan pergunungan Yehuda. Dia masuk ke dalam rumah Zakharia dan memberi salam kepada Elisabet. Apabila Elisabet mendengar salam Maria, anak dalam kandungannya bergerak-gerak dan Elisabet dipenuhi Roh Kudus. Dia berseru, “Diberkatilah engkau antara kaum perempuan, dan diberkatilah juga kandunganmu itu. Siapakah aku ini sehingga ibu Tuhanku datang kepadaku? Apabila kudengar salammu, anak dalam kandunganku bergerak-gerak dengan kesukaan.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami