Lukas 1:26-44

Lukas 1:26-44 AVB

Dalam bulan yang keenam, malaikat Gabriel diutus Allah ke Nazaret, sebuah kota di jajahan Galilea, kepada seorang anak dara yang telah bertunang dengan seorang lelaki yang bernama Yusuf daripada keturunan Raja Daud. Nama anak dara itu ialah Maria. Malaikat itu datang kepadanya lalu berkata, “Salam kepadamu yang amat diredai! Tuhan bersamamu!” Hati Maria runsing mendengar kata-kata itu dan dia tertanya-tanya akan maksud salam tersebut. Seterusnya malaikat itu berkata kepadanya, “Janganlah takut, hai Maria, kerana engkau telah diredai Allah. Engkau akan hamil dan melahirkan seorang anak lelaki. Engkau hendaklah menamai-Nya Yesus. Dia akan menjadi mulia dan Dia akan digelar Anak Allah Yang Maha Tinggi. Tuhan Allah akan mengurniakan takhta Daud, nenek moyang-Nya itu kepada-Nya. Dia akan merajai keturunan Yakub selama-lamanya; dan kerajaan-Nya berkekalan.” Lalu Maria berkata kepada malaikat itu, “Bagaimanakah perkara ini dapat berlaku, sedangkan aku masih dara?” Malaikat itu menjawab, “Roh Kudus akan turun ke atasmu, dan kuasa Allah Yang Maha Tinggi akan menaungimu. Oleh itu, anak suci yang akan dilahirkan akan digelar Anak Allah. Tambahan pula, saudaramu Elisabet yang dahulu dikatakan mandul pun telah hamil enam bulan walaupun dia sudah tua. Sebabnya bagi Allah tidak ada yang mustahil.” Maria berkata, “Aku ini hamba Tuhan. Semoga terjadilah kepadaku seperti yang engkau katakan itu.” Lalu malaikat pun meninggalkannya. Setelah itu, Maria bersiap-siap dan bergegas pergi ke sebuah kota di kawasan pergunungan Yehuda. Dia masuk ke dalam rumah Zakharia dan memberi salam kepada Elisabet. Apabila Elisabet mendengar salam Maria, anak dalam kandungannya bergerak-gerak dan Elisabet dipenuhi Roh Kudus. Dia berseru, “Diberkatilah engkau antara kaum perempuan, dan diberkatilah juga kandunganmu itu. Siapakah aku ini sehingga ibu Tuhanku datang kepadaku? Apabila kudengar salammu, anak dalam kandunganku bergerak-gerak dengan kesukaan.