IMAMAT 16:2-20
IMAMAT 16:2-20 Alkitab Berita Baik (BM)
“Beritahulah Harun, abangmu itu, bahawa hanya pada waktu yang telah ditentukan, dia boleh pergi ke belakang tirai, ke dalam Bilik Maha Suci, kerana di situlah Aku menampakkan diri di dalam awan di atas penutup Tabut Perjanjian. Jika Harun melanggar perintah itu, dia akan mati. Dia boleh masuk ke dalam Bilik Maha Suci hanya sesudah dia membawa seekor lembu muda bagi korban untuk mengampunkan dosa dan seekor domba jantan bagi korban untuk menyenangkan hati TUHAN.” Kemudian Harun harus memperhatikan peraturan-peraturan yang berikut. Sebelum Harun masuk ke Bilik Maha Suci, dia harus mandi dan memakai pakaian imam: jubah, celana pendek, ikat pinggang, dan serban, yang semuanya dibuat daripada linen. Umat Israel harus memberikan dua ekor kambing jantan kepada Harun bagi korban untuk mengampunkan dosa, dan seekor domba jantan bagi korban untuk menyenangkan hati TUHAN. Dia harus mempersembahkan seekor lembu jantan sebagai korban untuk menghapuskan dosanya sendiri dan dosa keluarganya. Kemudian dia harus membawa dua ekor kambing itu ke pintu Khemah TUHAN. Di situ dia harus membuang undi dengan menggunakan dua biji batu: yang satu ditandai “Untuk TUHAN” dan yang satu lagi ditandai “Untuk Azazel.” Harun akan menyembelih kambing yang terpilih untuk TUHAN, lalu mempersembahkannya sebagai korban untuk mengampunkan dosa. Kambing yang dipilih untuk Azazel, harus dipersembahkan hidup-hidup kepada TUHAN, lalu dilepaskan ke padang gurun untuk Azazel supaya dosa umat Israel dihapuskan. Apabila Harun mempersembahkan lembu jantan itu sebagai korban untuk mengampunkan dosa bagi dirinya sendiri dan bagi keluarganya, dia harus membawa sebuah perbaraan yang penuh dengan bara api dari mazbah dan dua genggam kemenyan halus, lalu membawa semuanya ke dalam Bilik Maha Suci. Di sana, di hadapan Tabut Perjanjian, dia harus membakar kemenyan itu dan asap kemenyan itu akan menutupi penutup Tabut Perjanjian supaya Harun tidak nampak penutup itu; jika dia nampak penutup itu, dia akan mati. Dia harus mengambil sedikit darah lembu jantan itu, lalu dengan jarinya memercikkan darah itu di bahagian depan penutup Tabut Perjanjian dan tujuh kali di depan Tabut itu. Kemudian Harun harus menyembelih kambing itu sebagai korban untuk mengampunkan dosa bagi umat Israel. Dia harus membawa darah kambing itu ke dalam Bilik Maha Suci, lalu memercikkan darah itu di atas penutup Tabut Perjanjian dan di hadapan Tabut itu sebagaimana yang dilakukannya dengan darah lembu jantan itu. Dengan cara ini dia melakukan upacara untuk menyucikan Bilik Maha Suci daripada kenajisan umat Israel dan daripada segala dosa mereka. Dia mesti melakukan upacara ini bagi bahagian-bahagian lain Khemah TUHAN kerana Khemah itu ada di tengah-tengah perkhemahan yang najis. Tiada seorang pun boleh berada di dalam Khemah TUHAN, mulai dari saat Harun masuk ke dalam Bilik Maha Suci untuk melakukan upacara penyucian, sehingga dia keluar semula. Selepas dia melakukan upacara itu bagi dirinya sendiri, bagi keluarganya, dan bagi semua orang Israel, dia harus pergi ke mazbah tempat membakar korban untuk menyenangkan hati TUHAN, supaya menyucikan mazbah itu. Dia harus mengambil sedikit darah lembu jantan dan sedikit darah kambing, lalu menyapukan darah itu pada unjuran di sudut-sudut mazbah. Kemudian dengan jarinya dia harus memercikkan darah itu ke atas mazbah sebanyak tujuh kali. Dengan cara ini dia menyucikan mazbah itu daripada kenajisan umat Israel, dan menjadikan mazbah itu suci. Selepas Harun melakukan upacara penyucian bagi Bilik Maha Suci, bahagian-bahagian lain Khemah TUHAN dan mazbah, lalu kepada TUHAN dia harus mempersembahkan kambing jantan hidup yang dipilih bagi Azazel.
IMAMAT 16:2-20 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Demikianlah firman TUHAN kepada Musa, “Beritahu abangmu Harun agar jangan masuk pada sembarangan waktu ke dalam Tempat Suci di sebalik tabir, di hadapan penutup pendamaian yang ada di atas tabut, supaya jangan dia mati, kerana Aku menampakkan diri dalam awan di atas penutup pendamaian itu. Beginilah cara bagaimana Harun harus masuk ke dalam Tempat Suci: hendaklah dia membawa seekor lembu jantan muda sebagai korban penghapus dosa, dan seekor domba jantan sebagai korban bakaran. Hendaklah dia mengenakan tunik linen yang suci, menutupi auratnya dengan seluar pendek linen dan selempang linen membaluti dirinya serta dengan memakai serban linen. Itulah seperanggu pakaian suci yang perlu dipakainya. Sebelum mengenakan kesemua itu hendaklah dia memandikan tubuhnya dengan air. Hendaklah dia mengambil dua ekor kambing jantan daripada jemaah Israel sebagai korban penghapus dosa dan seekor domba jantan sebagai korban bakaran. Hendaklah Harun mempersembahkan lembu jantan bagi dirinya sendiri untuk dijadikan korban penghapus dosa, untuk mengadakan pendamaian demi dirinya serta demi keluarganya. Setelah itu, hendaklah dia mengambil kedua-dua ekor kambing jantan tadi lalu menempatkannya di hadapan TUHAN, di depan pintu Khemah Pertemuan. Hendaklah Harun mencabut undi atas kedua-dua ekor kambing jantan itu, satu undi bagi TUHAN dan satu undi lagi bagi Azazel maka hendaklah Harun mempersembahkan kambing jantan yang terundi untuk TUHAN dan menyediakannya sebagai korban penghapus dosa. Akan tetapi, kambing jantan yang terundi bagi Azazel hendaklah ditempatkan hidup-hidup di hadapan TUHAN untuk upacara pendamaian, lalu dilepaskan ke gurun untuk Azazel. Untuk dirinya, hendaklah Harun mempersembahkan lembu jantan yang akan dijadikan korban penghapus dosa, untuk kemudian mengadakan pendamaian bagi dirinya serta demi keluarganya. Hendaklah lembu jantan itu disembelihnya sebagai korban penghapus dosa bagi dirinya. Hendaklah dia mengambil pendupaan yang dipenuhi bara api daripada mazbah di hadapan TUHAN serta segenggam penuh dupa harum yang ditumbuk halus, lalu membawanya masuk ke balik tabir. Dupa itu hendaklah diletakkannya di atas api di hadapan TUHAN, sehingga asap dupa itu menyelubungi penutup pendamaian yang ada di atas tabut loh hukum supaya dia tidak mati. Hendaklah dia mengambil sebahagian daripada darah lembu jantan itu lalu memercikkannya dengan jarinya ke atas penutup pendamaian itu di sebelah timur dan sebahagian lagi daripada darah itu dipercikkannya di bahagian depan penutup pendamaian itu sebanyak tujuh kali dengan jarinya. Selanjutnya, hendaklah dia menyembelih kambing jantan yang dijadikan korban penghapus dosa bagi umat, lalu membawa darahnya masuk ke balik tabir. Hendaklah darah itu diperlakukan sebagaimana yang dibuat pada darah lembu jantan tadi, iaitu memercikkannya ke sebelah atas serta ke sebelah depan penutup pendamaian. Hendaklah dia mengadakan pendamaian demi Tempat Suci atas sebab kenajisan orang Israel dan kerana segala pelanggaran mereka yang berkaitan, apa-apa pun dosa mereka. Demikianlah harus diperlakukannya ke atas Khemah Pertemuan yang ada bersama-sama mereka di tengah-tengah kenajisan mereka. Tiada seorang pun boleh berada dalam Khemah Pertemuan ketika Harun masuk untuk mengadakan pendamaian di Tempat Suci, sampai dia keluar sesudah selesai mengadakan pendamaian demi dirinya, demi keluarganya, dan demi seluruh kalangan umat Israel. Kemudian hendaklah dia keluar menuju mazbah yang ada di hadapan TUHAN, lalu mengadakan pendamaian demi mazbah itu. Hendaklah dia mengambil sebahagian daripada darah lembu jantan dan daripada darah kambing jantan itu, lalu membubuhnya pada tanduk-tanduk di sekeliling mazbah. Sebahagian daripada darah itu hendaklah dipercikkannya sebanyak tujuh kali dengan jarinya ke mazbah. Demikianlah cara mazbah disucikan daripada kenajisan orang Israel. Setelah selesai mengadakan pendamaian demi Tempat Suci, demi Khemah Pertemuan, dan demi mazbah, hendaklah Harun mempersembahkan kambing jantan yang hidup.