Demikianlah firman TUHAN kepada Musa, “Beritahu abangmu Harun agar jangan masuk pada sembarangan waktu ke dalam Tempat Suci di sebalik tabir, di hadapan penutup pendamaian yang ada di atas tabut, supaya jangan dia mati, kerana Aku menampakkan diri dalam awan di atas penutup pendamaian itu. Beginilah cara bagaimana Harun harus masuk ke dalam Tempat Suci: hendaklah dia membawa seekor lembu jantan muda sebagai korban penghapus dosa, dan seekor domba jantan sebagai korban bakaran.
Hendaklah dia mengenakan tunik linen yang suci, menutupi auratnya dengan seluar pendek linen dan selempang linen membaluti dirinya serta dengan memakai serban linen. Itulah seperanggu pakaian suci yang perlu dipakainya. Sebelum mengenakan kesemua itu hendaklah dia memandikan tubuhnya dengan air.
Hendaklah dia mengambil dua ekor kambing jantan daripada jemaah Israel sebagai korban penghapus dosa dan seekor domba jantan sebagai korban bakaran. Hendaklah Harun mempersembahkan lembu jantan bagi dirinya sendiri untuk dijadikan korban penghapus dosa, untuk mengadakan pendamaian demi dirinya serta demi keluarganya. Setelah itu, hendaklah dia mengambil kedua-dua ekor kambing jantan tadi lalu menempatkannya di hadapan TUHAN, di depan pintu Khemah Pertemuan. Hendaklah Harun mencabut undi atas kedua-dua ekor kambing jantan itu, satu undi bagi TUHAN dan satu undi lagi bagi Azazel maka hendaklah Harun mempersembahkan kambing jantan yang terundi untuk TUHAN dan menyediakannya sebagai korban penghapus dosa. Akan tetapi, kambing jantan yang terundi bagi Azazel hendaklah ditempatkan hidup-hidup di hadapan TUHAN untuk upacara pendamaian, lalu dilepaskan ke gurun untuk Azazel.
Untuk dirinya, hendaklah Harun mempersembahkan lembu jantan yang akan dijadikan korban penghapus dosa, untuk kemudian mengadakan pendamaian bagi dirinya serta demi keluarganya. Hendaklah lembu jantan itu disembelihnya sebagai korban penghapus dosa bagi dirinya. Hendaklah dia mengambil pendupaan yang dipenuhi bara api daripada mazbah di hadapan TUHAN serta segenggam penuh dupa harum yang ditumbuk halus, lalu membawanya masuk ke balik tabir. Dupa itu hendaklah diletakkannya di atas api di hadapan TUHAN, sehingga asap dupa itu menyelubungi penutup pendamaian yang ada di atas tabut loh hukum supaya dia tidak mati. Hendaklah dia mengambil sebahagian daripada darah lembu jantan itu lalu memercikkannya dengan jarinya ke atas penutup pendamaian itu di sebelah timur dan sebahagian lagi daripada darah itu dipercikkannya di bahagian depan penutup pendamaian itu sebanyak tujuh kali dengan jarinya.
Selanjutnya, hendaklah dia menyembelih kambing jantan yang dijadikan korban penghapus dosa bagi umat, lalu membawa darahnya masuk ke balik tabir. Hendaklah darah itu diperlakukan sebagaimana yang dibuat pada darah lembu jantan tadi, iaitu memercikkannya ke sebelah atas serta ke sebelah depan penutup pendamaian. Hendaklah dia mengadakan pendamaian demi Tempat Suci atas sebab kenajisan orang Israel dan kerana segala pelanggaran mereka yang berkaitan, apa-apa pun dosa mereka. Demikianlah harus diperlakukannya ke atas Khemah Pertemuan yang ada bersama-sama mereka di tengah-tengah kenajisan mereka. Tiada seorang pun boleh berada dalam Khemah Pertemuan ketika Harun masuk untuk mengadakan pendamaian di Tempat Suci, sampai dia keluar sesudah selesai mengadakan pendamaian demi dirinya, demi keluarganya, dan demi seluruh kalangan umat Israel. Kemudian hendaklah dia keluar menuju mazbah yang ada di hadapan TUHAN, lalu mengadakan pendamaian demi mazbah itu. Hendaklah dia mengambil sebahagian daripada darah lembu jantan dan daripada darah kambing jantan itu, lalu membubuhnya pada tanduk-tanduk di sekeliling mazbah. Sebahagian daripada darah itu hendaklah dipercikkannya sebanyak tujuh kali dengan jarinya ke mazbah. Demikianlah cara mazbah disucikan daripada kenajisan orang Israel.
Setelah selesai mengadakan pendamaian demi Tempat Suci, demi Khemah Pertemuan, dan demi mazbah, hendaklah Harun mempersembahkan kambing jantan yang hidup.