RATAPAN 1:1,12-13,16-20
RATAPAN 1:1 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Betapa sunyinya kota itu, yang dahulu ramai penduduknya! Kini kota itu bagaikan seorang balu, padahal dahulu besar dalam kalangan bangsa! Ratu antara wilayah itu kini menjadi buruh paksa!
Ratapan 1:12-13 Alkitab Versi Borneo (AVB)
“Hai kamu semua yang lalu-lalang, tidakkah kamu peduli? Pandanglah dan lihatlah! Adakah derita seperti derita yang ditimpakan kepadaku, dibiarkan TUHAN demi mendukakan aku pada waktu kemurkaan-Nya menyala-nyala? Dari tempat tinggi dilepaskan-Nya api masuk ke dalam tulang-temulang aku. Dibentangkan-Nya jaring bagi kakiku, dibuat-Nya aku mundur, Dia membuat aku tertegun, lemah sepanjang hari.
Ratapan 1:16-20 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Kerana hal-hal inilah aku menangis; mataku, ya, mataku mencucurkan air. Penghibur yang dapat memulihkan jiwaku jauh daripadaku. Anak-anakku binasa kerana musuh telah menang.” Sion menjangkau tangan, tetapi tiada sesiapa yang menenangkan hatinya. Bagi Yakub TUHAN telah menetapkan betapa para jirannya menjadi para lawannya. Yerusalem menjadi sesuatu yang cemar antara mereka itu. “TUHAN itulah yang benar; aku telah menderhaka terhadap firman-Nya. Dengarlah kiranya, wahai segala bangsa, dan lihatlah penderitaanku. Para perawanku dan para pemudaku pergi sebagai tawanan. Aku memanggil para kekasihku, tetapi mereka memperdaya aku. Para imamku dan para tua-tuaku kehilangan nyawa di kota ketika mereka mencari makanan untuk bertahan hidup. Lihatlah, ya TUHAN, betapa sesaknya aku! Perutku seperti dipulas-pulas, hatiku digodak-godak di dalam dadaku kerana aku sudah sangat menderhaka. Di luar, pedang membawa hiba, di dalam, serasa ada maut.
RATAPAN 1:1 Alkitab Berita Baik (BM)
Alangkah sunyinya Yerusalem, yang dahulu penuh dengan penduduk! Dahulu kota itu dihormati di seluruh dunia, tetapi sekarang seperti balu. Kota yang termulia di bumi telah dijadikan hamba.
RATAPAN 1:12-13 Alkitab Berita Baik (BM)
“Pandanglah aku,” serunya kepada setiap orang yang lalu di situ. “Belum pernah sesiapa pun menderita seperti aku, penderitaan yang didatangkan oleh TUHAN kepadaku kerana kemurkaan-Nya. Dia menurunkan api dari langit, api yang membakar dalam diriku. Dia memasang perangkap bagiku dan menjatuhkan aku ke tanah. Lalu Dia membiarkan aku seorang diri menderita sepanjang hari.
RATAPAN 1:16-20 Alkitab Berita Baik (BM)
Itulah sebabnya air mataku bercucuran. Tiada sesiapa pun dapat menghibur aku, ataupun menguatkan hatiku. Musuh telah mengalahkan aku; pendudukku telah kehilangan segala sesuatu. Aku menghulurkan tangan, tetapi tiada sesiapa menolong aku. TUHAN mengirim musuh dari segala arah untuk memerangi aku. Mereka memperlakukan aku seperti najis. Namun TUHAN adil kerana aku telah melanggar perintah-Nya. Dengarkan aku, hai semua bangsa, pandanglah aku yang kesakitan. Para pemuda dan pemudiku ditawan dan dibawa pergi. Aku memanggil sekutuku, tetapi mereka tidak mahu menolong aku. Para imam dan pemimpin mati di jalan-jalan kota, ketika mencari makanan untuk terus hidup. Ya TUHAN, lihatlah kesengsaraanku dan penderitaan batinku. Hatiku hancur kerana dosaku dahulu. Pembunuhan berlaku di jalan raya, bahkan di dalam rumah pun kematian berlaku.