Ratapan 1

1
Keruntuhan dan kesunyian Yerusalem
1 # Bar 4:12. Betapa sunyinya kota itu,
yang dahulu ramai penduduknya!
Kini kota itu bagaikan seorang balu,
padahal dahulu besar dalam kalangan bangsa!
Ratu antara wilayah itu
kini menjadi buruh paksa!
2Sedu-sedan tangisannya pada malam hari,
air matanya meleleh di pipi.
Di antara semua kekasihnya,
tiada seorang pun yang menghibur dirinya.
Semua sahabatnya mengkhianatinya,
mereka kini menjadi musuhnya.
3Yehuda kini dalam pembuangan
kerana kesusahan dan perhambaan yang berat.
Tinggalnya kini dalam kalangan bangsa,
tetapi tidak mendapat ketenteraman.
Semua yang mengejarnya berjaya memintasnya
di tengah-tengah kesesakannya.
4Berdukacitalah jalan-jalan menuju Sion
kerana tiada seorang pun yang datang menghadiri perayaan.
Sunyilah kesemua pintu gerbangnya,
para imamnya berkeluh-kesah,
para perawannya berhiba,
dan hatinya sendiri begitu getir.
5Para lawannya menjadi pemimpin,
para musuhnya makmur dan maju
kerana TUHAN membuat dia berdukacita
atas sebab segala pelanggarannya.
Kanak-kanaknya sudah pergi sebagai tawanan di hadapan lawan.
6Hilanglah daripada puteri Sion segala kebesarannya.
Para penguasanya bak rusa
yang tidak menemukan padang ragut lantas berjalan tanpa tenaga
di hadapan pihak yang mengejarnya.
7Pada masa kesusahannya dan pengembaraannya,
teringatlah Yerusalem akan segala barang berharga
yang dimilikinya sejak zaman dahulu.
Ketika penduduknya jatuh ke tangan musuh,
tiada seorang pun yang membantunya.
Para lawannya memandangnya
dan mentertawakan kehancurannya.
8Yerusalem berdosa besar,
dan sebab itu menjadi cemar.
Semua yang dahulu menghormatinya kini memandang hina,
setelah mereka melihat ketelanjangannya.
Berkeluh-kesahlah ia serta memalingkan wajah kerana malu.
9Kenajisannya melekat pada hujung pakaiannya,
ia tidak memikirkan akibat segala dosanya.
Kejatuhannya sangat menggemparkan,
tiada seorang pun yang menghiburnya.
“Ya TUHAN, pandanglah kesusahanku,
kerana musuh telah memegahkan diri.”
10Pihak lawan menjangkau tangan
meraup segala barangnya yang berharga.
Dilihatnya bangsa-bangsa
masuk ke tempat sucinya,
padahal Engkau melarang mereka
memasuki jemaah-Mu.
11Seluruh penduduknya berkeluh-kesah
sambil mencari makanan.
Mereka menukar khazanah mereka yang berharga dengan makanan untuk bertahan hidup.
“Lihatlah, ya TUHAN, pandanglah,
betapa aku terhina!”
12“Hai kamu semua yang lalu-lalang, tidakkah kamu peduli?
Pandanglah dan lihatlah!
Adakah derita seperti derita
yang ditimpakan kepadaku,
dibiarkan TUHAN demi mendukakan aku pada waktu kemurkaan-Nya menyala-nyala?
13Dari tempat tinggi dilepaskan-Nya api masuk ke dalam tulang-temulang aku.
Dibentangkan-Nya jaring bagi kakiku,
dibuat-Nya aku mundur,
Dia membuat aku tertegun,
lemah sepanjang hari.
14Terikatlah pelanggaranku menjadi kuk,
yang dijalin dengan tangan-Nya,
lalu dikenakan pada tengkukku
sehingga gugurlah kekuatanku.
Tuhan menyerahkan aku ke dalam tangan orang yang tidak dapat kulawan.
15Tuhan menolak semua orang perkasa
yang ada dalam kalanganku.
Dikerahkan-Nya pasukan melawan aku untuk membinasakan para pemudaku.
Tuhan menginjak-injak para perawan, iaitu puteri Yehuda,
seperti di tempat pemerasan anggur.
16Kerana hal-hal inilah aku menangis;
mataku, ya, mataku mencucurkan air.
Penghibur yang dapat memulihkan jiwaku jauh daripadaku.
Anak-anakku binasa
kerana musuh telah menang.”
17Sion menjangkau tangan,
tetapi tiada sesiapa yang menenangkan hatinya.
Bagi Yakub TUHAN telah menetapkan
betapa para jirannya menjadi para lawannya.
Yerusalem menjadi sesuatu yang cemar antara mereka itu.
18“TUHAN itulah yang benar;
aku telah menderhaka terhadap firman-Nya.
Dengarlah kiranya, wahai segala bangsa, dan lihatlah penderitaanku.
Para perawanku dan para pemudaku pergi sebagai tawanan.
19Aku memanggil para kekasihku,
tetapi mereka memperdaya aku.
Para imamku dan para tua-tuaku kehilangan nyawa di kota
ketika mereka mencari makanan
untuk bertahan hidup.
20Lihatlah, ya TUHAN, betapa sesaknya aku!
Perutku seperti dipulas-pulas,
hatiku digodak-godak di dalam dadaku kerana aku sudah sangat menderhaka.
Di luar, pedang membawa hiba,
di dalam, serasa ada maut.
21Mereka mendengar keluh-kesahku,
tetapi tiada sesiapa yang menenangkan hatiku.
Semua musuhku mendengar fasal geruhku,
girang mereka kerana Engkau yang menimpakannya.
Datangkanlah hari yang telah Kaumaklumkan itu,
sehingga mereka menjadi seperti aku.
22Biarlah segala kejahatan mereka sampai ke hadirat-Mu.
Perlakukanlah mereka seperti Engkau memperlakukan aku sehubungan dengan segala pelanggaranku.
Sungguh, keluh-kesahku banyak dan hatiku lemah.”

Terpilih Sekarang Ini:

Ratapan 1: AVB

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk