YOSUA 7:11-26

YOSUA 7:11-26 Alkitab Berita Baik (BM)

Umat Israel telah berdosa! Mereka melanggar perjanjian yang Aku suruh mereka pegang. Mereka telah mengambil sebahagian daripada barang-barang yang sepatutnya dimusnahkan. Mereka mencuri barang-barang itu lalu berdusta pula. Mereka menyimpannya bersama dengan barang-barang mereka sendiri. Itulah sebabnya orang Israel tidak dapat melawan musuh. Mereka terpaksa mundur kerana mereka sendiri telah dijatuhi hukuman untuk dibinasakan. Aku tidak akan menyertai kamu lagi kecuali kamu memusnahkan barang-barang yang tidak sepatutnya kamu simpan. Bangunlah! Sucikanlah umat dan suruhlah mereka bersedia menghadap Aku. Suruhlah mereka bersedia menghadap Aku esok kerana Aku, TUHAN dan Allah umat Israel berfirman, ‘Hai orang Israel, ada pada kamu sebahagian barang yang sepatutnya dimusnahkan menurut perintah-Ku. Kamu tidak dapat mengalahkan musuh sebelum kamu membuang barang-barang itu.’ Oleh itu beritahulah mereka bahawa pada pagi esok mereka akan dihadapkan kepada-Ku, suku demi suku. Suku yang Aku tunjuk akan tampil, puak demi puak. Puak yang Aku tunjuk akan tampil, keluarga demi keluarga. Keluarga yang Aku tunjuk akan tampil, seorang demi seorang. Orang yang didapati menyimpan barang-barang terlarang itu akan dibakar, bersama-sama keluarganya dan segala miliknya kerana dia telah mempermalukan Israel dan melanggar perjanjian-Ku.” Keesokan harinya, Yosua bangun pagi-pagi dan menghadapkan orang Israel kepada TUHAN, suku demi suku, lalu suku Yehuda yang ditunjuk. Yosua menghadapkan suku Yehuda, puak demi puak, lalu puak Zerah yang ditunjuk. Kemudian dia menghadapkan puak Zerah, keluarga demi keluarga, lalu keluarga Zabdi yang ditunjuk. Kemudian Yosua menghadapkan keluarga Zabdi, seorang demi seorang, lalu Akhan yang ditunjuk. Akhan anak Karmi dan cucu Zabdi. Yosua berkata kepadanya, “Hai anakku, katakanlah yang benar di hadapan TUHAN, Allah Israel dan mengakulah. Sekarang, beritahulah aku apa yang telah engkau lakukan. Jangan sembunyikan perkara itu daripadaku.” Akhan menjawab, “Sesungguhnya saya telah berdosa terhadap TUHAN, Allah Israel. Inilah yang saya lakukan. Saya mendapati sehelai jubah yang cantik buatan Babilonia, perak seberat hampir dua kilogram, dan sebatang emas yang beratnya lebih daripada setengah kilogram di antara barang-barang jarahan itu. Saya begitu menginginkan barang-barang itu sehingga saya mengambilnya. Barang-barang itu tertanam di tanah di dalam khemah saya; perak itu terletak di bawah sekali.” Kemudian Yosua menyuruh beberapa orang berlari ke khemah itu. Mereka mendapati barang-barang terkutuk itu benar-benar tertanam di sana, dengan perak terletak di bawah sekali. Mereka membawa barang-barang itu keluar dari khemah, lalu membawanya kepada Yosua dan semua umat Israel. Mereka meletakkan barang-barang itu di hadapan TUHAN. Yosua dan semua umat Israel menangkap Akhan, lalu mengambil perak, jubah, dan emas itu; mereka juga menangkap anak-anaknya lelaki dan perempuan dan mengambil lembu, keldai, domba, khemah, dan segala miliknya lalu membawa semuanya ke Lembah Kesusahan. Kemudian Yosua berkata, “Lihatlah kesusahan yang telah engkau datangkan kepada kami! Sekarang TUHAN pun akan mendatangkan kesusahan kepadamu!” Maka semua umat Israel merejam Akhan sehingga mati. Mereka juga merejam dan membakar anggota keluarganya dan segala miliknya. Kemudian mereka menimbuninya dengan batu sehingga menjadi satu timbunan yang besar. Timbunan batu itu masih ada di sana sampai hari ini. Itulah sebabnya tempat itu masih dinamakan Lembah Kesusahan. Selepas itu TUHAN tidak murka lagi.

YOSUA 7:11-26 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Orang Israel telah berdosa. Mereka melanggar perjanjian-Ku yang Kuperintahkan kepada mereka. Mereka mengambil beberapa barang yang dikhususkan itu. Mereka mencuri, berdusta, dan menaruh semua itu antara barang-barang milik mereka. Itulah sebabnya orang Israel tidak dapat bertahan di hadapan musuh mereka. Ternyata mereka berundur di hadapan musuh mereka, kerana mereka sendiri telah dikhususkan untuk ditumpas. Aku tidak akan menyertai kamu lagi, kecuali jika kamu memusnahkan barang-barang yang ditakdiskan dalam kalanganmu. Bangunlah, sucikan bangsa itu, dan katakan, ‘Sucikanlah dirimu esok, kerana beginilah firman TUHAN, Allah Israel, “Ada barang-barang yang dikhususkan di tengah-tengah kamu, wahai orang Israel. Kamu tidak akan dapat bertahan di hadapan musuhmu sebelum kamu menyingkirkan barang-barang yang dikhususkan itu daripada antara kamu.” Esok pagi kamu akan dibawa menghadap menurut suku-sukumu. Suku yang dipilih TUHAN harus datang menghadap menurut kaum-kaumnya. Kaum yang dipilih TUHAN harus datang menghadap menurut keluarga-keluarganya. Lalu keluarga yang dipilih TUHAN harus datang menghadap, seorang demi seorang. Nanti, orang yang didapati mengambil barang yang dikhususkan itu harus dibakar habis berserta segala yang ada padanya, kerana dia telah melanggar perjanjian TUHAN dan telah melakukan perkara yang keji di Israel.’ ” Keesokan harinya, Yosua bangun pagi-pagi dan membawa orang Israel menghadap menurut suku-suku mereka, lalu terpilihlah suku Yehuda. Dibawanya kaum-kaum Yehuda menghadap, lalu terpilihlah kaum Zerah. Daripada kaum Zerah dibawanya seorang demi seorang menghadap, lalu terpilihlah Zabdi. Lalu seorang demi seorang daripada keluarga Zabdi dibawanya menghadap, dan terpilihlah Akhan anak Karmi anak Zabdi anak Zerah daripada suku Yehuda. Kata Yosua kepada Akhan, “Anakku, muliakanlah TUHAN, Allah Israel, dan akuilah kesalahanmu kepada-Nya. Beritahukanlah kepadaku apa yang telah kaulakukan. Jangan sembunyikan hal itu daripadaku.” Jawab Akhan kepada Yosua, “Memang benar, aku telah berdosa terhadap TUHAN, Allah Israel. Inilah yang kulakukan: Ketika aku melihat sehelai jubah indah buatan Sinear, dua ratus syikal perak, dan sebatang emas seberat lima puluh syikal, antara barang-barang jarahan itu, aku menginginkannya, lalu kuambil. Semua itu kusembunyikan di dalam tanah di tengah-tengah khemahku, dengan perak di bawahnya.” Yosua menyuruh beberapa orang suruhan, lalu mereka berlari ke khemah itu. Memang semua itu disembunyikan di dalam khemahnya, dengan perak di bawahnya. Mereka mengambil semua itu dari tengah-tengah khemah, membawanya kepada Yosua dan kepada seluruh orang Israel, lalu meletakkannya di hadapan TUHAN. Kemudian Yosua dan semua orang Israel mengambil Akhan anak Zerah dan perak, jubah, dan emas sebatang itu, juga anak-anaknya baik lelaki mahupun perempuan, kawanan dombanya, lembunya, keldainya, juga khemahnya serta segala miliknya. Semuanya dibawa mereka ke Lembah Akhor. Kata Yosua, “Mengapakah engkau mendatangkan kesusahan kepada kami? TUHAN pun akan mendatangkan kesusahan kepadamu pada hari ini.” Lalu semua orang Israel merejamnya. Semuanya dibakar mereka habis dengan api dan dilempar mereka dengan batu. Setelah itu di atasnya didirikan mereka satu timbunan batu yang besar, yang masih ada sampai hari ini. Maka surutlah murka TUHAN yang menyala-nyala. Oleh sebab itu tempat itu dinamai Lembah Akhor sampai hari ini.