Yosua 7
7
Kekalahan orang Israel di Ai
1Namun begitu, orang Israel melakukan kemungkaran dalam hal barang-barang yang dikhususkan untuk dimusnahkan. Akhan anak Karmi anak Zabdi anak Zerah daripada suku Yehuda mengambil beberapa daripada barang-barang yang dikhususkan itu maka menyalalah murka TUHAN terhadap orang Israel.
2Yosua mengutus beberapa orang dari Yerikho ke Ai, yang terletak dekat Bet-Awen, di sebelah timur Betel. Katanya kepada mereka, “Pergilah dan intiplah keadaan negeri itu.” Maka pergilah mereka itu mengintip Ai. 3Setelah kembali kepada Yosua, mereka berkata kepadanya, “Tidak perlu bagi seluruh umat pergi ke sana, biarlah sekadar kira-kira dua atau tiga ribu orang sahaja yang pergi menyerang Ai. Usah menyusahkan seluruh umat berjalan ke sana, kerana penduduk di situ tidak ramai.” 4Maka pergilah kira-kira tiga ribu orang daripada umat itu ke sana; tetapi mereka melarikan diri dari hadapan orang Ai. 5Orang Ai membunuh kira-kira tiga puluh enam orang daripada kalangan mereka lalu mengejar mereka mulai depan pintu gerbang sampai ke Syebarim, dan berjaya menumpaskan mereka di lereng. Lalu tersangat tawarlah hati umat itu.
6Yosua mengoyakkan pakaiannya dan sujud di hadapan tabut TUHAN sampai petang bersama dengan para tua-tua Israel. Mereka menghamburkan debu ke atas kepala mereka. 7Kata Yosua, “Aduh, ya Tuhan ALLAH, mengapakah Engkau membawa bangsa ini menyeberangi Sungai Yordan? Untuk menyerahkan kami ke dalam tangan bani Amori supaya kami binasa? Kalau sahaja kami puas dan tetap tinggal di seberang Sungai Yordan! 8Ya Tuhan, apakah yang harus kukatakan setelah umat Israel berbalik membelakangi musuh mereka? 9Bani Kanaan dan seluruh penduduk negeri ini tentu akan mendengar hal itu, dan mereka akan mengepung kami serta melenyapkan nama kami daripada muka bumi. Lalu apakah yang akan Kaulakukan demi nama-Mu yang besar itu?”
10Firman TUHAN kepada Yosua, “Bangun! Mengapakah engkau sujud menyembamkan muka sedemikian? 11Orang Israel telah berdosa. Mereka melanggar perjanjian-Ku yang Kuperintahkan kepada mereka. Mereka mengambil beberapa barang yang dikhususkan itu. Mereka mencuri, berdusta, dan menaruh semua itu antara barang-barang milik mereka. 12Itulah sebabnya orang Israel tidak dapat bertahan di hadapan musuh mereka. Ternyata mereka berundur di hadapan musuh mereka, kerana mereka sendiri telah dikhususkan untuk ditumpas. Aku tidak akan menyertai kamu lagi, kecuali jika kamu memusnahkan barang-barang yang ditakdiskan dalam kalanganmu. 13Bangunlah, sucikan bangsa itu, dan katakan, ‘Sucikanlah dirimu esok, kerana beginilah firman TUHAN, Allah Israel, “Ada barang-barang yang dikhususkan di tengah-tengah kamu, wahai orang Israel. Kamu tidak akan dapat bertahan di hadapan musuhmu sebelum kamu menyingkirkan barang-barang yang dikhususkan itu daripada antara kamu.” 14Esok pagi kamu akan dibawa menghadap menurut suku-sukumu. Suku yang dipilih TUHAN harus datang menghadap menurut kaum-kaumnya. Kaum yang dipilih TUHAN harus datang menghadap menurut keluarga-keluarganya. Lalu keluarga yang dipilih TUHAN harus datang menghadap, seorang demi seorang. 15Nanti, orang yang didapati mengambil barang yang dikhususkan itu harus dibakar habis berserta segala yang ada padanya, kerana dia telah melanggar perjanjian TUHAN dan telah melakukan perkara yang keji di Israel.’ ”
16Keesokan harinya, Yosua bangun pagi-pagi dan membawa orang Israel menghadap menurut suku-suku mereka, lalu terpilihlah suku Yehuda. 17Dibawanya kaum-kaum Yehuda menghadap, lalu terpilihlah kaum Zerah. Daripada kaum Zerah dibawanya seorang demi seorang menghadap, lalu terpilihlah Zabdi. 18Lalu seorang demi seorang daripada keluarga Zabdi dibawanya menghadap, dan terpilihlah Akhan anak Karmi anak Zabdi anak Zerah daripada suku Yehuda. 19Kata Yosua kepada Akhan, “Anakku, muliakanlah TUHAN, Allah Israel, dan akuilah kesalahanmu kepada-Nya. Beritahukanlah kepadaku apa yang telah kaulakukan. Jangan sembunyikan hal itu daripadaku.”
20Jawab Akhan kepada Yosua, “Memang benar, aku telah berdosa terhadap TUHAN, Allah Israel. Inilah yang kulakukan: 21Ketika aku melihat sehelai jubah indah buatan Sinear, dua ratus syikal perak, dan sebatang emas seberat lima puluh syikal, antara barang-barang jarahan itu, aku menginginkannya, lalu kuambil. Semua itu kusembunyikan di dalam tanah di tengah-tengah khemahku, dengan perak di bawahnya.”
22Yosua menyuruh beberapa orang suruhan, lalu mereka berlari ke khemah itu. Memang semua itu disembunyikan di dalam khemahnya, dengan perak di bawahnya. 23Mereka mengambil semua itu dari tengah-tengah khemah, membawanya kepada Yosua dan kepada seluruh orang Israel, lalu meletakkannya di hadapan TUHAN. 24Kemudian Yosua dan semua orang Israel mengambil Akhan anak Zerah dan perak, jubah, dan emas sebatang itu, juga anak-anaknya baik lelaki mahupun perempuan, kawanan dombanya, lembunya, keldainya, juga khemahnya serta segala miliknya. Semuanya dibawa mereka ke Lembah Akhor. 25Kata Yosua, “Mengapakah engkau mendatangkan kesusahan kepada kami? TUHAN pun akan mendatangkan kesusahan kepadamu pada hari ini.” Lalu semua orang Israel merejamnya. Semuanya dibakar mereka habis dengan api dan dilempar mereka dengan batu. 26Setelah itu di atasnya didirikan mereka satu timbunan batu yang besar, yang masih ada sampai hari ini. Maka surutlah murka TUHAN yang menyala-nyala. Oleh sebab itu tempat itu dinamai Lembah Akhor sampai hari ini.
Terpilih Sekarang Ini:
Yosua 7: AVB
Highlight
Kongsi
Salin
Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk
Alkitab Versi Borneo
Hak cipta © 2015 Borneo Sabda Limited