YOSUA 4:4-9
YOSUA 4:4-9 Alkitab Berita Baik (BM)
Kemudian Yosua memanggil dua belas orang yang telah dipilihnya dan berkata, “Turunlah ke sungai di depan Tabut Perjanjian TUHAN, Allah kamu. Masing-masing harus mengambil sebuah batu, sebuah batu untuk setiap suku Israel. Pikullah batu itu. Batu-batu itu akan mengingatkan umat Israel tentang perbuatan TUHAN. Pada masa yang akan datang, apabila anak-anak kamu bertanya akan erti batu-batu itu, beritahulah mereka bahawa Sungai Yordan berhenti mengalir ketika Tabut Perjanjian TUHAN digotong menyeberangi sungai itu. Batu-batu itu akan sentiasa mengingatkan umat Israel tentang peristiwa yang berlaku di sini.” Mereka menurut perintah Yosua. Sebagaimana perintah TUHAN kepada Yosua, mereka mengambil dua belas buah batu dari tengah-tengah Sungai Yordan, sebuah batu untuk setiap suku Israel. Mereka memikul batu-batu itu ke tempat perkhemahan lalu meletakkan semuanya di sana. Yosua juga menyusun dua belas buah batu di tengah-tengah Sungai Yordan, di tempat imam-imam itu berdiri. (Batu-batu itu masih ada di sana sampai sekarang.)
YOSUA 4:4-9 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Maka Yosua memanggil dua belas orang yang telah disiapkannya daripada kalangan orang Israel, seorang daripada setiap suku. Kata Yosua kepada mereka, “Menyeberanglah di depan tabut TUHAN, Allahmu, ke tengah-tengah Sungai Yordan. Pikullah sebiji batu di atas bahu masing-masing menurut jumlah suku orang Israel supaya batu-batu itu menjadi tanda antaramu. Apabila anak-anakmu bertanya pada kemudian hari, ‘Apakah erti batu-batu itu bagi kamu?’ maka katakanlah kepada mereka bahawa air Sungai Yordan terputus di depan tabut perjanjian TUHAN. Ketika tabut itu menyeberangi Sungai Yordan, air Sungai Yordan terputus. Batu-batu itu akan menjadi tanda peringatan bagi orang Israel untuk selama-lamanya.” Orang Israel melakukan apa yang diperintahkan Yosua. Mereka mengangkat dua belas biji batu dari tengah-tengah Sungai Yordan menurut jumlah suku orang Israel, seperti yang difirmankan TUHAN kepada Yosua. Mereka membawa semuanya menyeberang ke tempat mereka bermalam, lalu mereka meletakkannya di sana. Yosua mendirikan pula dua belas batu di tengah-tengah Sungai Yordan, di tempat kaki para imam pengusung tabut perjanjian itu berdiri. Batu-batu itu masih ada di sana sampai hari ini.