YOSUA 24:1-4
YOSUA 24:1-4 Alkitab Berita Baik (BM)
Yosua mengumpulkan semua suku Israel di Sikhem. Dia memanggil para pemuka, pemimpin, hakim, dan pegawai Israel, lalu mereka berkumpul di hadapan Allah. Yosua berkata kepada semua orang itu, “Dengarlah firman TUHAN, Allah Israel, ‘Dahulu kala nenek moyang kamu tinggal di seberang Sungai Efrat dan mereka menyembah dewa-dewa. Salah seorang daripada mereka ialah Terah, bapa Abraham dan Nahor. Kemudian Aku membawa Abraham, nenek moyang kamu itu, dari tanah di seberang Sungai Efrat dan memimpin dia menjelajah seluruh tanah Kanaan. Aku memberi dia banyak keturunan. Aku memberi dia Ishak, lalu kepada Ishak Aku berikan dua orang anak, iaitu Yakub dan Esau. Aku memberi Esau perbukitan Edom sebagai tanah miliknya, tetapi Yakub, iaitu nenek moyang kamu dan anak-anaknya pergi ke Mesir.
YOSUA 24:1-4 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Kemudian Yosua mengumpulkan semua suku Israel di Sikhem. Dia memanggil para tua-tua Israel, para ketuanya, para hakimnya, dan para pegawainya, lalu mereka berdiri di hadapan Allah. Kata Yosua kepada seluruh bangsa itu, “Beginilah firman TUHAN, Allah Israel, ‘Dahulukala nenek moyangmu, iaitu Terah, ayah Abraham dan Nahor, tinggal di seberang Sungai Efrat dan beribadat kepada tuhan-tuhan lain. Lalu Aku mengambil bapa leluhurmu, Abraham, dari seberang Sungai Efrat dan memimpin dia untuk menjelajahi seluruh Tanah Kanaan serta menjadikan keturunannya ramai. Aku mengurniakan Ishak kepadanya, dan kepada Ishak Kukurniakan Yakub dan Esau. Kepada Esau Kukurniakan Gunung Seir menjadi miliknya, manakala Yakub dan anak-anaknya pergi ke Mesir.