YOSUA 2:1-14

YOSUA 2:1-14 Alkitab Berita Baik (BM)

Kemudian Yosua mengirim dua orang pengintip dari perkhemahan di Sitim ke Kanaan. Mereka diperintah supaya menjelajah tanah Kanaan untuk menyelidikinya dengan sembunyi-sembunyi, terutama sekali kota Yerikho. Apabila mereka sampai di kota itu, mereka menginap di rumah seorang perempuan pelacur yang bernama Rahab. Raja Yerikho diberitahu bahawa beberapa orang Israel telah datang pada malam itu untuk mengintip negerinya. Maka raja itu menyuruh orang memberitahu Rahab, “Orang di rumahmu itu datang untuk mengintip seluruh negeri ini. Bawalah mereka ke luar!” Rahab menjawab, “Memang ada beberapa orang datang ke rumah saya, tetapi saya tidak tahu dari mana mereka datang. Mereka pergi pada waktu senja, sebelum pintu gerbang kota ditutup. Saya tidak bertanya ke mana mereka pergi tetapi jika mereka dikejar dengan segera, mereka akan dapat ditangkap.” (Padahal Rahab telah menyembunyikan dua orang pengintip itu di atas bumbung rumah yang rata, di bawah timbunan batang rami, yang diletakkannya di sana.) Sebaik sahaja para utusan raja itu keluar dari kota, pintu gerbang ditutup. Mereka mencari pengintip-pengintip itu sampai ke tempat penyeberangan Sungai Yordan. Sebelum pengintip-pengintip itu tidur pada malam itu, Rahab naik ke bumbung rumah dan berkata kepada mereka, “Aku tahu bahawa TUHAN telah memberikan tanah ini kepada kamu. Semua orang di negeri ini takut kepada kamu. Kami telah mendengar bahawa TUHAN telah mengeringkan Laut Gelagah di hadapan kamu ketika kamu meninggalkan Mesir. Kami juga mendengar bahawa kamu telah membunuh Raja Sihon dan Raja Og, dua orang raja bangsa Amori di sebelah timur Sungai Yordan. Kami ketakutan sebaik saja kami mendengar hal itu. Kami sudah hilang keberanian kerana kamu. TUHAN, Allah kamu sesungguhnya Allah yang berkuasa di langit dan di bumi. Sekarang bersumpahlah demi TUHAN bahawa kamu akan memperlakukan keluargaku dengan baik sebagaimana aku telah memperlakukan kamu. Berilah aku suatu tanda jaminan supaya aku dapat mempercayai kamu. Berjanjilah kepadaku bahawa kamu akan menyelamatkan ibu bapaku dan saudara-saudaraku lelaki dan perempuan, serta semua keluarga mereka. Janganlah biarkan kami dibunuh!” Pengintip-pengintip itu berkata kepadanya, “Biarlah Allah membunuh kami jika kami tidak memenuhi janji kami. Jika engkau tidak memberitahu orang tentang kami ini, kami berjanji bahawa apabila TUHAN memberikan negeri ini kepada kami kelak, kami akan memperlakukan kamu dengan baik.”

YOSUA 2:1-14 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Secara senyap-senyap, Yosua anak Nun mengutus dua orang pengintip dari Sitim, pesannya, “Pergilah, amatilah negeri itu dan kota Yerikho.” Maka pergilah mereka lalu sampai di rumah seorang pelacur yang bernama Rahab. Mereka pun menginap di situ. Tetapi kemudian raja Yerikho diberitahu demikian, “Ketahuilah, ada beberapa orang Israel datang ke mari malam ini untuk mengintip negeri ini.” Maka raja Yerikho mengutus orang kepada Rahab dengan mengatakan, “Bawa ke luar orang yang datang kepadamu dan yang masuk ke rumahmu itu, kerana mereka datang untuk mengintip seluruh negeri ini!” Akan tetapi, perempuan itu membawa dua orang itu dan menyembunyikan mereka. Dia berkata, “Ya, memang mereka itu datang kepadaku, tetapi aku tidak tahu dari mana asalnya mereka. Pada waktu hari sudah gelap, kira-kira menjelang waktu pintu gerbang ditutup, mereka itu pergi. Aku tidak tahu ke mana mereka pergi. Segeralah kejar mereka. Tentu kamu dapat menyusul mereka.” Padahal, dia telah membawa mereka naik ke atap rumah dan menyembunyikan mereka di antara batang rami yang disusunnya di atas atap itu. Maka pergilah para pesuruh raja itu mengejar kedua-duanya ke arah Sungai Yordan, ke tempat-tempat penyeberangan. Segera sesudah semua yang mengejar mereka itu keluar, pintu gerbang ditutup. Sebelum dua orang itu tidur, perempuan itu naik mendapatkan mereka di atas bumbung. Katanya kepada mereka, “Aku tahu bahawa TUHAN telah mengurniakan negeri ini kepada kamu. Rasa ngeri terhadap kamu telah melanda kami, dan seluruh penduduk negeri ini gementar kerana kamu. Kami telah mendengar bagaimana TUHAN mengeringkan air Laut Merah di hadapanmu ketika kamu keluar dari Mesir, juga apa yang kamu lakukan terhadap dua orang raja bani Amori di seberang Sungai Yordan, iaitu Sihon dan Og, yang telah kamu tumpaskan itu. Sebaik sahaja kami mendengar hal itu, tawarlah hati kami. Tidak ada lagi baki semangat yang ada pada seorang pun kerana kamu, sebab TUHAN, Allahmu, ialah Allah di langit di atas dan di bumi di bawah. Sekarang, bersumpahlah kepadaku demi TUHAN bahawa kerana aku telah memperlakukan kamu dengan baik, maka kamu pun akan memperlakukan aku dan kaum keluargaku dengan baik. Berilah aku suatu tanda jaminan bahawa kamu akan membiarkan hidup ayahku, ibuku, saudara-saudaraku yang laki-laki dan perempuan serta semua orang yang ada pada mereka, dan bahawa kamu akan melepaskan nyawa kami daripada maut.” Lalu kata dua orang itu kepadanya, “Nyawa kamilah jaminan bagi nyawamu! Jika engkau tidak melaporkan urusan kami ini, maka pada waktu TUHAN mengurniakan negeri ini kepada kami, kami akan berlaku baik dan setia kepadamu.”

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami