Yosua 2:1-14

Yosua 2:1-14 AVB

Secara senyap-senyap, Yosua anak Nun mengutus dua orang pengintip dari Sitim, pesannya, “Pergilah, amatilah negeri itu dan kota Yerikho.” Maka pergilah mereka lalu sampai di rumah seorang pelacur yang bernama Rahab. Mereka pun menginap di situ. Tetapi kemudian raja Yerikho diberitahu demikian, “Ketahuilah, ada beberapa orang Israel datang ke mari malam ini untuk mengintip negeri ini.” Maka raja Yerikho mengutus orang kepada Rahab dengan mengatakan, “Bawa ke luar orang yang datang kepadamu dan yang masuk ke rumahmu itu, kerana mereka datang untuk mengintip seluruh negeri ini!” Akan tetapi, perempuan itu membawa dua orang itu dan menyembunyikan mereka. Dia berkata, “Ya, memang mereka itu datang kepadaku, tetapi aku tidak tahu dari mana asalnya mereka. Pada waktu hari sudah gelap, kira-kira menjelang waktu pintu gerbang ditutup, mereka itu pergi. Aku tidak tahu ke mana mereka pergi. Segeralah kejar mereka. Tentu kamu dapat menyusul mereka.” Padahal, dia telah membawa mereka naik ke atap rumah dan menyembunyikan mereka di antara batang rami yang disusunnya di atas atap itu. Maka pergilah para pesuruh raja itu mengejar kedua-duanya ke arah Sungai Yordan, ke tempat-tempat penyeberangan. Segera sesudah semua yang mengejar mereka itu keluar, pintu gerbang ditutup. Sebelum dua orang itu tidur, perempuan itu naik mendapatkan mereka di atas bumbung. Katanya kepada mereka, “Aku tahu bahawa TUHAN telah mengurniakan negeri ini kepada kamu. Rasa ngeri terhadap kamu telah melanda kami, dan seluruh penduduk negeri ini gementar kerana kamu. Kami telah mendengar bagaimana TUHAN mengeringkan air Laut Merah di hadapanmu ketika kamu keluar dari Mesir, juga apa yang kamu lakukan terhadap dua orang raja bani Amori di seberang Sungai Yordan, iaitu Sihon dan Og, yang telah kamu tumpaskan itu. Sebaik sahaja kami mendengar hal itu, tawarlah hati kami. Tidak ada lagi baki semangat yang ada pada seorang pun kerana kamu, sebab TUHAN, Allahmu, ialah Allah di langit di atas dan di bumi di bawah. Sekarang, bersumpahlah kepadaku demi TUHAN bahawa kerana aku telah memperlakukan kamu dengan baik, maka kamu pun akan memperlakukan aku dan kaum keluargaku dengan baik. Berilah aku suatu tanda jaminan bahawa kamu akan membiarkan hidup ayahku, ibuku, saudara-saudaraku yang laki-laki dan perempuan serta semua orang yang ada pada mereka, dan bahawa kamu akan melepaskan nyawa kami daripada maut.” Lalu kata dua orang itu kepadanya, “Nyawa kamilah jaminan bagi nyawamu! Jika engkau tidak melaporkan urusan kami ini, maka pada waktu TUHAN mengurniakan negeri ini kepada kami, kami akan berlaku baik dan setia kepadamu.”