YOSUA 18:11-28

YOSUA 18:11-28 Alkitab Berita Baik (BM)

Keluarga-keluarga dalam suku Benyamin ialah suku yang pertama menerima bahagian tanah. Tanah mereka terletak di antara tanah suku Yehuda dan tanah suku Yusuf. Di utara, sempadan wilayah mereka bermula dari Sungai Yordan, lalu naik ke lereng di sebelah utara Yerikho, lalu ke barat melalui kawasan perbukitan sampai ke padang gurun Bet-Awen. Sempadan itu menuju ke lereng di sebelah selatan Lus (yang juga disebut Betel), lalu turun ke Atarot-Adar, di gunung di sebelah selatan Bet-Horon-Hilir. Kemudian sempadan itu menghala ke selatan dari sebelah barat gunung itu, lalu menuju ke kota Kiryat-Baal (atau Kiryat-Yearim). Kota ini milik suku Yehuda. Itulah sempadan barat wilayah itu. Sempadan di sebelah selatan bermula dari pinggir kota Kiryat-Yearim lalu menghala ke mata air Me-Neftoah. Sempadan itu turun ke kaki gunung yang berhadapan dengan Lembah Hinom, di hujung bahagian utara Lembah Refaim. Kemudian sempadan itu menghala ke selatan melalui Lembah Hinom sampai ke rabung di selatan di tanah orang Yebusi, lalu menghala ke mata air En-Rogel. Dari situ sempadan itu menghala ke utara, ke En-Semes, lalu ke Gelilot yang bertentangan dengan Genting Adumim. Kemudian sempadan itu turun ke Batu Bohan (Bohan ialah anak lelaki Ruben) dan melintas di sebelah utara rabung yang berhadapan dengan Lembah Yordan. Kemudian sempadan itu turun ke lembah dan melalui sebelah utara rabung Bet-Hogla, lalu berakhir di teluk kecil di bahagian utara Laut Mati, tempat Sungai Yordan bermuara. Itulah sempadan selatan wilayah itu. Sungai Yordan menjadi sempadan di sebelah timur. Itulah sempadan wilayah yang diterima sebagai milik oleh keluarga-keluarga dalam suku Benyamin. Kota-kota yang dimiliki oleh keluarga-keluarga dalam suku Benyamin ialah Yerikho, Bet-Hogla, Emek-Kezis, Bet-Araba, Zemaraim, Betel, Haawim, Para, Ofra, Kefar-Haamonai, Ofni, dan Geba; semuanya dua belas buah kota bersama dengan pekan-pekan di sekelilingnya. Selain itu termasuk juga kota Gibeon, Rama, Beerot, Mizpa, Kefira, Moza, Rekem, Yirpeel, Tarala, Zela, Elef, Yebus (atau Yerusalem), Gibea dan Kiryat-Yearim; semuanya empat belas buah kota bersama dengan pekan-pekan di sekelilingnya. Itulah tanah yang diterima sebagai milik oleh keluarga-keluarga dalam suku Benyamin.

YOSUA 18:11-28 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Undian terjatuh kepada suku bani Benyamin menurut kaum-kaum mereka dan wilayah yang diperuntukkan untuk mereka terletak di antara wilayah bani Yehuda dengan wilayah bani Yusuf. Di sebelah utara, sempadan daerah mereka bermula dari Sungai Yordan kemudian naik ke lereng gunung di sebelah utara Yerikho, lalu naik ke pergunungan di sebelah barat, dan berakhir di Gurun Bet-Awen. Dari situ, sempadan itu menganjur ke Lus, ke lereng gunung di sebelah selatan Lus, iaitu Betel dan seterusnya turun ke Atarot-Adar dekat gunung yang terletak di sebelah selatan Bet-Horon Hilir. Selanjutnya sempadan itu membelok di sebelah barat menuju ke sebelah selatan gunung di seberang selatan Bet-Horon dan berakhir di Kiryat-Baal, iaitu Kiryat-Yearim, sebuah kota milik bani Yehuda. Itulah sisi sebelah baratnya. Sempadan sebelah selatan bermula dari hujung Kiryat-Yearim, lalu keluar ke sebelah barat menuju mata air Neftoah. Kemudian sempadan itu turun ke hujung gunung di seberang Lembah Ben-Hinom, yang terletak di sebelah utara lembah orang Refaim, lalu turun ke Lembah Hinom, sebelah selatan lereng gunung orang Yebus, dan turun ke En-Rogel. Kemudian sempadan itu membelok ke sebelah utara, keluar ke En-Semes, menuju wilayah yang berhadapan dengan tanjakan Adumim dan seterusnya turun ke batu Bohan anak Ruben. Sempadan itu berlanjutan ke sebelah utara lereng gunung di seberang Bet-Araba, lalu turun ke Araba dan kemudian berlanjutan lagi ke sebelah utara lereng Gunung Bet-Hogla dan berakhir di teluk utara Laut Mati, di muara selatan Sungai Yordan. Itulah sempadan selatannya. Sungai Yordan ialah sempadan sebelah timurnya. Itulah harta pusaka bani Benyamin dengan sempadan di sekelilingnya menurut kaum-kaum mereka. Inilah kota-kota suku bani Benyamin menurut kaum-kaum mereka: Yerikho, Bet-Hogla, Emek-Kezis, Bet-Araba, Zemaraim, Betel, Haawim, Para, Ofra, Kefar-Haamonai, Ofni, Geba; dua belas buah kota berserta desa-desanya. Gibeon, Rama, Beerot, manakala Mizpa, Kefira, Moza, Rekem, Yirpeel, Tarala, Zela, Elef, Yebus, iaitu Yerusalem, Gibea, Kiryat ialah empat belas buah kota lagi dengan desa-desanya. Itulah harta pusaka bani Benyamin menurut kaum-kaum mereka.