Yosua 18:11-28

Yosua 18:11-28 AVB

Undian terjatuh kepada suku bani Benyamin menurut kaum-kaum mereka dan wilayah yang diperuntukkan untuk mereka terletak di antara wilayah bani Yehuda dengan wilayah bani Yusuf. Di sebelah utara, sempadan daerah mereka bermula dari Sungai Yordan kemudian naik ke lereng gunung di sebelah utara Yerikho, lalu naik ke pergunungan di sebelah barat, dan berakhir di Gurun Bet-Awen. Dari situ, sempadan itu menganjur ke Lus, ke lereng gunung di sebelah selatan Lus, iaitu Betel dan seterusnya turun ke Atarot-Adar dekat gunung yang terletak di sebelah selatan Bet-Horon Hilir. Selanjutnya sempadan itu membelok di sebelah barat menuju ke sebelah selatan gunung di seberang selatan Bet-Horon dan berakhir di Kiryat-Baal, iaitu Kiryat-Yearim, sebuah kota milik bani Yehuda. Itulah sisi sebelah baratnya. Sempadan sebelah selatan bermula dari hujung Kiryat-Yearim, lalu keluar ke sebelah barat menuju mata air Neftoah. Kemudian sempadan itu turun ke hujung gunung di seberang Lembah Ben-Hinom, yang terletak di sebelah utara lembah orang Refaim, lalu turun ke Lembah Hinom, sebelah selatan lereng gunung orang Yebus, dan turun ke En-Rogel. Kemudian sempadan itu membelok ke sebelah utara, keluar ke En-Semes, menuju wilayah yang berhadapan dengan tanjakan Adumim dan seterusnya turun ke batu Bohan anak Ruben. Sempadan itu berlanjutan ke sebelah utara lereng gunung di seberang Bet-Araba, lalu turun ke Araba dan kemudian berlanjutan lagi ke sebelah utara lereng Gunung Bet-Hogla dan berakhir di teluk utara Laut Mati, di muara selatan Sungai Yordan. Itulah sempadan selatannya. Sungai Yordan ialah sempadan sebelah timurnya. Itulah harta pusaka bani Benyamin dengan sempadan di sekelilingnya menurut kaum-kaum mereka. Inilah kota-kota suku bani Benyamin menurut kaum-kaum mereka: Yerikho, Bet-Hogla, Emek-Kezis, Bet-Araba, Zemaraim, Betel, Haawim, Para, Ofra, Kefar-Haamonai, Ofni, Geba; dua belas buah kota berserta desa-desanya. Gibeon, Rama, Beerot, manakala Mizpa, Kefira, Moza, Rekem, Yirpeel, Tarala, Zela, Elef, Yebus, iaitu Yerusalem, Gibea, Kiryat ialah empat belas buah kota lagi dengan desa-desanya. Itulah harta pusaka bani Benyamin menurut kaum-kaum mereka.