YOSUA 10:1-14

YOSUA 10:1-14 Alkitab Berita Baik (BM)

Raja Adoni-Zedek, penguasa Yerusalem, mendengar bahawa Yosua telah merebut Ai dan sama sekali memusnahkan kota itu, dan bahawa dia telah membunuh raja Ai seperti yang dilakukannya terhadap kota Yerikho dan rajanya. Raja itu mendengar juga bahawa orang Gibeon telah membuat perjanjian damai dengan umat Israel dan sekarang orang Gibeon tinggal bersama-sama umat Israel. Penduduk Yerusalem sangat takut kerana Gibeon adalah kota yang besar, sama besarnya dengan kota-kota lain yang mempunyai raja. Kota Gibeon lebih besar daripada kota Ai dan orang Gibeon pejuang yang handal. Oleh itu Raja Adoni-Zedek mengirim pesan berikut kepada Raja Hoham dari Hebron, Raja Piream dari Yarmut, Raja Yafia dari Lakhis, dan Raja Debir dari Eglon, “Marilah tolong beta menyerang Gibeon, kerana penduduknya telah membuat perjanjian damai dengan Yosua dan umat Israel.” Kelima-lima orang raja Amori itu, iaitu raja dari Yerusalem, Hebron, Yarmut, Lakhis, dan Eglon datang dengan semua tentera mereka, lalu mengepung dan menyerang Gibeon. Orang Gibeon mengirimkan berita ini kepada Yosua di perkhemahan di Gilgal, “Tuan, janganlah tinggalkan kami! Marilah tolong kami dengan segera! Selamatkanlah kami! Semua raja orang Amori di perbukitan telah bergabung dan menyerang kami!” Oleh itu Yosua dan seluruh tenteranya, termasuk pasukannya yang terbaik berangkat dari Gilgal. TUHAN berfirman kepada Yosua, “Janganlah takut akan mereka. Aku telah memberi engkau kemenangan. Tidak seorang pun daripada mereka akan dapat menentang engkau.” Sepanjang malam Yosua dan tenteranya berjalan dari Gilgal menuju ke Gibeon, lalu mereka menyerang orang Amori secara mendadak. TUHAN menyebabkan orang Amori cemas apabila melihat tentera Israel. Orang Israel membunuh mereka di Gibeon dan mengejar musuh yang masih hidup, ke genting gunung di Bet-Horon sampai ke Azeka dan Makeda di selatan. Ketika orang Amori lari daripada umat Israel melalui genting gunung, TUHAN menurunkan hujan batu ke atas mereka sepanjang jalan sampai ke Azeka, sehingga lebih banyak orang yang terbunuh oleh hujan batu daripada yang dibunuh oleh orang Israel. Pada hari TUHAN memberikan kemenangan kepada umat Israel terhadap orang Amori, Yosua bercakap dengan TUHAN. Di hadapan umat Israel Yosua berkata, “Hai matahari, berhentilah di atas Gibeon. Hai bulan, berhentilah di atas Lembah Ayalon.” Matahari berhenti dan bulan pun tidak bergerak sehingga umat Israel telah mengalahkan musuh mereka. Kisah ini tertulis di dalam Kitab Yasar. Matahari berhenti di tengah-tengah langit sehari suntuk, dan lama sekali barulah matahari terbenam pada hari itu. Baik pada masa lampau mahupun sejak hari itu, hal seperti itu tidak pernah berlaku apabila TUHAN menurut keinginan manusia. Pada hari itu TUHAN berperang bagi pihak umat Israel.

YOSUA 10:1-14 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Apabila terdengar oleh Adoni-Zedek, raja Yerusalem bagaimana Yosua menawan Ai dan menumpasnya lalu memperlakukan Ai dan rajanya sebagaimana diperlakukan ke atas Yerikho dan rajanya, dan betapa penduduk Gibeon telah mengadakan perjanjian damai dengan Israel dan tinggal dalam kalangan mereka, maka sangat ketakutanlah mereka, memandangkan Gibeon sebuah kota raya besar, seperti salah sebuah kota raya diraja. Apatah lagi, kota itu lebih besar daripada Ai dan semua orangnya pahlawan belaka. Maka Adoni-Zedek, raja Yerusalem, mengutus orang kepada Hoham, raja Hebron, kepada Piream, raja Yarmut, kepada Yafia, raja Lakhis, dan kepada Debir, raja Eglon, dengan pesan, “Datanglah ke mari dan bantulah aku. Mari kita serang Gibeon yang telah mengadakan perjanjian damai dengan Yosua dan orang Israel.” Lalu berkumpullah kelima-lima orang raja Amori itu, iaitu raja Yerusalem, raja Hebron, raja Yarmut, raja Lakhis, dan raja Eglon, dan bala tentera mereka juga berkumpul dan bergerak maju bersama-sama. Mereka berkhemah mengepung Gibeon dan berperang melawannya. Maka rakyat Gibeon mengutus orang kepada Yosua, ke perkhemahannya di Gilgal, dengan pesan, “Janganlah tuan biarkan hamba-hambamu ini. Datanglah dengan segera. Selamatkanlah kami dan bantulah kami, kerana semua raja bani Amori yang tinggal di pergunungan kini bergabung untuk menyerang kami.” Maka majulah Yosua dari Gilgal bersama-sama seluruh pasukan perang, termasuk para pahlawannya yang gagah perkasa. TUHAN berfirman kepada Yosua, “Jangan takut kepada mereka, kerana Aku telah menyerahkan mereka ke dalam tanganmu. Tiada seorang pun daripada mereka yang mampu bertahan di hadapanmu.” Setelah bergerak maju dari Gilgal semalam-malaman, Yosua mendatangi mereka secara tiba-tiba. TUHAN menyebabkan bani Amori berasa amat cemas di hadapan orang Israel sehingga mereka ditumpaskan dengan kekalahan yang sebegitu besar di Gibeon. Orang Israel mengejar mereka ke arah genting Bet-Horon dan menumpurkan mereka sampai ke Azeka dan Makeda. Sewaktu bani Amori itu melarikan diri dari hadapan orang Israel di lereng Bet-Horon, TUHAN menghujani mereka dengan batu-batu besar dari langit sampai ke Azeka, sehingga mereka mati. Lebih ramai orang yang mati kerana hujan batu itu daripada yang ditewaskan orang Israel dengan pedang. Pada hari TUHAN menyerahkan bani Amori itu kepada orang Israel, berdoalah Yosua kepada TUHAN, lalu di hadapan mata orang Israel dia berkata, “Wahai matahari, berhentilah engkau di atas Gibeon dan engkau, wahai bulan, di atas Lembah Ayalon!” Maka matahari pun berhenti dan bulan pun tertahan sampai bangsa itu menuntut balas terhadap musuh-musuh mereka. Bukankah hal itu tertulis dalam Kitab Yasar? Sehari suntuk matahari tertahan di tengah-tengah langit dan tidak cepat-cepat terbenam. Belum pernah ada hari seperti itu sebelum ataupun sesudahnya, bahawa TUHAN mendengar permohonan seorang manusia sedemikian, kerana TUHAN berperang demi orang Israel.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami