YUNUS 1:1-17

YUNUS 1:1-17 Alkitab Berita Baik (BM)

Pada suatu hari, TUHAN berfirman kepada Yunus anak Amitai. Dia berfirman, “Pergilah ke Niniwe, kota besar itu, dan kecamlah penduduknya. Aku tahu bahawa penduduknya sangat jahat.” Tetapi Yunus pergi ke arah lain untuk menjauhi TUHAN. Yunus pergi ke Yope, dan mendapati kapal yang akan belayar ke Sepanyol. Setelah membayar wang tambang, Yunus naik kapal; dia belayar bersama dengan anak-anak kapal ke Sepanyol, supaya dia dapat menjauhkan diri daripada TUHAN. Yunus turun ke tempat yang paling bawah dan berbaring di situ, lalu dia tertidur dengan nyenyak. Kemudian TUHAN mendatangkan angin kencang ke laut, lalu terjadilah angin ribut yang dahsyat, yang memukul kapal itu sehingga hampir hancur. Anak-anak kapal sangat takut dan berteriak-teriak minta tolong, masing-masing kepada dewa mereka sendiri. Mereka membuang muatan kapal itu ke dalam laut untuk mengurangi bahaya. Apabila kapten kapal itu turun ke bawah, dia menjumpai Yunus sedang tidur di situ. Kapten itu berkata, “Bagaimana engkau dapat tidur dalam keadaan begini? Bangunlah! Berdoalah minta tolong kepada dewamu. Mungkin dia akan mengasihani kita, dan kita tidak akan binasa.” Setelah Yunus dan kapten kapal itu naik ke atas, para anak kapal berkata sesama sendiri, “Marilah kita buang undi supaya kita tahu siapa yang bersalah, sehingga kita ditimpa bencana ini!” Mereka membuang undi, lalu Yunus yang kena undi. Mereka berkata kepada Yunus, “Betulkah engkau yang menyebabkan bencana ini? Engkau dari mana dan bangsa apa? Mengapa engkau berada di sini?” Yunus menjawab, “Aku orang Ibrani. Aku menyembah TUHAN, Allah di syurga, yang mencipta laut dan darat.” Kemudian Yunus menceritakan bahawa dia melarikan diri daripada TUHAN. Mendengar hal itu para anak kapal menjadi lebih takut lagi, dan berkata kepadanya, “Perbuatanmu itu sungguh dahsyat!” Sementara itu angin ribut semakin kencang, lalu para anak kapal bertanya kepada Yunus, “Apakah yang harus kami lakukan kepadamu supaya angin ribut ini reda?” Yunus menjawab, “Buanglah aku ke dalam laut, lalu angin ribut tentu akan reda. Aku tahu bahawa akulah yang menyebabkan angin ribut yang dahsyat ini menimpa kamu semua.” Tetapi para anak kapal masih berusaha sedaya mungkin untuk mendayung kapal itu ke daratan. Namun angin ribut makin mengamuk juga, sehingga usaha mereka sia-sia belaka. Oleh itu mereka berseru kepada TUHAN, “Ya TUHAN, kami mohon, janganlah binasakan kami kerana mengambil nyawa orang yang tidak melakukan kesalahan apa-apa pun terhadap kami. Ya TUHAN, Engkaulah yang bertanggungjawab atas semua hal ini; inilah perbuatan-Mu.” Kemudian mereka melemparkan Yunus ke dalam laut, lalu angin ribut berhenti mengamuk dengan serta-merta. Para anak kapal itu menjadi sangat takut akan TUHAN. Mereka mempersembahkan korban kepada TUHAN dan bernazar kepada-Nya. Sementara itu, TUHAN menyuruh seekor ikan besar untuk menelan Yunus. Oleh itu Yunus tinggal di dalam perut ikan selama tiga hari dan tiga malam.

YUNUS 1:1-17 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Datanglah firman TUHAN sedemikian kepada Yunus anak Amitai: “Bangunlah, pergilah ke Niniwe, ibu kota yang besar itu, dan berserulah terhadap mereka kerana kemungkaran mereka sudah nyata kepada-Ku.” Akan tetapi, Yunus melarikan diri ke Tarsis, jauh dari hadirat TUHAN. Maka, pergilah dia ke Yope, dan setelah menemui sebuah kapal, dia membayar tambangnya, dan belayar dengan orang lain ke Tarsis, jauh dari hadirat TUHAN. Tetapi TUHAN menurunkan angin ribut kencang hingga laut bergelora dan kapal yang dihentam gelora itu hampir-hampir pecah. Para pelaut yang dalam ketakutan itu melaung meminta pertolongan tuhan masing-masing dan mereka membuang ke laut muatan di dalam kapal demi meringankan kapal. Akan tetapi, Yunus yang turun ke ruang bahagian dalam kapal berbaring di sana lalu tidur nyenyak. Nakhoda datang mendapatkan Yunus dan berkata: “Bagaimana kamu boleh tidur nyenyak? Bangunlah dan berserulah kepada tuhan kamu. Mungkin tuhanmu akan mempedulikan kita supaya kita semua tidak binasa.” Berkatalah mereka sesama sendiri, “Ayuh kita cabut undi agar kita tahu bahana siapakah kita ditimpa malapetaka ini.” Lalu mereka membuang undi dan undi itu terjatuh pada Yunus. Berkatalah mereka kepada Yunus, “Beritahu kami, bahana siapakah bencana ini menimpa kita semua. Apa pekerjaanmu? Kamu datang dari mana? Apa negerimu? Apa bangsamu?” Jawab Yunus, “Aku orang Ibrani. Aku takut kepada TUHAN, Allah semesta langit, yang menjadikan lautan dan daratan.” Para pelaut itu menjadi amat takut lantas berkata kepada Yunus, “Apakah yang telah kamu lakukan?” Mereka mengetahui Yunus telah melarikan diri dari hadirat TUHAN kerana Yunus telah memberitahu mereka hal itu. Mereka pun bertanya dia, “Apa yang harus kami lakukan agar laut tenang bagi kita?” Ini sebab laut menjadi semakin bergelora. Jawabnya, “Angkat dan campaklah aku ke laut dan laut itu akan reda pula bagimu. Aku tahu bahana akulah petaka ribut kencang ini menimpa kamu.” Para pelaut masih bekerja keras dan cuba untuk berdayung supaya dapat kembali ke darat, namun mereka tidak berdaya lantaran laut menjadi lebih bergelora lagi. Maka berserulah mereka kepada TUHAN, “Ya TUHAN, janganlah sampai kami binasa bahana perbuatan orang ini; janganlah kami yang tidak bersalah terhukum atas perbuatannya sebab Engkau, ya TUHAN telah melakukan sebagaimana Kaukehendaki.” Lalu mereka mengangkat serta mencampakkan Yunus ke laut, dan laut pun tidak mengamuk lagi. Amat takutlah mereka semua kepada TUHAN lalu mereka mempersembahkan korban sembelihan dan mengucapkan nazar kepada TUHAN. Maka TUHAN menetapkan yang ketika itu datanglah seekor ikan besar lantas menelan Yunus, dan selama tiga hari dan tiga malam, Yunus tinggal di dalam perut ikan itu.