Yunus 1:1-17

Yunus 1:1-17 AVB

Datanglah firman TUHAN sedemikian kepada Yunus anak Amitai: “Bangunlah, pergilah ke Niniwe, ibu kota yang besar itu, dan berserulah terhadap mereka kerana kemungkaran mereka sudah nyata kepada-Ku.” Akan tetapi, Yunus melarikan diri ke Tarsis, jauh dari hadirat TUHAN. Maka, pergilah dia ke Yope, dan setelah menemui sebuah kapal, dia membayar tambangnya, dan belayar dengan orang lain ke Tarsis, jauh dari hadirat TUHAN. Tetapi TUHAN menurunkan angin ribut kencang hingga laut bergelora dan kapal yang dihentam gelora itu hampir-hampir pecah. Para pelaut yang dalam ketakutan itu melaung meminta pertolongan tuhan masing-masing dan mereka membuang ke laut muatan di dalam kapal demi meringankan kapal. Akan tetapi, Yunus yang turun ke ruang bahagian dalam kapal berbaring di sana lalu tidur nyenyak. Nakhoda datang mendapatkan Yunus dan berkata: “Bagaimana kamu boleh tidur nyenyak? Bangunlah dan berserulah kepada tuhan kamu. Mungkin tuhanmu akan mempedulikan kita supaya kita semua tidak binasa.” Berkatalah mereka sesama sendiri, “Ayuh kita cabut undi agar kita tahu bahana siapakah kita ditimpa malapetaka ini.” Lalu mereka membuang undi dan undi itu terjatuh pada Yunus. Berkatalah mereka kepada Yunus, “Beritahu kami, bahana siapakah bencana ini menimpa kita semua. Apa pekerjaanmu? Kamu datang dari mana? Apa negerimu? Apa bangsamu?” Jawab Yunus, “Aku orang Ibrani. Aku takut kepada TUHAN, Allah semesta langit, yang menjadikan lautan dan daratan.” Para pelaut itu menjadi amat takut lantas berkata kepada Yunus, “Apakah yang telah kamu lakukan?” Mereka mengetahui Yunus telah melarikan diri dari hadirat TUHAN kerana Yunus telah memberitahu mereka hal itu. Mereka pun bertanya dia, “Apa yang harus kami lakukan agar laut tenang bagi kita?” Ini sebab laut menjadi semakin bergelora. Jawabnya, “Angkat dan campaklah aku ke laut dan laut itu akan reda pula bagimu. Aku tahu bahana akulah petaka ribut kencang ini menimpa kamu.” Para pelaut masih bekerja keras dan cuba untuk berdayung supaya dapat kembali ke darat, namun mereka tidak berdaya lantaran laut menjadi lebih bergelora lagi. Maka berserulah mereka kepada TUHAN, “Ya TUHAN, janganlah sampai kami binasa bahana perbuatan orang ini; janganlah kami yang tidak bersalah terhukum atas perbuatannya sebab Engkau, ya TUHAN telah melakukan sebagaimana Kaukehendaki.” Lalu mereka mengangkat serta mencampakkan Yunus ke laut, dan laut pun tidak mengamuk lagi. Amat takutlah mereka semua kepada TUHAN lalu mereka mempersembahkan korban sembelihan dan mengucapkan nazar kepada TUHAN. Maka TUHAN menetapkan yang ketika itu datanglah seekor ikan besar lantas menelan Yunus, dan selama tiga hari dan tiga malam, Yunus tinggal di dalam perut ikan itu.

Pelan Bacaan dan Renungan percuma yang berkaitan dengan Yunus 1:1-17